MONEY LOGGING & HIDUP BAGAIKAN SUNGAI MENGALIR

Pestabuku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015 bakal mencatat sejarahnya tersendiri.  Edisi PBAKL 2015 ini akan tercatat sebagai pesta buku kali pertama Kementerian Dalam Negeri membuat rampasan buku.

Khamis lalu, kecoh bagaimana pegawai-pegawai dari KDN membuat rampasan buku daripada gerai Gerak Budaya.  Sebanyak 7 judul buku telah diambil oleh pegawai-pegawai KDN. 

Antara buku yang diambil adalah Money Logging, Hidup Bagaikan Sungai Mengalir, Marx Sang Pendidik Revolusioner, Hinduisme Agama Tauhid Terawal, Gautama Seorang Nabi, Shite Islam dan The Holy Quran.

Boleh difahami mengapa 5 buku yang terakhir dirampas, ini kerana alasan sensitiviti agama sebagai asas rampasannya. 

Namun yang sukar difahami adalah buku Money Logging buku Hidup Bagaikan Sungai Mengalir.  Money Logging nukilan Lukas Straumann adalah penyiasatan mengenai aktiviti pembalakan di Sarawak yang mengaitkan mantan Ketua Menterinya.

Walaupun tiada sebarang penyiasatan rasmi dalam negara mengenai perkara ini, namun rentetan peristiwa dalam Money Logging boleh memberikan gambaran bagaimana berkuasanya mantan Ketua Menteri terhadap aktitivi pembalakan di Sarawak sehingga diberi julukan ‘Asian Timber Mafia’ dalam tulisan Lukas.

Adakah pihak KDN merasakan bahawa fakta di dalam buku tersebut tidak betul, atau adakah KDN mendapat arahan bagi melakukan rampasan buku tersebut yang sebenarnya tidak dijual secara terbuka.  Namun buku ini boleh dibeli secara atas talian dan boleh juga dimuat turun dari internet.

Jika benar fakta di dalam buku ini tidak betul, maka mereka yang dinamakan di dalamnya boleh mengambil tindakan undang-undang bagi membersihkan nama mereka. 

Sebuah buku lagi yang menjadi mangsa rampasan oleh pihak KDN adalah buku Hidup Bagaikan Sungai Mengalir.  Buku ini bukanlah sebuah buku yang baru, telah berusia lebih sedekad usia penerbitannya.

Buku tulisan Agnes Khoo adalah kisah mengenai 16 wanita yang terlibat dalam gerakan anti-Jepun, anti penjajah dan perjuangan kemerdekaan di Malaysia dan Singapura.  Rakaman penulisan oleh Agnes Khoo menyusur selama enam dekad dari tahun 1938 hingga 1989.

Walaupun KDN tidak perlu menyatakan sebab-sebab rampasan buku oleh mereka, namun rakyat akan berbeza persepsi mengenai punca bahan-bahan ini dirampas.

Misalnya, saya sendiri akan membuat tanggapan bahawa rampasan buku Money Logging adalah untuk melindungi kisah pembalakan di Sarawak daripada tersebar apatah lagi buku tersebut jelas mengaitkan Ketua Menteri Sarawak sebelum ini.


Selagi KDN tidak berupaya memberikan penjelasan yang sewajarnya (walaupun sebenarnya tidak perlu) maka tindakan KDN hanya akan memberikan gambaran bahawa KDN bertindak berdasarkan arahan pihak tertentu khususnya yang membabitkan buku Money Logging!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
ha ha ha...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

SELAMAT BERANGKAT KE NEGERI ABADI, SAUDARAKU