PIALA DUNIA, YANG MENJENGKELKAN & YANG MENGUJAKAN

Saya sengaja memilih untuk tidak menulis entri baru untuk blog ini.  Bukanlah kerana saya tidak lagi berminat untuk menulis, namun kerana hambatan tugas hakiki yang agak sibuk menjelang separuh tahun 2014.  Selain itu, hambatan kesihatan juga membataskan usaha saya mengemaskini blog ini.

Kurang daripada 24 jam, pertandingan bola sepak Piala Dunia akan membuka tirainya.  Acara setiap empat tahun ini bakal mengurangkan pelbagai aspek khususnya produktiviti.  Selain itu, para majikan juga akan menerima lebih banyak panggilan cuti sakit dan cuti kecemasan dengan pelbagai alasan rekaan.  Semua ini adalah rutin setiap kali berlangsung Piala Dunia.

Apa pun yang lebih menarik adalah bagaimana bola sepak menjadi medium menyatukan umat dunia.  Selama satu bulan Piala Dunia berlangsung, warna kulit, bangsa dan pegangan agama akan diketepikan untuk menyokong pasukan pilihan masing-masing.

Di negara kita selain daripada penglibatan para peminat bola sepak secara fanatik, satu lagi yang membimbangkan adalah judi bola sepak.  Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) pula sedang mengembeling usaha membendung judi bola sepak. 

Harapannya ia adalah usaha yang tidak menjengkelkan seperti yang diucapkan oleh Menteri Dalam Negeri apabila menyatakan bahawa kejayaan BN dalam pilihanraya kecil Teluk Intan adalah kerana amaran beliau kepada para ‘gangster’ untuk tidak mencampuri urusan politik.

Khabarnya, dilaporkan bahawa Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengungkapkan “Jangan ugut orang, jangan cuba campurtangan dalam politik , Saya tahu muka mereka, saya tahu nama mereka, saya tahu mereka duduk di mana dan lari ke mana.  Saya bukan sekadar beri amaran, tapi tahu macam mana nak lakukan”.

Anehnya, ini adalah Menteri yang bertanggungjawab secara langsung terhadap PDRM, jika semuanya tampak jelas mengapa tidak ada usaha membanteras kegiatan kongsi gelap.  Bukankah kumpulan kongsi-kongsi gelap dan samseng adalah bumbu kepada gejala sosial yang lain pula, tambahan pula ketika judi bola sepak akan menjadi barah menjelang Piala Dunia.

Kenyataan Menteri Dalam Negeri ini tentulah menjengkelkan rakyat biasa seperti anda dan saya.  Apa lagi yang ditunggu oleh pasukan PDRM, jika benar segalanya telah jelas.

Piala Dunia pada kali ini berlangsung di negara Brazil.  Ianya akan dilangsungkan di 12 bandar di negara itu.  Brazil pernah menjuarai Piala Dunia sebanyak lima kali pada tahun 1958, 1962, 1970, 1994 dan kali terakhir pada tahun 2002.  Brazil juga pernah menjadi tuan rumah pada tahun 1950.

Edisi ke-20 Piala Dunia 2014 akan menyaksikan sebanyak 64 perlawanan berlangsung selama hampir sebulan.  Pada kali terakhir Piala Dunia pada tahun 2010 ianya dimenangi oleh Sepanyol.

Semua umat manusia seluruh dunia tanpa membezakan bangsa, agama dan fahaman politik akan mengenepikan segalanya untuk turut meraikan Piala Dunia 2014.

Walaupun merasa jengkel dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri ketika pilihanraya kecil Teluk Intan, namun hari ini berita tumpasnya makmal dadah terbesar di negara kita, sekurang-kurangnya adalah satu berita yang mengujakan kita semua.  Usaha pasukan Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik  (STING), yang ditubuhkan pada awal tahun ini nampaknya telah membuahkan hasilnya. Mungkin selepas ini kita akan terus mendengar berita-berita kejayaan pasukan elit ini.

Setiap kali menjelangnya Piala Dunia, tentulah anda dan saya sering bertanya bila pula negara kecil jiwa besar seperti Malaysia bakal beraksi dalam Piala Dunia.  Setakat ini hanya Korea Selatan dan Jepun, dua buah negara Asia yang telah berjaya beraksi dalam Piala Dunia.

Adakah kita masih mahu mengharap peluang beraksi dalam Piala Dunia dengan menjadi tuan rumahnya, rasanya impian ini adalah keterlaluan apatah lagi Asia telahpun pernah menjadi tuan rumahnya melalui penglibatan Korea Selatan dan Jepun pada tahun 2002. 

Mungkin seperti mengharapkan pemenang hadiah Nobel daripada kalangan rakyat Malaysia, beraksi dalam Piala Dunia juga akan terus mekar menjadi impian setiap dari kita! 


Selamat berpesta bola selama separuh Syaaban dan separuh Ramadhan.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
bnyak yg jengkel...
Brader Sports berkata…
Saya pun berharap Malaysia boleh masuk Piala Dunia, tetapi kita kena akur ia bukan suatu yg mudah.
Secara fizikal, kita susah untuk bersaing, oleh itu kita terpaksa kerja lebih keras dari pasukan Eropah, malahan Jepun dan Korea juga bertubuh besar utk cover padang bola.
Keduanya, sistem pendidikan/ibubapa di Malaysia tidak menggalakkan sukan. Cuma harapkan beberapa kerat guru2 yang berminat utk mengasah bakat2 yg ada. Amat berbeza dgn negara2 lain yg komited utk berjaya dalam sukan.

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?