CARPE DIEM, RIP SIR …


Tidak banyak filem sama ada filem barat, melayu atau bahasa apa pun yang meninggalkan kesan mendalam dan impak dalam hidup saya.  Namun filem Dead Poet Society lakonan Robin Williams yang memegang watak sebagai seorang guru Bahasa Inggeris dalam filem ini sangat terkesan dalam hidup saya.

Robin Williams sebagai Prof. John Keating dalam Dead Poet Society
Kisah bagaimana guru Bahasa Inggeris menjadi inspirasi kepada para pelajarnya memang mengujakan saya, kerana itu ketika saya menjadi guru di sebuah pusat tuisyen selama enam tahun, filem ini menjadi inspirasi saya untuk membantu para pelajar saya.

Walaupun senario dalam filem Dead Poet Society jauh berbeza dengan latar para pelajar saya namun bukanlah penghalang bagi saya untuk menjadikan Robin William sebagai idola saya dalam dunia keguruan.

Robin Williams yang memberikan lakonan mantap dalam Dead Poet Society memberikan dimensi baru dalam kerjaya perguruan dengan memberikan ruang dan mengaplikasikan kaedah pendidikan yang luar dari kebiasaan serta merapatkan jurang di antara pendidik dan para pelajarnya.

Professor John Keating, watak yang dimainkan oleh Robin Williams dalam Dead Poet Society sukar ditemui dalam realiti, namun kisah dalam Dead Poet Society adalah nukilan pengalaman penulis skripnya, Tom Schulman ketika menjalani alam kolejnya.

Robin Williams adalah pelakon yang sangat serius dan benar-benar berusaha menjiwai setiap watak yang dibawanya.  Lihatlah bagaimana beliau bermula dengan genre komidi dan kemudiannya beralih ke genre drama, namun keistimewaannya adalah genre komidi sehingga akhir hayatnya. 

Satu lagi sumbangan Robin Williams adalah ‘suara’nya yang dipinjam dalam pelbagai watak filem-filem animasi antaranya Alladin, Robots dan Happy Feets.  Malah dikhabarkan juga bagaimana Robin Williams memberikan dimensi baru dalam sumbangan ‘suara’ watak-watak animasi di Hollywood, apabila lebih ramai selebriti menjadi penyumbang ‘suara’ kepada watak-watak dalam filem animasi.

Seperti filem Dead Poet Society, Robin Williams menjiwai watak sebagai Dr. Sean Maguire, pakar terapi, membolehkannya dinobatkan sebagai penerima Anugerah Akademi kategori Pelakon Pembantu Terbaik bagi edisi ke-70 menerusi filem Good Will Hunting.

Robin Williams meninggalkan legasi dalam dunia lakonan khususnya dalam kerjaya beliau sebagai pelakon komedi, ‘stand-up comedian’, juga sebagai pelakon serba boleh sepanjang hayat dunia seninya sejak tahun 1972.

Namun, sebagai pelawak, ironinya, Robin Williams meninggal dunia kerana masalah kemurungan, benarlah aksiom, dunia adalah pentas, dan kita semua adalah pelakonnya.


Carpe Diem, bersemadilah dengan aman, Cikgu.  Kapten Oh Kaptenku!

Ulasan

SIS berkata…
tn pernah jd guru tuisyen bahasa Inggeris saya dulu dan saya akui tn mmg lain dr guru2 yg lain dr segi corak dan cara mengajar... mmg mengujakan setiap kali tn mengajar..pernah terfikir dr mana tn dapat idea..kini br saya tahu ianya inspirasi dr lakonan Robin William..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?