APABILA MALAIKAT DIPECAT KERANA MENDERMA!

Siapa sahaja yang mengikuti laporan dan pandangan para pemimpin Barisan Nasional (BN) mutakhir ini akan perasan bagaimana gabungan parti politik pemerintah ini berusaha sedaya upaya membetulkan persepsi rakyat.

Apa tidaknya, sejak tercetus isu mengenai dana dari malaikat berjumlah RM2.6 billion, ramai pemimpin BN berlumba-lumba untuk mempertahankan mengapa dana sebesar ini berakhir di akaun peribadi Perdana Menteri.

Apakah yang telah dijanjikan sebagai pulangan daripada penerimaaan ‘derma’ ini.
Para pemimpin BN berterusan mahu mempertahankan ‘bos’ mereka daripada fitnah menerima ‘derma’ dari malaikat itu.  Malah kini beriya-iya pula mahu mengajak parti-parti lain untuk memperkenalkan undang-undang baharu berhubung ‘derma’ ini.

Dalam kemelut 1MDB yang meruncing dengan pelbagai pertanyaan tanpa jawapan yang memuaskan, Timbalan Perdana Menteri ditukar.  Tan Sri Muhyiddin yang bertanyakan soal 1MDB secara terbuka dalam satu majlis UMNO tiba-tiba ditambah gelaran ‘mantan’ Timbalan Perdana Menteri keesokkannya.  

Begitu juga seorang lagi Naib Presiden UMNO ditamatkan sebagai Menteri kabinet.

Memanglah menjadi perogratif Perdana Menteri memilih siapa sahaja untuk membantu beliau sebagai Timbalannya. Itu bukan persoalannya.  Sejarah tentu sahaja tidak melupakan bagaimana ketika pemerintahan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri, dua orang timbalannya dipecat.  Bermula daripada Tun Musa Hitam dan kemudiannya Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

Ironinya, kesemua Timbalan Perdana Menteri yang dipecat adalah kerana menyuarakan pandangan yang berbeza daripada Perdana Menteri.  Dalam kes yang terbaru Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat kerana mempersoalkan secara terbuka mengenai 1MDB kepada ahli-ahli UMNO di Bahagian Cheras.

Tidak cukup dengan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri serta Timbalan Menteri yang berubah dalam rombakan kabinet, Peguam Negara juga ditukar dengan alasan kesihatan.

Sejak isu wang RM2.6 billion muncul selepas didedahkan oleh akhbar Wall Street Journal, tiada siapa yang tahu bagaimana wang tersebut berakhir di akaun peribadi Perdana Menteri, malah juga tidak tahu dari mana dan untuk tujuan apa.

Selepas beberapa ketika, dikhabarkan pula bahawa wang tersebut adalah ‘derma politik’ untuk UMNO.  Anehnya, ianya hanya dimaklumkan selepas isu wang dana yang kononnya adalah daripada 1MDB.  Selepas disahkan oleh SPRM bahawa wang tersebut bukanlah wang 1MDB, masih ada yang ragu-ragu mengenai perkara ini.

Sebagai Presiden parti, memanglah tidak perlu bagi memaklumkan mengenai sumbangan siapa sahaja kepada parti walaupun yang lebih manis adalah memaklumkan kepada sekurang-kurangnya kepada Majlis Tertinggi mengenai sumbangan kepada parti apatah lagi dalam jumlah yang agak besar.


Walauapapun alasan yang diberikan mengenai ‘derma’ yang berakhir di akaun peribadi Perdana Menteri ramai yang masih sangsi kegunaan wang tersebut.  Jika pun nama penderma tidak boleh didedahkan, maka haruslah dimaklumkan bagaimana wang tersebut digunakan.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
lama x de entri..dah kena beli ke

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?