JANGAN URUS TABUNG HAJI PERSIS SYARIKAT KERETA TERPAKAI!
Beberapa
hari ini kecoh mengenai Tabung Haji dan 1MDB.
Ironinya, 1MDB telah sekian lama dihebohkan di dada akhbar dan media
sosial bagaimana entiti yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dikhabarkan
mempunyai hutang berbillion ringgit. Malah
ada yang berani mengatakan bahawa hutang 1MDB mampu melaksanakan sebelah tangan
projek-projek mega. Begitulah besarnya
hutang 1MDB.
Itu
kisah beberapa bulan lepas. Kini nama
1MDB melonjak lagi dalam carta sebutan ramai.
Kini dikhabarkan pula bagaimana 1MDB berjaya menjual tanahnya kepada
sebuah lagi entiti kerajaan dengan harga berlipat ganda. Kali ini yang menjadi pembelinya adalah
Tabung Haji.
Pembelian
tanah oleh Tabung Haji bukanlah sesuatu yang baru. Tabung Haji melalui puluhan anak syarikatnya
memang memiliki bank tanah yang agak besar.
Selain itu, Tabung Haji yang diasaskan untuk membantu umat Islam di
negara ini mengerjakan haji memang agak aktif untuk meningkatkan pendapatannya.
Apabila
Tabung Haji dikhabarkan membeli tanah 1MDB pada harga yang luar biasa dan
berlipat kali ganda daripada harga asal tanah ini, tiada yang
menghairankan. Ini kerana tanah yang
dibeli semalam pun akan melonjak harganya kerana tambahan oleh spekulasi. Inikan pula tanah yang telah diura-ura
pembeliannya sejak 2013.
Kisah
pembelian tanah 1MDB oleh Tabung Haji meledak di media khususnya media sosial
sehari selepas pilihanraya kecil Parlimen Rompin pada 5 Mei yang lalu dan
sehari sebelum pilihanraya kecil parlimen Permatang Pauh yang dijadualkan pada
7 Mei yang lalu.
Pengerusi
Tabung Haji, khabarnya menafikan berlakunya pembelian ini pada awalnya, namun
apabila Ketua Pegawai Eksekutif Tabung
Haji membuat kenyataan mengesahkan laporan dalam media sosial, nada
Pengerusinya berlainan. Selepas itu
dikhabarkan pula Tabung Haji membuat laporan polis berikutan kebocoran maklumat
sulit kepada umum.
Selepas
isu pembelian tanah ini meledak, pelbagai pihak dikhabarkan meminta Pengerusi
Tabung Haji untuk meletakkan jawatan kerana diragui kredibilitinya. Itu bukanlah isunya. Isunya adakah pembelian tanah ini benar-benar
menepati garis panduan panel pelaburan.
Adakah nilai yang dibayar benar-benar menguntungkan pihak pembeli dan
bukan hanya 1MDB sebagai penjualnya.
Tidak
sampai beberapa hari, dikhabarkan pula bahawa Perdana Menteri ‘menasihatkan’
agar tanah tersebut dijual bagi mengelakkan lebih banyak fitnah. “Ini bukan arahan” kata Pengerusi Tabung Haji
bagi membetulkan persepsi kepada para wartawan.
Apakah
rasional Perdana Menteri menasihatkan agar tanah tersebut dijual dan wang
penjualannya dikembalikan semula kepada Tabung Haji. Nampak ‘nasihat’ ini seperti sesuatu nasihat
yang biasa, namun sekiranya pihak Tabung Haji telah mengambil langkah
melaporkan kebocoran maklumat mesyuarat mereka kepada umum, apa yang dikhuatiri
jika mereka benar-benar telah menepati semua garis panduan panel pelaburan.
Adakah
Tabung Haji digunakan untuk mewujudkan spekulasi dan seperti menjadi ‘pembeli
cina buta’ untuk masa singkat bagi meningkatkan nilai tanah tersebut. Kemudiannya menjual semula atas ‘nasihat’
Perdana Menteri dengan keuntungan mungkin kurang 10% daripada harga jualan.
Tidak
nampak salahnya transaksi oleh Tabung Haji, namun sebagai sebuah entiti
berasaskan syariah, bolehkah Tabung Haji terlibat dengan perniagaan yang
berasaskan spekulasi sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
Sebagai
sebuah entiti dengan puluhan anak sayarikat dan menjadi pemegang amanah jutaan
pendeposit Islam yang ingin mengerjakan tuntuan rukun Islam yang kelima, maka
Tabung Haji bukan sahaja berusaha memberikan pulangan tinggi seperti di bawah
Pengerusinya pada masa ini namun yang lebih penting adalah sentiasa berusaha
mengurangkan kos mengerjakan haji dari masa ke semasa.
Walaupun
dikhabarkan Tabung Haji memberikan subsidi bagi setiap Jemaah haji, namun kos
mengerjakan haji meningkat dari tahun ke tahun.
Seperti
membeli tanah 1MDB dengan harga berlipat ganda daripada harga asal (walaupun
telah dinilai oleh badan professional) dan kemudiannya menjual semula atas ‘nasihat’
Perdana Menteri, harapnya Tabung Haji tidak diurus seperti syarikat kereta
terpakai!
Ulasan