AKHIRNYA PATRIOT BOLEH DIJUAL BELI?

Ketika Ramadan ini, teringat lagu kumpulan nasyid Raihan yang pernah menggemparkan dunia seni tanah air dengan jualan album ratusan ribu unit.

Lagu ‘Iman Mutiara’ adalah antara lagu popular ketika kumpulan Raihan berada di puncak persada seni di negara kita.
“Iman tak dapat diwarisi
Dari seorang ayah yang bertakwa
Ia tak dapat dijual beli
Ia tiada di tempat pantai”

Itu antara bait lagu ‘Iman Mutiara”.

Beberapa hari ini kecoh mengenai plat nombor khas iaitu ‘Patriot’.  Penyediaan nombor khas bukanlah sesuatu yang baru, saya sendiri pun menggunakan plat khas sebagai sokongan kepada Kelab Eksplorasi 7 Benua.

Kita pernah ada nombor plat khas, ‘Proton’, ‘Kancil’, ‘Putrajaya’, ‘G1M’, dan pelbagai nombor plat khas dengan pelbagai alasan dan rasional penyediaannya.

Seperti biasa, semua nombor plat khas adalah bermotifkan mencari dana.  Seperti juga nombor plat pendaftaran kenderaan yang disediakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) maka nombor plat khas juga boleh dibida.  Sudah tentulah harganya sedikit berbeza daripada harga nombor plat yang disediakan oleh JPJ kerana kedua-duanya mempunyai objektif yang berlainan.

Namun berbeza dengan plat khas ‘Patriot’ yang kecoh pada masa ini.  Ianya adalah inisiatif Yayasan Patriot Negara Malaysia (YPNM). Walaupun pelbagai maklumat terdapat di laman sesawang YPNM, namun maklumat Carta Organisasinya memaparkan ‘MAKLUMAT SEDANG DIKEMASKINI’.

Jika diteliti objektif penubuhan YPNM, memanglah sesuatu yang sangat diperlukan pada ketika ini, memupuk semangat patriotism di kalangan masyarakat khususnya generasi muda; menyemai prinsip-prinsip Rukun Negara di kalangan masyarakat; mempertingkatkan kefahaman dan menghormati agama, budaya, adat resam dan pantang larang kaum-kaum di Malaysia; meningkatkan toleransi untuk perpaduan yang lebih utuh.

Memanglah mulus objektif penubuhan YPNM, maka tentulah sebagai sebuah yayasan memerlukan dana yang mencukupi untuk bergerak secara efektif.  Namun sebagai sebuah yayasan yang meletakkan mempromosi kesederhanaan, YPNM sepatutnya menapis siapakah yang bakal memiliki plat khas ‘Patriot’.

Seperti yang ditegaskan oleh seorang ADUN Umno, yang menyamakan bidaan untuk plat khas ini seperti pelacuran.

“Antara yang menang bidaan boleh jadi pengkhianat ekonomi yang mensabotaj negara untuk buat duit segera!  Adakah mereka ini layak pakai nombor plat ini?  Adakah penganjur tidak mahu pastikan dulu bahawa pemegang (nombor plat) itu patriot yang sejati?”.

Mungkin YPNM perlu menghalusi mekanisme bidaan supaya mereka yang benar-benar layak dapat memiliki plat khas ‘Patriot’ supaya tidak menjadi bahan lawak kemudian hari.

Pun begitu, saya merasakan bahawa bidaan dan pengenalan plat khas ‘Patriot’ dalam bentuk plat kenderaan dan boleh pula dijual beli adalah tidak kena, maka elok juga diingatkan matlamat tidak menghalalkan cara. 

Salam Patriot!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?