KECOH KOPITIAM, POLITIK TAPAK KASUT!

Pedulilah jika pun negara sedang menuju Wawasan 2020 untuk menjadi negara maju.  Namun melihatkan kematangan politik kita tidak menampakkan sebegitu.  Baru sahaja si Justo ditahan, Menteri telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada akhbar yang melaporkan perihal 1MDB. 

Polis Thailand masih belum selesai penyiasatan mereka.  Polis Malaysia pula masih belum menghantar pegawainya untuk menyoal siasat si Justo itu.

Pembangkang pula sibuk meminta Perdana Menteri 'bercuti' hanya kerana dakwaan yang belum tentu sahih.  Sekurang-kurangnya selepas mendapat bukti yang cukup, maka wajarlah untuk meminta sipolan bercuti atau melepaskan jawatan.

Baru-baru ini dilaporkan pula bagaimana terjadi kekecohan di sebuah kedai kopi.  Puncanya adalah apabila Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang berhasrat untuk bertemu dengan komuniti Sabah dan Sarawak di sebuah kedai kopi di Masai, Johor.

Tidak perlu untuk menuding jari siapa punya angkara.  Siapa sahaja yang membaca secara basa basi perihal politik Malaysia, pasti tahu jawapannya.

Sejak tsunami politik pada 2008, kelihatannya politik Malaysia seperti menerima kejutan.  Apa tidaknya sungguhpun pernah terjadi pada tahun 1999, namun kejutan pada 2008 lebih terasa khususnya kepada kerajaan Barisan Nasional.

BN yang selama ini memerintah dengan ‘cemerlang’ tiba-tiba tersedar bahawa parti-parti pembangkang sudah hampir di belakang mereka untuk memintas.

Jika pada 2008, pembangkang berjaya menawan Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Kedah serta mengekalkan Kelantan, namun senario ini berubah pada 2013 apabila pembangkang terlepas Kedah dan tidak lagi berjaya merebut kembali Perak.

Insiden di kopitiam di Masai hanyalah beberapa insiden bagaimana politik matang tidak mengambil tempatnya di Malaysia.  Bagaimana terdapat pihak-pihak yang sentiasa bersedia ‘menyusahkan’ pembangkang.  Walaupun perjalanan pilihanraya kita dianggap antara yang terbaik di dunia, namun tindak tanduk para penyokong pasca pilihanraya seperti berada di dunia ketiga.

Cubalah fikir, bagaimana banyak dewan-dewan yang masih tertutup gara-gara peralihan kuasa yang sehingga kini tidak dapat diselesaikan.  Politik berdendam masih lagi berleluasa.  Jika sipolan itu menang di suatu kawasan maka, akan berlaku proses ‘cantas’ yang agak ketara.

Bayangkan bagaimana mereka yang membuat kecoh di kopitiam di Masai melayan seorang Ahli Parlimen yang dipilih secara demokratik di negara kita.  Bayangkan pula jika Perdana Menteri atau Ahli Parlimen BN yang mengadakan sesi yang sama di kawasan yang dimenangi oleh pembangkang, adakah anda percaya kekecohan seperti itu akan berlaku?

Aksi politik dan aksi pasca pilihan raya akan menjadi tontonan rakyat, jika anda mahu dihormati, belajar menghormati sekurang-kurangnya kedaulatan undang-undang.  Bukankah itu yang diajar dan termaktub dalam Rukun Negara. 

Jika yang mudah sebegitu pun tidak dapat dihayati bagaimana anda mahu cemerlang untuk terus mengatakan ‘tradisi membela rakyat’.


Janganlah meletakkan rasional politik di bawah tapak kasut!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
mmg bangsat..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?