JANGAN URUS TABUNG HAJI PERSIS SYARIKAT KERETA TERPAKAI!

Beberapa hari ini kecoh mengenai Tabung Haji dan 1MDB.  Ironinya, 1MDB telah sekian lama dihebohkan di dada akhbar dan media sosial bagaimana entiti yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dikhabarkan mempunyai hutang berbillion ringgit.  Malah ada yang berani mengatakan bahawa hutang 1MDB mampu melaksanakan sebelah tangan projek-projek mega.  Begitulah besarnya hutang 1MDB.

Itu kisah beberapa bulan lepas.  Kini nama 1MDB melonjak lagi dalam carta sebutan ramai.  Kini dikhabarkan pula bagaimana 1MDB berjaya menjual tanahnya kepada sebuah lagi entiti kerajaan dengan harga berlipat ganda.  Kali ini yang menjadi pembelinya adalah Tabung Haji.

Pembelian tanah oleh Tabung Haji bukanlah sesuatu yang baru.  Tabung Haji melalui puluhan anak syarikatnya memang memiliki bank tanah yang agak besar.  Selain itu, Tabung Haji yang diasaskan untuk membantu umat Islam di negara ini mengerjakan haji memang agak aktif untuk meningkatkan pendapatannya.

Apabila Tabung Haji dikhabarkan membeli tanah 1MDB pada harga yang luar biasa dan berlipat kali ganda daripada harga asal tanah ini, tiada yang menghairankan.  Ini kerana tanah yang dibeli semalam pun akan melonjak harganya kerana tambahan oleh spekulasi.  Inikan pula tanah yang telah diura-ura pembeliannya sejak 2013.

Kisah pembelian tanah 1MDB oleh Tabung Haji meledak di media khususnya media sosial sehari selepas pilihanraya kecil Parlimen Rompin pada 5 Mei yang lalu dan sehari sebelum pilihanraya kecil parlimen Permatang Pauh yang dijadualkan pada 7 Mei yang lalu.

Pengerusi Tabung Haji, khabarnya menafikan berlakunya pembelian ini pada awalnya, namun apabila Ketua Pegawai Eksekutif  Tabung Haji membuat kenyataan mengesahkan laporan dalam media sosial, nada Pengerusinya berlainan.  Selepas itu dikhabarkan pula Tabung Haji membuat laporan polis berikutan kebocoran maklumat sulit kepada umum.

Selepas isu pembelian tanah ini meledak, pelbagai pihak dikhabarkan meminta Pengerusi Tabung Haji untuk meletakkan jawatan kerana diragui kredibilitinya.  Itu bukanlah isunya.  Isunya adakah pembelian tanah ini benar-benar menepati garis panduan panel pelaburan.  Adakah nilai yang dibayar benar-benar menguntungkan pihak pembeli dan bukan hanya 1MDB sebagai penjualnya.

Tidak sampai beberapa hari, dikhabarkan pula bahawa Perdana Menteri ‘menasihatkan’ agar tanah tersebut dijual bagi mengelakkan lebih banyak fitnah.  “Ini bukan arahan” kata Pengerusi Tabung Haji bagi membetulkan persepsi kepada para wartawan.

Apakah rasional Perdana Menteri menasihatkan agar tanah tersebut dijual dan wang penjualannya dikembalikan semula kepada Tabung Haji.  Nampak ‘nasihat’ ini seperti sesuatu nasihat yang biasa, namun sekiranya pihak Tabung Haji telah mengambil langkah melaporkan kebocoran maklumat mesyuarat mereka kepada umum, apa yang dikhuatiri jika mereka benar-benar telah menepati semua garis panduan panel pelaburan.

Adakah Tabung Haji digunakan untuk mewujudkan spekulasi dan seperti menjadi ‘pembeli cina buta’ untuk masa singkat bagi meningkatkan nilai tanah tersebut.  Kemudiannya menjual semula atas ‘nasihat’ Perdana Menteri dengan keuntungan mungkin kurang 10% daripada harga jualan.

Tidak nampak salahnya transaksi oleh Tabung Haji, namun sebagai sebuah entiti berasaskan syariah, bolehkah Tabung Haji terlibat dengan perniagaan yang berasaskan spekulasi sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

Sebagai sebuah entiti dengan puluhan anak sayarikat dan menjadi pemegang amanah jutaan pendeposit Islam yang ingin mengerjakan tuntuan rukun Islam yang kelima, maka Tabung Haji bukan sahaja berusaha memberikan pulangan tinggi seperti di bawah Pengerusinya pada masa ini namun yang lebih penting adalah sentiasa berusaha mengurangkan kos mengerjakan haji dari masa ke semasa. 

Walaupun dikhabarkan Tabung Haji memberikan subsidi bagi setiap Jemaah haji, namun kos mengerjakan haji meningkat dari tahun ke tahun.


Seperti membeli tanah 1MDB dengan harga berlipat ganda daripada harga asal (walaupun telah dinilai oleh badan professional) dan kemudiannya menjual semula atas ‘nasihat’ Perdana Menteri, harapnya Tabung Haji tidak diurus seperti syarikat kereta terpakai!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
cantek..
SIS berkata…
dah lama ada amaran...sekiranya sesuatu itu diserahkan kepada yang bukan ahlinya maka tunggulah kemusnahannya...peneraju TH dan beberapa ahli lembaga pengarahnya adalah org kuat UMNO..dan ada juga yg berkuasa di dalam 1IMDB memegang jawatan penting dlm TH...mcmana semua ini tidak berkait...dunia semakin sempit krn teknologi..sekejap je semua tersebar..tak boleh main sorok2 dah...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?