HARI-HARI TERAKHIR SEORANG 1MALAYSIA?

Ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengambilalih tampuk pemerintahan negara daripada Datuk Seri Abdullah Badawi (kini Tun), salah satu yang diperkenalkan oleh beliau adalah konsep 1Malaysia.

Melihat kepada gagasan yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Najib, konsep dan gagasan ini memang ada keunikkannya, walaupun ramai yang mendakwa ianya diciplak daripada 1 Israel.  Walaupun hal ini tidak dapat dibuktikan, namun dengan deretan penasihat yang membarisi panel Perdana Menteri, rasanya tidak sukar untuk meneka dalam kesamaran.

Selepas itu, segala macam benda mahu di 1Malaysiakan.  Sebutlah apa sahaja yang menjadi keperluan, semuanya adalah ber1Malaysia.  Daripada kedai kain, kedai runcit, klinik, susu untuk murid-murid sekolah, kedai ikan, menu rakyat dan berbagai lagi.

Akhirnya satu demi satu jenama menggunakan 1Malaysia mulai dilupakan. Apa dah jadi dengan Kedai Ikan 1 Malaysia yang dirintis oleh seorang pengusaha restoran ikan bakar.  Tidak pasti apa kesudahannya namun kedai ikan itu tidak lagi menjadi sebutan.

Yang terkini dilaporkan adalah penglibatan restoran dalam menawarkan Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M).  Khabarnya kini, banyak restoran telah tidak menawarkan MR1M itu.  Tentulah tidak memeranjatkan tindakan para pengusaha restoran ini.

Walaupun ianya dilakukan secara sukarela oleh mereka, namun dengan ketiadaan insentif yang menarik daripada pihak Kerajaan tentulah sukar bagi mereka terus menawarkan MR1M, dengan pelbagai kenaikan kos pada masa ini.
Di atas kertas, MR1M memang nampak muluk.  Namun realitinya adalah berlainan.

“MR1M adalah inisiatif kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan memperkenalkan menu sarapan pagi dan makan tengahari pada harga paling minimum namun berkualiti dan berkhasiat dengan kerjasama pengusaha premis makanan seluruh negara.  Pengusaha premis makanan yang bersetuju menyertai MR1M mesti menawarkan menu itu sekurang-kurangnya bagi tempoh enam bulan”.

Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), khabarnya menafikan sebarang insentif dari kerajaan, namun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah meuar-uarkan malah menyenaraikan restoran yang menawarkan MR1M dalam laman sesawang 1Pengguna, bukankah itu insentif yang memungkinkan restoran mereka menjadi kunjungan orang ramai.

Sebuah lagi entiti yang pernah saya kunjungi yang dimiliki oleh Koperasi Ukhwah iaitu Restoran Ukhwah menawarkan menu sarapan pada harga RM2.00 kini terpaksa menaikkan sebanyak 25% kepada RM2.50 namun ianya masih rendah berbanding harga pasaran. 
Bagi menjamin kesinambungan MR1M, kerajaan mestilah terus memberikan sokongan dan insentif lain yang mampu menarik lebih banyak pengusaha menawarkan MR1M, jika tidak jenama 1Malaysia hanya akan tinggal sebagai legasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mungkin, bentuk insentif seperti rebat, potongan cukai, penjenamaan bersepadu boleh difikirkan untuk menambah senarai pengusaha yang menawarkan MR1M.

Mungkin Menteri KPDNKK tidak mahu hal ini terjadi, kerana di tangan Menteri sebelumnya, MR1M telah menarik ramai pengusaha restoran untuk membantu hasrat murni kerajaan.  

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?