KHIDMAT PELANGGAN KEDAI KAMI, PENERBIT BUDIMAN & TOK JANGGUT
Sejak
dahulu saya memang suka kepada kisah-kisah berhubung dengan khidmat
pelanggan. Walaupun di negara kita
khidmat pelanggan bukanlah sesuatu yang sering menjadi keutamaan namun dengan
perkembangan pesat dunia perniagaan tanpa sempadan, khidmat pelanggan yang cemerlang
sering menjadi pilihan.
Bayangkan
jika harga bukan lagi menjadi ukuran aspek-aspek lain khususnya khidmat
pelanggan sering menjadi faktor penentu.
Dengan
ledakan portal-portal belian atas talian yang memudahkan segala urusan
pembelian malah kadang-kadang jauh lebih murah dan mudah maka jualan atas
talian semakin hari semakin diminati.
Seperti
orang lain, saya juga sering membeli produk secara atas talian kerana mudah. Baru-baru ini saya membeli di sebuah portal
atas talian ‘kedaikami’. Selepas memilih
produk dan membuat bayaran saya dimaklumkan status pembelian saya sebagai
berjaya.
Namun
selepas beberapa ketika, saya mendapat emel daripada penjual menyatakan bahawa
pembayaran saya akan dikembalikan kerana produk yang saya beli adalah dalam
klasfikasi Ubatan/Pertolongan Cemas.
Memanglah benar pembelian saya adalah produk pertolongan cemas, apa yang
tidak saya fahami ialah penjualnya mengiklankan barangan tersebut dan apabila
saya ingin membelinya, transaksi masih boleh dijalankan namun kemudiannya akan
dikembalikan kerana barangan tersebut tidak boleh dibeli!
Walaupun
telah ada semua maklumat saya termasuk nombor telefon, syarikat ini hanya
menghantar emel bagi memaklumkan pemulangan wang saya. Tidakkah khidmat pelanggannya berada di tahap
yang paling bawah apabila tidak mengambil inisiatif untuk menghubungi pelanggan
melalui telefon bagi memaklumkan perkara tersebut. Untuk makluman saya telah beberapa kali
membeli melalui mereka, adakah kesetiaan saya tidak mampu untuk dibayar melalui
satu panggilan telefon!
Berbeza
dengan pengalaman saya untuk memiliki sebuah buku yang sangat saya perlukan
bagi menulis pengkisahan bagi sebuah program yang telah berlangsung pada hari
Sabtu yang lepas.
Sebagai
mengingati 100 tahun syahidnya, Allahyarham Haji Mat Hasan atau lebih dikenali
sebagai Tok Janggut, pihak Madrasah Tarbiyah, Seniman Paksi Rakyat, Ikatan
Kompas Prihatin dan Forum Mengenai Sejarah Pejuang Bangsa (Pejuang) telah
menganjurkan Majlis Pengisytiharan Hari Belasungkawa Bangsa pada 23 Mei yang
lepas.
Saya
pula ditugaskan menulis pengkisahan mengenai Tok Janggut. Saya pernah ternampak buku mengenai Tok
Janggut yang diterbitkan oleh Penerbit PTS, namun gagal memilikinya kerana
hampir kesemua kedai yang saya kunjungi tidak mempunyai stok kerana telah
beberapa tahun diterbitkan.
Akhirnya
dengan rasa berat hati pada hari Khamis lepas, 21 Mei 2015, saya terpaksa ke
pejabat penerbitnya di Batu Caves, malangnya stok buku tersebut juga telah
kehabisan kerana ianya diterbitkan pada tahun 2010.
Saya
cuba bertanyakan kepada petugas yang melayani saya, mohon pertolongan untuk
mencari buku hatta meminjamkan untuk difotostat. Petugas tersebut, Sdr. Mohd Izzat Kamaruddin
yang merupakan Eksekutif Jualan Kanan berjanji akan membantu saya mendapatkan
buku tersebut setelah diterangkan keperluan saya berhubung program pada Sabtu
lepas.
Esoknya
Jumaat, pada sekitar jam 4 petang, saya menerima panggilan dari petugas PTS,
Sdr. Mohd Izzat yang memaklumkan bahawa dia berjaya mendapatkan senaskhah buku
yang amat saya perlukan untuk penulisan pengkisahan program Tok Janggut. Saya berjanji akan datang mengambil buku
tersebut pada pagi esoknya (Sabtu).
Saya
merasa amat terharu terhadap usaha dan khidmat pelanggan petugas di Penerbit
PTS yang mengambil inisiatif untuk memenuhi keperluan saya. Tentulah khidmat pelanggan semacam ini akan
sentiasa tersimpan dalam ingatan saya.
Mungkin
bagi orang lain, khidmat pelanggan seperti ini dianggap perkara biasa, namun
bagi saya sebagai seorang pelanggan kecil, tentulah usaha dan inisiatif ini
saya anggap sesuatu yang cemerlang. Ini semacam hal-hal kecil yang mempunyai
impak yang besar.
Mungkin
selepas ini saya boleh mengumpulkan kisah-kisah khidmat pelanggan yang
cemerlang untuk dibukukan! Terima kasih,
penerbit dan petugas budiman, Tuan Mohd Izzat bin Kamaruddin, hanya Allah SWT
mampu membalas budi baik tuan!
Ulasan