PROAKTIF & AKAUNTABILITI
Minggu
lepas pecah cerita mengenai seorang remaja kurang upaya yang dikurung dalam
sebuah rumah dalam keadaan yang tidak menyenangkan.
Muhammad
Firdaus Dullah berusia 15 tahun ditemui dengan tidak sengaja oleh pasukan
Imigresen Negeri Sembilan ketika melakukan operasi bersepadu 6P diflat kediaman
anak malang itu. Yang lebih malang
adalah mangsa ditemui terkurung dalam sebuah bilik dalam keadaan kurus kering,
tidak terurus ditemani najis dan sampah sarap.
Selepas
penemuan anak malang itu, berduyun-duyun para pemimpin kecil dan besar
bertandang untuk merakamkan simpati dan menghulurkan bantuan. Malah ibu kepada mangsa, Imashima Lola juga
telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengabaikan anak sendiri berdasarkan
Akta Kanak-kanak 2001.
Mujurlah,
anak malang ini diselamatkan ketika berlaku operasi bersepadu 6P, anehnya
ibunya adalah seorang yang bekerja malah dikhabarkan mempunyai akaun laman
sosial facebook, tanggapan bahawa si
ibu tidak tahu mengenai kewujudan bantuan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat
(JKM) sukar untuk diterima.
Insiden
ini berlaku di Nilai dan sebagai rakyat, jika ibunya boleh disabitkan dengan
kesalahan mengabaikan anak sendiri, maka adakah sebagai rakyat kita juga boleh
mengambil tindakan terhadap wakil rakyat dan Ahli Parlimen di kawasan itu yang
gagal melaksanakan tanggungjawab mereka. Malah Ahli Majlis juga seperti gagal
melaksanakan tugas mereka apatah lagi ianya berlaku dalam kawasan mereka
menjadi Ahli Majlis.
Sikap
proaktif nampaknya tidak sangat dipraktikkan, adakah ini bermakna anak malang
ini tidak pernah berdaftar dengan JKM atau adakah pihak hospital di mana anak
ini dilahirkan juga tidak membuat susulan mengenai keadaannya selepas
kelahiran. Apakah pegawai-pegawai
lapangan yang bertugas di JKM kurang berusaha mencari kes-kes seperti anak
malang ini dan hanya menunggu laporan sebelum bertindak.
Hanya
selepas laporan mengenai anak ini, muncullah Ketua Wanita bertaraf Menteri,
Menteri yang terbabit secara langsung, dan pelbagai pihak lain yang merakamkan
simpati mereka.
Adakah
usaha pihak JKM menguar-uarkan mengenai pendaftaran golongan OKU tidak berkesan
sehingga ada lagi kes seperti Muhammad Firdaus Abdullah.
Tidak
kelihatan di mana-mana media mengenai peranan wakil rakyat dan Ahli Parlimen khususnya
di mana anak ini ditemui. Malah Dewan
Pemuda PAS Seremban dikhabarkan berkata “jika
mereka dimaklumkan terlebih dahulu berhubung keadaan malang yang menimpa remaja
OKU, Muhammad Firdaus Dullah 15; sudah tentu bantuan sewajarnya telah
dihulurkan”.
Anehnya
seperti PAS yang mempunyai cawangan di kawasan perumahan Rumah Pangsa Taman
Semarak, Nilai, saya pasti UMNO atau parti-parti lain juga tentulah mempunyai
cawangan mereka. Apakah unit-unit kecil
cawangan ini tidak mengambil tahu isi rumah dalam kawasan atau cawangan mereka.
Kepada
Dewan Pemuda PAS, UMNO, atau mana-mana parti hatta Jabatan Kebajikan Masyarakat
sekalipun, berhentilah untuk menunggu dilaporkan, anda sepatutnya bersikap
proaktif dan sedikit ‘menyibuk’ dan menjaga tepi kain orang bagi mengelakkan
lebih ramai insan seperti Muhammad Firdaus Dullah terabai dan terlepas daripada
mendapat bantuan yang sewajarnya!
Saya
amat yakin, jika pun kawasan di mana remaja OKU itu ditemui dalam kawasan yang
diwakili pembangkang, pihak JKM tentulah amat berbesar hati untuk memberikan
layanan sewajarnya tanpa mengira fahaman politik wakil di kawasan tersebut.
Jika
parti-parti politik masih lagi bersifat menunggu dan tidak bersifat proaktif,
maka tidak mustahil ditolak dalam PRU ke-14 nanti.
(Nota Kaki: Tulisan ini
merakamkan ucapan tahniah kepada Pengarah Imigresen Negeri Sembilan, Sdr.
Faizal Fazri Othman, yang bertindak secara proaktif ketika melaksanakan tugas
beliau, moga akan ada lebih ramai seperti beliau)
Ulasan