TENGOKLAH, SIAPA BOS?

Kemelut di negeri Selangor kini memasuki fasa ke-3, fasa sebelum ini adalah apabila Tan Sri Khalid Ibrahim dipecat daripada partinya, PKR.  Selepas itu Negeri Selangor ditadbir oleh Menteri Besar tanpa parti.  

Fasa berikutnya adalah apabila Tan Sri Khalid Ibrahim yang meneruskan mandat sebagai Menteri Besar selepas mengadap DYMM Tuanku Sultan dan memaklumkan perkembangan mengenai dirinya, memecat Exco daripada PKR dan DAP.

Ini selepas, Exco daripada DAP dan PKR bertegas untuk meneruskan tugas mereka namun meletakkan beberapa syarat antaranya untuk tidak bertemu Menteri Besar kecuali dalam mesyuarat mingguan.  Rasanya bertepatan tindakan yang diambil oleh Tan Sri Khalid Ibrahim untuk memecat Exco daripada PKR dan DAP dengan syarat mereka.

Perlantikan Exco adalah budi bicara Menteri Besar selepas dicalonkan oleh parti masing-maisng dan diperkenan oleh Sultan.

Namun apabila Exco daripada PKR dan DAP bertegas dengan syarat mereka, maka ada baiknya mereka dinyahkan kerana ada lebih ramai lagi yang tahu menghormati seorang Menteri Besar walaupun dalam tempoh peralihan seperti yang dinyatakan oleh PKR dan DAP.

Nampaknya kemelut Menteri Besar akan terus berlanjutan sehingga beberapa ketika, namun isu pemecatan Exco daripada PKR dan DAP akan terus menambah luka dan derita PKR yang dirundung malang berikutan krisis dalaman mereka.

Jika tidak ditangani segera, kelihatannya Menteri Besar tanpa parti dalam negeri termaju di Malaysia ini bakal memakai topi baru sama ada topi PAS atau topi UMNO.  Pada masa ini kedudukan kerusi DUN di Negeri Selangor dalam keadaan seimbang 50-50.  Tidak mustahil dalam kelompok PKR dan DAP pun akan ada ADUN yang menyokong Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar.

Kemelut di Selangor ciptaan PKR nampaknya tidak begitu menyebelahi mereka pada kali ini.  Tan Sri Khalid Ibrahim yang dikatakan bersetuju dengan Langkah Kajang hanyalah kerana pada awalnya digambarkan bahawa ianya untuk memberi laluan kepada Ketua Umum PKR menerajui Selangor, namun tidak menjadi kenyataan.

Apabila Ketua Umum PKR didapati tidak layak untuk bertanding, Langkah Kajang diteruskan juga dengan Presiden PKR pula sebagai calon bagi DUN di Kajang.  Maka apabila Presiden PKR dikhabarkan akan mengambilalih sebagai Menteri Besar tentulah ramai yang tertanya-tanya atas alasan apa Tan Sri Khalid Ibrahim mahu diundurkan.

Ramai yang dapat mengagak tindak tanduk PKR melalui Ketua Umumnya yang bertindak sebagai ‘dalang’ dalam persembahan wayang kulit politik di Selangor malah Presiden PKR yang suatu masa dahulu digambarkan sebagai satu kejayaan wanita kini tidak lagi menjadi sanjungan apabila seorang wanita yang menjadi presiden parti politik sebenarnya tidak lebih daripada boneka jepun dalam ‘kabuki’.

Tamparan hebat kepada PKR adalah apabila presiden mereka tidak diperkenan mengadap DYMM Tuanku Sultan kerana baginda berpendapat bahawa penjelasan yang telah diberikan oleh Menteri Besar adalah memadai dan isu pemecatan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai ahli PKR adalah masalah dalaman parti.


Selepas insiden dipecat dan memecat rasanya PKR dan DAP khususnya para Exconya tentu maklum siapakah bos sebenarnya!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
baru tau langit tinggi rendah...
SIS berkata…
suka tgk wayang kulit ni..so lain kali jgn aniaya org..doa org teraniaya pasti makbul...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?