MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Kurang daripada 48 jam, negara bakal menginjak hari kemerdekaan yang ke-58.  Kemerdekaan pada tahun ini adalah yang agak suram.  Apa tidaknya dengan iklim ekonomi yang lembab, kejatuhan nilai ringgit berbanding dollar Amerika dan pelbagai isu dalaman berpunca daripada syarikat strategik negara – 1MDB.

Yang lebih menambahkan kesuraman atau keseronokan merdeka adalah himpunan Bersih 4.0 yang dijadualkan akan berlangsung selama 34 jam bermula dari jam 2.00 petang ini sehingga jam 11.59 malam menjelang hari kemerdekaan.

Tema yang dipilih pada kali ini memanglah sesuatu yang sepatutnya menjadi aspirasi seluruh rakyat Malaysia, namun siapa sahaja tahu bagaimana ada sesetengah golongan yang ingin menjauhkan diri daripada segala macam yang berkaitan dengan kerajaan. 

Tema ‘Sehati, Sejiwa’ sepeeti tidak memberi gambaran sebenar kerana masih terdapat ramai rakyat Malaysia yang seperti tidak sehati dan sejiwa dengan kerajaan.

Malah himpunan Bersih 4.0 pada kali ini bukan sahaja melaungkan isu-isu yang berkaitan dengan perjalanan dan ketelusan Pilihanraya Umum yang menjadi teras perjuangan mereka, namun pada kali ini ditambah pula dengan unjuran untuk meminta pengunduran Perdana Menteri.

Asakan dan desakan daripada pelbagai sudut menghiasi media.  Samada media cetak (kecuali yang arus perdana) yang lain kesemuanya meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib mengundurkan diri kerana isu-isu apatah lagi setelah mengaku menerima ‘derma’ yang dimasukkan ke akaun peribadinya.

Yang terkini, terdapat pula ahli UMNO sendiri yang mendesak malah mengambil tindakan undang-undang berhubung isu ‘derma’ politik ini.  Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir juga agak lantang menghamburkan ketidakpuasan hati berhubung keadaan negara kita.

Bagi golongan peniaga, walauapapun yang diungkapkan mengenai iklim ekonomi, namun siapa sahaja yang mempunyai sedikit asas dunia niaga dapat mengecam bagaimana kemurungan ekonomi sedang melanda negara kita. 

Kejatuhan nilai ringgit berbanding dollar Amerika adalah paras terendah dalam tempoh dua dekad. Begitu juga kejatuhan harga minyak dunia (kecuali di Malaysia) yang menjejaskan pendapatan entity seperti Petronas dan ratusan syarikat-syarikat yang terlibat secara langsung mahupun tidak dalam industri gas dan minyak di negara kita.

Walaupun rakyat masih terus dilihat seperti warga tulin yang menghargai kemerdekaan negara, namun jauh di lubuk hati, mungkin ramai yang merasa terkilan dengan pelbagai insiden dalam semua aspek politik, ekonomi dan sosial yang sedang melanda negara.

Entiti seperti Petronas dan syarikat-syarikat minyak dan gas yang selama ini diketahui sebagai yang berbelanja dengan keperluan yang agak tinggi kini menurunkan perbelanjaan mereka sehingga 40% kerana harga minyak yang berada di paras rendah.

Minggu lalu, sekumpulan 17 orang mahasiswa yang menggelarkan diri mereka ‘Langkah Siswa’ berkampung di Parlimen dan menuntut Perdana Menteri meletakkan jawatan.  Kesemua mereka akhirnya direman selama 3 hari.

Tidak pernah dalam sejarah negara, sambutan hari kemerdekaan yang diisi dengan pelbagai acara yang pro dan menentang kerajaan seperti pada tahun ini. 

Dengan segala ugutan oleh pihak berkuasa dan para pemimpin yang berhasrat menjadi ‘Tuhan’ maka sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini akan sentiasa menjadi ingatan.  Mungkin akan ada pemimpin yang bakal melaungkan ungkapan klise – jika tidak suka di negara ini silalah pindah ke negara lain!


Salam Hari Merdeka!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
merdeka = derma!

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?