PIALA DUNIA, YANG MENJENGKELKAN & YANG MENGUJAKAN
Saya
sengaja memilih untuk tidak menulis entri baru untuk blog ini. Bukanlah kerana saya tidak lagi berminat
untuk menulis, namun kerana hambatan tugas hakiki yang agak sibuk menjelang
separuh tahun 2014. Selain itu, hambatan
kesihatan juga membataskan usaha saya mengemaskini blog ini.
Kurang
daripada 24 jam, pertandingan bola sepak Piala Dunia akan membuka
tirainya. Acara setiap empat tahun ini
bakal mengurangkan pelbagai aspek khususnya produktiviti. Selain itu, para majikan juga akan menerima
lebih banyak panggilan cuti sakit dan cuti kecemasan dengan pelbagai alasan
rekaan. Semua ini adalah rutin setiap
kali berlangsung Piala Dunia.
Apa
pun yang lebih menarik adalah bagaimana bola sepak menjadi medium menyatukan
umat dunia. Selama satu bulan Piala
Dunia berlangsung, warna kulit, bangsa dan pegangan agama akan diketepikan
untuk menyokong pasukan pilihan masing-masing.
Di
negara kita selain daripada penglibatan para peminat bola sepak secara fanatik,
satu lagi yang membimbangkan adalah judi bola sepak. Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) pula
sedang mengembeling usaha membendung judi bola sepak.
Harapannya
ia adalah usaha yang tidak menjengkelkan seperti yang diucapkan oleh Menteri
Dalam Negeri apabila menyatakan bahawa kejayaan BN dalam pilihanraya kecil
Teluk Intan adalah kerana amaran beliau kepada para ‘gangster’ untuk tidak
mencampuri urusan politik.
Khabarnya,
dilaporkan bahawa Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengungkapkan “Jangan ugut orang, jangan cuba campurtangan
dalam politik , Saya tahu muka mereka, saya tahu nama mereka, saya tahu mereka
duduk di mana dan lari ke mana. Saya
bukan sekadar beri amaran, tapi tahu macam mana nak lakukan”.
Anehnya,
ini adalah Menteri yang bertanggungjawab secara langsung terhadap PDRM, jika
semuanya tampak jelas mengapa tidak ada usaha membanteras kegiatan kongsi
gelap. Bukankah kumpulan kongsi-kongsi
gelap dan samseng adalah bumbu kepada gejala sosial yang lain pula, tambahan
pula ketika judi bola sepak akan menjadi barah menjelang Piala Dunia.
Kenyataan
Menteri Dalam Negeri ini tentulah menjengkelkan rakyat biasa seperti anda dan
saya. Apa lagi yang ditunggu oleh
pasukan PDRM, jika benar segalanya telah jelas.
Piala
Dunia pada kali ini berlangsung di negara Brazil. Ianya akan dilangsungkan di 12 bandar di
negara itu. Brazil pernah menjuarai
Piala Dunia sebanyak lima kali pada tahun 1958, 1962, 1970, 1994 dan kali
terakhir pada tahun 2002. Brazil juga
pernah menjadi tuan rumah pada tahun 1950.
Edisi
ke-20 Piala Dunia 2014 akan menyaksikan sebanyak 64 perlawanan berlangsung
selama hampir sebulan. Pada kali
terakhir Piala Dunia pada tahun 2010 ianya dimenangi oleh Sepanyol.
Semua
umat manusia seluruh dunia tanpa membezakan bangsa, agama dan fahaman politik
akan mengenepikan segalanya untuk turut meraikan Piala Dunia 2014.
Walaupun
merasa jengkel dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri ketika pilihanraya kecil
Teluk Intan, namun hari ini berita tumpasnya makmal dadah terbesar di negara
kita, sekurang-kurangnya adalah satu berita yang mengujakan kita semua. Usaha pasukan Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (STING), yang ditubuhkan pada
awal tahun ini nampaknya telah membuahkan hasilnya. Mungkin selepas ini kita akan
terus mendengar berita-berita kejayaan pasukan elit ini.
Setiap
kali menjelangnya Piala Dunia, tentulah anda dan saya sering bertanya bila pula
negara kecil jiwa besar seperti Malaysia bakal beraksi dalam Piala Dunia. Setakat ini hanya Korea Selatan dan Jepun,
dua buah negara Asia yang telah berjaya beraksi dalam Piala Dunia.
Adakah
kita masih mahu mengharap peluang beraksi dalam Piala Dunia dengan menjadi tuan
rumahnya, rasanya impian ini adalah keterlaluan apatah lagi Asia telahpun
pernah menjadi tuan rumahnya melalui penglibatan Korea Selatan dan Jepun pada
tahun 2002.
Mungkin
seperti mengharapkan pemenang hadiah Nobel daripada kalangan rakyat Malaysia, beraksi
dalam Piala Dunia juga akan terus mekar menjadi impian setiap dari kita!
Selamat
berpesta bola selama separuh Syaaban dan separuh Ramadhan.
Ulasan
Secara fizikal, kita susah untuk bersaing, oleh itu kita terpaksa kerja lebih keras dari pasukan Eropah, malahan Jepun dan Korea juga bertubuh besar utk cover padang bola.
Keduanya, sistem pendidikan/ibubapa di Malaysia tidak menggalakkan sukan. Cuma harapkan beberapa kerat guru2 yang berminat utk mengasah bakat2 yg ada. Amat berbeza dgn negara2 lain yg komited utk berjaya dalam sukan.