SELAMAT BERANGKAT KE NEGERI ABADI, SAUDARAKU
Namanya
adalah besar dalam dunia kepenyairan tanah air.
Sebut sahaja nama Rahimidin Zahari, peminat sastera tanah air dapat
mengingatinya sebagai sosok yang pendiam dan ‘pemikir’.
Allahyarham Rahimidin Zahari - gambar ihsan ITBM |
Saya
bukanlah rapat dengan kerabat Persatuan Penulis Nasional (PENA) sebelum tahun
2008, namun segalanya berubah apabila membantu persatuan itu dalam urusan
menyambut 50 tahun usianya pada tahun 2011.
Pun begitu, saya adalah pengunjung tetap Malam Baca Puisi Pena sejak
beberapa tahun yang lalu.
Lebih
akrab dengan allahyarham Rahimidin Zahari adalah apabila menyertai Mahrajan
Persuratan beberapa tahun yang lalu di Kota Kinabalu. Sejak itu, saya lebih akrab dengan
sahabat-sahabat di PENA, malah sosok allahyarham Rahimidin ZAhari antara yang
sering saya temui ketika lewat menghadiri Malam Baca Puisi Pena kerana akan
sentiasa bertembung di ‘tangga’ ketika lewat hadir.
Kali
terakhir menemui Allahyarham adalah pada hari terakhir Pesta Buku Antarabangsa
Kuala Lumpur 2015 pada 3 Mei yang lalu.
Lazimnya, saya akan ‘bersidai’ lama setiap kali hari terakhir PBAKL. Namun,
pada kali ini kerana ditemani oleh anak kedua saya, dan juga kerana bergegas
untuk menghadiri majlis perkahwinan anak Presiden PENA, Dr. Saleeh Rahamad,
maka saya hanya sempat bersalam dan memaklumkan bahawa saya telah memiliki buku
puisi terbaru beliau – Sehelai Daun
Kenangan yang saya beli beberapa hari sebelum PBAKL 2015 di pejabat ITBM.
Usai
PBAKL, ketika sedang bermesyuarat pada hari Selasa di Madrasah Tarbiyah bagi
persiapan Baca Puisi Madrasah Seni edisi Jun, saya sudah menerima maklumat
mengenai Allahyarham yang dikejarkan ke hospital pada dinihari kerana pengsan.
Selesai
mesyuarat saya bergegas ke Hospital Selayang untuk menziarahi beliau. Kerana tidak mempunyai sebarang maklumat
mengenai di mana beliau ditempatkan, saya ke kaunter pertanyaann di bahagian
kecemasan Hospital Selayang.
“di katil 19, wad 9D, ziarah Sdr. Rahimidin,
marilah sama-sama mendoakan kesembuhan saudara kita ini..Aminnn”
Ini catatan saya
dalam laman mukabuku Madrasah Seni seusai menziarahi beliau di Hospital
Selayang. Saya sempat menunaikan solat
Maghrib di surau di luar Wad9D, sambil mendoakan agar sahabat saya ini kembali
pulih.
Apabila Seniman
Paksi Rakyat (PAKSI) dengan unjuran daripada rakan-rakan, mencadangkan supaya
diadakan solat hajat pada hari Jumaat yang lepas, maka kami terus sahaja
bersetuju dan bersyukur apabila Cikgu Ishak menerima cadangan kami.
“InsyaAllah,
malam ini akan diadakan solat hajat di Madrasah Tarbiyah Kg. Banda Dalam,
Gombak selepas solat Isyak untuk Sdr. Rahimidin Zahari semoga beroleh
kesembuhan, sama-sama kita berdoa untuk saudara kita itu.."
Ini catatan
saya untuk memaklumkan solat hajat untuk Allahyarham.
Kali terakhir
menemui Allahyarham adalah pada hari Jumaat, 8 Mei, saya singgah sebentar di
Hospital Sungai Buloh dalam perjalanan ke Madrasah Tarbiyah. Pada kali ini saya menemui Hafizah Ishanid,
wartawan Berita Harian yang memaklumkan bahawa ibu Allahyarham juga sedang
menunggu Allahyarham ketika itu.
Saya terus
mengeluarkan telefon bimbit dan meminta ibu Allahyarham memperkatakan sesuatu
untuk rakan-rakan Allahyarham. Ibunya
meminta kita terus mendoakan Allahyarham supaya kembali pulih sepertia sediakala. Saya
memuatnaik video ucapan ibu Allahyarham ke laman mukabuku Madrasah Seni.
Kerana kemasukan
pelawat ke Wad ICU, dimana Allahyarham ditempatkan dihadkan kepada dua orang
pelawat pada satu-satu masa, saya memasuki dengan seorang lagi rakan rapat
Allahyarham, penulis dan pelopor Grup Karyawan Luar Negara (GKLN), Hazwani
Ramli atau nama penanya Rebecca Ilham.
Walaupun saya
telah beberapa kali menjadi pengunjung Wad ICU Hospital Sungai Buloh sebelum
ini, namun rasa sebak tidak dapat saya tahan.
Hanya kerana berada bersama seorang wanita, saya menahan rasa sebak saya
sambil memegang kaki Allahyarham yang
ketika itu berstokin.
Kerana kesibukan
tugas dan ketiadaan kenderaan, saya terpaksa membantutkan niat untuk menziarahi
Allahyarham, walaupun hati saya dijamah keinginan untuk melawatnya pada hari
semalam, Rabu 13 Mei.
Saya berjanji
kepada diri saya untuk menziarahi Allahyarham pada hari Jumaat nanti apabila
kereta yang saya dimasukkan ke bengkel siap kelak.
Namun ketentuan
tuhan tiada siapa menduga. Benarlah ‘takdir
mengatasi tadbir’. Walaupun sejak
kemasukkan Allahyarham ke Hospital sejak minggu lalu menjadikan saya seorang
yang taksub menyemak status laman mukabuku saya, namun entah mengapa saya
membiarkan untuk beberapa jam daripada membaca status rakan-rakan lain khususnya
catatan Ridzuan Harun pada hari ini.
Ketika menyemak
pesanan dalam telefon bimbit sekitar jam 5 petang, saya kembali sebak. Saudara Rahimidin Zahari telah kembali ke
rahmatullah. Mesej masuk bertalu-talu
ketika mengharungi kesesakan waktu pulang kerja.
“selamat berangkat ke negeri abadi saudaraku Rahimidin
Zahari, moga ditempatkan dalam kalangan insan-insan yang soleh, Insyaallah,
aminn...
Bagi pihak
Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) kami merakamkan salam takziah kepada keluarga
allahyarham, semoga terus tabah dengan ujian ini...”
Ini catatan saya
sekitar jam 6.30 petang tadi. Penyair besar yang mempunyai potensi pergi lebih jauh dalam dunia sastera tanah
air, kembali menemui Penciptanya. Telah
tertulis, Allah SWT lebih meyayangi saudara kami ini, semoga rohnya ditempatkan
dalam kalangan orang-orang soleh yang beriman, InsyaAllah. Amin.
Selamat berangkat ke negeri abadi, Saudaraku, Rahimidin Zahari.
Ulasan