MONEY LOGGING & HIDUP BAGAIKAN SUNGAI MENGALIR
Pestabuku
Antarabangsa Kuala Lumpur 2015 bakal mencatat sejarahnya tersendiri. Edisi PBAKL 2015 ini akan tercatat sebagai pesta
buku kali pertama Kementerian Dalam
Negeri membuat rampasan buku.
Khamis
lalu, kecoh bagaimana pegawai-pegawai dari KDN membuat rampasan buku daripada
gerai Gerak Budaya. Sebanyak 7 judul
buku telah diambil oleh pegawai-pegawai KDN.
Antara
buku yang diambil adalah Money Logging,
Hidup Bagaikan Sungai Mengalir, Marx Sang Pendidik Revolusioner, Hinduisme
Agama Tauhid Terawal, Gautama Seorang Nabi, Shite Islam dan The Holy Quran.
Boleh
difahami mengapa 5 buku yang terakhir dirampas, ini kerana alasan sensitiviti
agama sebagai asas rampasannya.
Namun
yang sukar difahami adalah buku Money
Logging buku Hidup Bagaikan Sungai Mengalir. Money
Logging nukilan Lukas Straumann adalah penyiasatan mengenai aktiviti
pembalakan di Sarawak yang mengaitkan mantan Ketua Menterinya.
Walaupun
tiada sebarang penyiasatan rasmi dalam negara mengenai perkara ini, namun
rentetan peristiwa dalam Money Logging
boleh memberikan gambaran bagaimana berkuasanya mantan Ketua Menteri terhadap
aktitivi pembalakan di Sarawak sehingga diberi julukan ‘Asian Timber Mafia’ dalam tulisan Lukas.
Adakah
pihak KDN merasakan bahawa fakta di dalam buku tersebut tidak betul, atau
adakah KDN mendapat arahan bagi melakukan rampasan buku tersebut yang
sebenarnya tidak dijual secara terbuka.
Namun buku ini boleh dibeli secara atas talian dan boleh juga dimuat turun
dari internet.
Jika
benar fakta di dalam buku ini tidak betul, maka mereka yang dinamakan di
dalamnya boleh mengambil tindakan undang-undang bagi membersihkan nama
mereka.
Sebuah
buku lagi yang menjadi mangsa rampasan oleh pihak KDN adalah buku Hidup
Bagaikan Sungai Mengalir. Buku ini
bukanlah sebuah buku yang baru, telah berusia lebih sedekad usia penerbitannya.
Buku
tulisan Agnes Khoo adalah kisah mengenai 16 wanita yang terlibat dalam gerakan
anti-Jepun, anti penjajah dan perjuangan kemerdekaan di Malaysia dan
Singapura. Rakaman penulisan oleh Agnes
Khoo menyusur selama enam dekad dari tahun 1938 hingga 1989.
Walaupun
KDN tidak perlu menyatakan sebab-sebab rampasan buku oleh mereka, namun rakyat
akan berbeza persepsi mengenai punca bahan-bahan ini dirampas.
Misalnya,
saya sendiri akan membuat tanggapan bahawa rampasan buku Money Logging adalah untuk melindungi kisah pembalakan di Sarawak
daripada tersebar apatah lagi buku tersebut jelas mengaitkan Ketua Menteri
Sarawak sebelum ini.
Selagi
KDN tidak berupaya memberikan penjelasan yang sewajarnya (walaupun sebenarnya
tidak perlu) maka tindakan KDN hanya akan memberikan gambaran bahawa KDN
bertindak berdasarkan arahan pihak tertentu khususnya yang membabitkan buku Money Logging!
Ulasan