APA SELEPAS BERSIH 4.0?

Himpunan Bersih versi ke-4 telah berakhir sudah tepat jam 11.59 malam tadi menjelang ambang kemerdekaan.  Himpunan yang mencatat sejarah bukan sahaja daripada segi kehadiran, ia juga mencipta rekod baharu dengan himpunan selama 34 jam sejak jam 2 petang hari Sabtu lalu.

Walaupun kepimpinan khususnya daripada UMNO  yang memperlekeh himpunan pada kali ini, namun semua yang terlibat tahu apa sebenarnya agenda utama himpunan pada kali ini.

Himpunan Bersih pada kali ini juga menyaksikan pelbagai tindakan dan ungkapan yang agak dangkal daripada para pemimpinnya.  Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri yang menggunakan kuasanya untuk mengharamkan T-Shirt Bersih, warna kuning.

Menurut Jadual dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 28 Ogos 2015 bernombor P.U. [A] 200 menggariskan:

“Apa-apa pakaian berwarna kuning dan yang mengandungi perkataan ‘Bersih 4’.  Apa-apa bahan bercetak lain dan risalah yang mendorong kepada perhimpunan Bersih 4”

Sama ada suka atau tidak, warta ini sebenarnya telah mengiktiraf Himpunan Bersih dalam lipatan sejarah negara apabila ianya diwartakan dalam Warta Kerajaan Persekutuan. 

Menariknya himpunan Bersih pada kali ini ramai pula mufti yang berebut-rebut untuk mengeluarkan fatwa sama ada yang menyokong mahupun menganggap bahawa himpunan Bersih adalah haram.  Misalnya kenyataan Mufti Kelantan, dipetik oleh Perdana Menteri dalam ucapan Merdeka beliau.

Dengan anggaran kehadiran seramai 250,000 orang di ibukota sahaja dan dipelbagai destinasi di seluruh dunia, selain menuntut pilihanraya yang bersih, adil dan telus, tuntutan bersih pada kali ini juga menambah pengunduran Perdana Menteri.

Pengarah Strategi BN memperlekeh bilangan peserta yang hadir dalam perhimpunan Bersih pada kali ini.  Petikan dari twitternya:

"100k+? Mana ada! Don't flatter yourself la. But at 20k count, it is still a good effort of Bersih4 (Jangan perasan la. Tapi dengan 20k, masih satu usaha yang cukup baik oleh Bersih4)," .

Perdana Menteri melabel peserta himpunan Bersih pada kali ini sebagai “miskin patriotik”.

Walaupun Baju T  bertulisan Bersih 4 telah diwartakan sebagai bahan terlarang berdasarkan warta kerajaan namun majoriti mereka yang hadir dalam perhimpunan selama dua hari itu menyarung T-Shirt seumpama itu.  Adakah ini bermakna Kementerian Dalam Negeri akan mendakwa setiap daripada pemakai T-Shirt mengandungi perkataan Bersih 4?

Apa yang menarik, walaupun para pemimpin UMNO menyatakan kekesalan dan kecewa mereka terhadap tindakan mantan Perdana Menteri dan Presiden UMNO yang turut hadir dalam himpunan Bersih pada kali ini. 

Mantan Perdana Menteri itu membuat penampilan sulung selama ‘enam minit’ pada hari Sabtu dan kemudiannya menghabiskan hampir sejam pada hari kedua himpunan Bersih berlangsung.

Tentulah tiada siapa yang menyangka Tun Dr. Mahathir bersedia menghadirkan diri beliau dalam apa yang didakwa oleh kerajaan sebagai himpunan ‘haram’ yang pesertanya menjadi ‘kuda tunggangan DAP’.

Jika meneliti kenyataan Ketua Polis Negara yang diulang semula oleh Menteri Dalam Negeri, “berani buat, berani tanggung”  apakah selepas tarikh 16 September nanti akan bermulanya sesi ‘witch hunting’?

Walau pun himpunan Bersih 4.0 dianggap himpunan haram oleh Kerajaan, namun jangan lupa bahawa lebih 250 ribu peserta tidak mungkin tersilap menilai semangat patriotik dalam diri mereka.  Bolehkah para pemimpin UMNO dan BN mengabaikan semangat mereka dan lebih ramai lagi yang tidak hadir secara fizikal ke mana-mana himpunan Bersih? 


Ulasan

Tanpa Nama berkata…
apa lg lepas ni makan free la bro..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?