SIAPA MAHU GULING KERAJAAN?

Sejak akhir Julai yang lalu selepas rombakan kabinet yang khabarnya dibincangkan melalui media sosial ‘What’s App’, kecoh diperkatakan terdapat usaha menggulingkan kerajaan.

Berita ini dimulakan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.  Khabarnya beliau mempunyai bukti yang sah mengenai perkara ini.  Dengan jawatan sebagai Menteri yang bertanggungjawag terhadap keselamatan dalam negeri dan polis, maklumat yang dinyatakan tentulah tidak mustahil.

Jika benarlah dakwaan itu, maka Perdana Menteri keenam ini bakal melakar satu lagi sejarah dalam kerjaya politiknya.  Apa tidaknya, tidak pernah kita dengar ada cubaan menggulingkan Kerajaan selain daripada proses pilihanraya di negara kita sebelum ini.

Tentulah, Menteri Dalam Negeri mempunyai asas yang kukuh untuk mempercayai bahawa terdapat usaha untuk menggulingkan kerajaan, sehingga dikhabarkan mempunyai bukti yang sah.

Saya dapat cium bau ada usaha dilakukan tokoh tertentu dan didalangi tokoh tertentu untuk dapatkan akuan bersumpah dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang dan cuba menarik Ahli Parlimen BN untuk tumbangkan kerajaan sedia ada melalui pintu belakangHairannya ia diketuai seorang pemimpin dari UMNO dan BN, satu ketika akan terdedah dengan sendirinya”.

Selepas itu, Datuk Seri Zahid memaklumkan bahawa mantan Timbalan Perdana Menteri yang dipecat, Tan Sri Muhyiddin bukanlah orangnya.  Namun persoalannya sekarang adalah siapakah yang dimaksudkan. Ketua Pemuda UMNO dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin meminta Datuk Seri Zahid untuk mendedahkan siapakah ‘tokoh’ yang dimaksudkan.

Ironinya, pendedahan Timbalan Perdana Menteri itu sebenarnya membuka ‘pekung di dada’ apabila dinyatakan bahawa usaha menggulingkan kerajaan yang dikhabarkan itu didalangi oleh ‘seorang pemimpin dari UMNO dan BN’.  Bukankah ini jelas menunjukkan bahawa dalam kalangan UMNO dan BN sendiri masih ada yang tidak mempercayai kepimpinan yang ada sekarang.

Lazimnya, undi tidak percaya mahupun usaha menjatuhkan pemimpin sedia ada dilakukan oleh pembangkang, namun dalam kes ini ianya dilakukan oleh orang UMNO dan BN sendiri.

Dakwaan Timbalan Perdana Menteri itu juga kurang diyakini oleh bukan sahaja rakyat umum malah dalam kalangan pemimpin UMNO sendiri.  Mantan Menteri Perdagangan Industri dan Antarabangsa, Tan Sri Rafidah Aziz dan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali adalah antara mereka yang menolak dakwaan Datuk Seri Zahid Hamidi.

Ini bukanlah kali pertama Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membuat dakwaan dan kemudiannya gagal mengemukakan bukti yang kukuh untuk menyakinkan dakwaannya.  Beberapa ketika dahulu, beliau juga mendakwa seorang mantan pemimpin PAS sebagai ‘syiah’ namun sehingga kini, dakwaan tersebut hanya tinggal dakwaan.

Jika benar bahawa terdapat seorang tokoh UMNO dan BN yang sedang merancang untuk menjatuhkan kepimpinan sedia ada, maka sewajarnyalah tokoh tersebut ditahan dan disiasat bagi membuktikan keseriusan dakwaan Timbalan Perdana Menteri, jika tidak dakwaan oleh seorang Timbalan Perdana Menteri hanya akan mengingatkan kita tentang kisah seorang gembala kambing yang menjerit mengenai harimau yang datang membaham kambingnya.

Selepas orang kampung menyedari bahawa mereka telah diperdaya oleh budak gembala kambing, maka apabila harimau benar-benar datang membaham kambingnya, tiada siapa datang menolongnya.


Dakwaan usaha menggulingkan kerajaan adalah sesuatu yang serius, maka ianya harus disiasat sehingga ke akar umbi, jika tidak hanya akan menjadi bahan momokan rakyat dan pemimpin di negara kita.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
tunggu tpm zahid umumkan tokoh!

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?