APA MAKNANYA KABINET 35?

Minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan perlantikan beberapa Menteri dan Timbalan Menteri yang baru (yang sebenarnya muka lama) dalam Kabinet beliau.  Enam muka baru yang lama ini sebenarnya adalah daripada parti komponen MCA dan GERAKAN. 

Perlantikan wakil MCA ke dalam kabinet adalah ekoran Mesyuarat Agung Luar Biasa parti itu pada Februari lalu yang meluluskan resolusi untuk menerima perlantikan Kerajaan ke dalam kabinet.  Sebelum ini, bekas Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek bertekad parti itu tidak akan menerima jawatan dalam Kerajaan jika pencapaian mereka dalam PRU -13 tidak memuaskan.

Selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa parti itu pada Februari yang lalu di bawah kepimpinan  Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai parti itu telah meluluskan usul untuk menerima jawatan kerajaan di semua peringkat.

Antara yang terlantik adalah Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang diberikan amanah sebagai Menteri Pengangkutan yang selama ini dipangku oleh Datuk Seri Hishamuddin Hussein sejak selepas PRU ke-13 yang lalu. 

Selain itu, Presiden GERAKAN, Datuk Mah Siew Keong juga dilantik ke jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.  Bukanlah rahsia kerana perlantikan Datuk Mah telah diuar-uarkan ketika berlangsungnya pilihanraya kecil Teluk Intan pada bulan lalu yang nyaris-nyaris diaibkan oleh muka baru calon DAP, Dyana Sofia.

Bukanlah tujuan tulisan untuk mempertikaikan perlantikan dan kuasa Perdana Menteri untuk melantik siapa sahaja yang beliau mahukan, namun dengan perlantikan 5 muka lama dari MCA dan 1 muka lama dari GERAKAN, saiz kabinet Malaysia menjadi begitu besar.

Adakah perlantikan ini adalah perlantikan politik, yakni bagi memenuhi kuota parti-parti komponen dalam BN.  Dengan pertambahan saiz dalam kabinet tentulah kita tertanya-tanya adakah Perdana Menteri dan Kerajaan sekarang ini begitu lemah sehingga perlu suntikan muka-muka lama dan kitar semula ini.

Perlantikan Presiden MCA dan GERAKAN adalah dikira wajar, begitu juga perlantikan Timbalan Presiden MCA juga Ahli Parlimen Ayer Hitam begitu juga salah seorang daripada Naib Presiden Datuk Chua Tee Yong yang merupakan Ahli Parlimen Labis.  Namun perlantikan dua lagi wakil MCA ke dalam kabinet adalah keterlaluan dan merupakan ‘free ride’ dalam kabinet.  Dengan perlantikan dua wakil MCA ini menjadikan kabinet Perdana Menteri dilabel oleh pembangkang sebagai bersaiz XXXL!

Mungkinkah Perdana Menteri memasukkan enam muka lama dari MCA dan GERAKAN dan bakal menggugurkan beberapa pemimpin daripada UMNO atau parti komponen lain juga sukar diterka.  Dengan pencapaian buruk parti komponen BN yang mewakili kaum Cina di Malaysia, perlantikan yang tidak wajar ini mungkin akan menambahkan rona kebencian kepada MCA dan GERAKAN di samping menampakkan kelemahan barisan kabinet Perdana Menteri pada masa ini.

Penambahan dalam saiz kabinet tentulah bermakna akan menambah juga perbelanjaan pengurusan Kerajaan yang khabarnya antara yang agak tinggi sejak Datuk Seri Najib mengambilalih tampuk pemerintahan negara pada 2009.

Harapannya agar perlantikan parti komponen dalam BN bukan lagi harus berasaskan kuota sebelum ini tetapi mestilah bersifat realistik berdasarkan prestasi dan pencapaian semasa khususnya pada PRU ke-13 yang lalu. 


Semangat setiakawan dalam BN akan lebih bermaruah dan diyakini rakyat bukan kerana mengotakan janji dalam semangat BN tetapi adalah mengambilkira aspirasi rakyat yang memilih mereka!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
sblm raya lantik mca & gerakan, lepas raya gugur umno..
SIS berkata…
patutnya lg byk menteri lg bagus lah perkhidmatan pd rakyat..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?