DI SINI LAHIRNYA SEBUAH CINTA …


Tahun ini kita bakal menyambut ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-57.  Tidak seperti sebelum ini, sambutan Merdeka pada kali ini tentulah agak menyedihkan apatah lagi dengan ujian dari Allah SWT kepada seluruh rakyat Malaysia.

Dua ujian besar dalam tempoh kurang 100 hari terhadap rakyat Malaysia khususnya syarikat penerbangan nasional, MAS.  Insiden pertama pada 8 Mac lalu, melibatkan penerbangan MH370 dengan 239 penumpang dan kru masih lagi menjadi teka-teki sehingga kini.

Ketika umat Islam seluruh dunia sedang menjalani ibadah Ramadan, dan kurang daripada dua minggu merayakan Aidil Fitri, satu lagi insiden melibatkan penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine.  Insiden pada 17 Julai itu melibatkan 298 penumpang dan anak kapal yang tidak berdosa.

Dalam usaha Kerajaan memberikan yang terbaik kepada mangsa-mangsa MH17 yang tidak berdosa, misalnya penghormatan tentera yang tidak pernah diberikan kepada orang awam, Kerajaan dicemuh oleh segelintir pihak yang mempertikaikan upacara yang dianggap ‘berlebihan’ itu.

Hari Perkabungan Negara pada 22 Ogos yang lalu cukup mengesankan, apabila seluruh rakyat Malaysia di dalam negara dan di luar negara bertafakur sejenak ketika kumpulan pertama jenazah mangsa di bawa kembali untuk dikebumikan. 

Sepanjang negara kita merdeka ini mungkin kali pertama upacara penuh istiadat diberikan kepada orang awam.  Malah pengiktirafan Hari Perkabungan juga adalah komitmen dan penghormatan Kerajaan kepada mangsa insiden MH17.

Tema yang dipilih tahun ini adalah petikan lirik lagu yang pernah  dinyanyikan oleh Allahyarham Sudirman Haji Arshad yang mendapat jolokan Penghibur Rakyat.  Bait, di sini lahirnya cinta menjadi tema sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke-57. 

Pemilihan tema ini dianggap bertepatan dalam mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk kembali melihat tanah leluhur mereka dalam kacamata yang positif dan penuh jati diri.

Jika insiden MH370 dan insiden MH17 dianggap telah menyatukan seluruh rakyat Malaysia, tentulah kita tidak sentiasa memerlukan bencana untuk menyatukan kita, namun semangat Merdeka tentunya dapat mengembalikan ikatan kasih sesama kita.

Ironinya angka 57 juga merujuk kepada tahun negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.  Kisah pengorbanan para pejuang kemerdekaan seperti Almarhum Tuanku Abdul Rahman, Tun Sardon Zubir, Tan Cheng Lock, V. Sambanthan (sekadar beberapa contoh) tidak hanya patut dikenang ketika kita menyambut Hari Kemerdekaan negara pada setiap tahun.

Generasi X dan Y tidak sepatutnya dibiarkan tidak mengenali dan tidak menghargai tokoh-tokoh besar ini, sesuatu perlu dilakukan seperti mengwujudkan Galeri Kemerdekaan pada skala nasional perlu digerakkan.

Jangan salahkan generasi muda dewasa ini untuk tidak mengenali dan menghargai tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan negara jika kisah mereka hanya tertinggal dalam buku teks sekolah sahaja.

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan, Malaysia…di sini lahirnya sebuah cinta!


Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
merdeka merdeka merdeka !
SIS berkata…
kemerdekaan tahun ini mmg terasa sayu..di tambah dgn slogan..'Di sini Lahirnya Sebuah Cinta'...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?