PROAKTIF & AKAUNTABILITI

Minggu lepas pecah cerita mengenai seorang remaja kurang upaya yang dikurung dalam sebuah rumah dalam keadaan yang tidak menyenangkan.

Muhammad Firdaus Dullah berusia 15 tahun ditemui dengan tidak sengaja oleh pasukan Imigresen Negeri Sembilan ketika melakukan operasi bersepadu 6P diflat kediaman anak malang itu.  Yang lebih malang adalah mangsa ditemui terkurung dalam sebuah bilik dalam keadaan kurus kering, tidak terurus ditemani najis dan sampah sarap. 

Selepas penemuan anak malang itu, berduyun-duyun para pemimpin kecil dan besar bertandang untuk merakamkan simpati dan menghulurkan bantuan.  Malah ibu kepada mangsa, Imashima Lola juga telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengabaikan anak sendiri berdasarkan Akta Kanak-kanak 2001.

Mujurlah, anak malang ini diselamatkan ketika berlaku operasi bersepadu 6P, anehnya ibunya adalah seorang yang bekerja malah dikhabarkan mempunyai akaun laman sosial facebook, tanggapan bahawa si ibu tidak tahu mengenai kewujudan bantuan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sukar untuk  diterima.

Insiden ini berlaku di Nilai dan sebagai rakyat, jika ibunya boleh disabitkan dengan kesalahan mengabaikan anak sendiri, maka adakah sebagai rakyat kita juga boleh mengambil tindakan terhadap wakil rakyat dan Ahli Parlimen di kawasan itu yang gagal melaksanakan tanggungjawab mereka. Malah Ahli Majlis juga seperti gagal melaksanakan tugas mereka apatah lagi ianya berlaku dalam kawasan mereka menjadi Ahli Majlis.

Sikap proaktif nampaknya tidak sangat dipraktikkan, adakah ini bermakna anak malang ini tidak pernah berdaftar dengan JKM atau adakah pihak hospital di mana anak ini dilahirkan juga tidak membuat susulan mengenai keadaannya selepas kelahiran.  Apakah pegawai-pegawai lapangan yang bertugas di JKM kurang berusaha mencari kes-kes seperti anak malang ini dan hanya menunggu laporan sebelum bertindak.

Hanya selepas laporan mengenai anak ini, muncullah Ketua Wanita bertaraf Menteri, Menteri yang terbabit secara langsung, dan pelbagai pihak lain yang merakamkan simpati mereka.

Adakah usaha pihak JKM menguar-uarkan mengenai pendaftaran golongan OKU tidak berkesan sehingga ada lagi kes seperti Muhammad Firdaus Abdullah.

Tidak kelihatan di mana-mana media mengenai peranan wakil rakyat dan Ahli Parlimen khususnya di mana anak ini ditemui.  Malah Dewan Pemuda PAS Seremban dikhabarkan berkata “jika mereka dimaklumkan terlebih dahulu berhubung keadaan malang yang menimpa remaja OKU, Muhammad Firdaus Dullah 15; sudah tentu bantuan sewajarnya telah dihulurkan”.

Anehnya seperti PAS yang mempunyai cawangan di kawasan perumahan Rumah Pangsa Taman Semarak, Nilai, saya pasti UMNO atau parti-parti lain juga tentulah mempunyai cawangan mereka.  Apakah unit-unit kecil cawangan ini tidak mengambil tahu isi rumah dalam kawasan atau cawangan mereka.

Kepada Dewan Pemuda PAS, UMNO, atau mana-mana parti hatta Jabatan Kebajikan Masyarakat sekalipun, berhentilah untuk menunggu dilaporkan, anda sepatutnya bersikap proaktif dan sedikit ‘menyibuk’ dan menjaga tepi kain orang bagi mengelakkan lebih ramai insan seperti Muhammad Firdaus Dullah terabai dan terlepas daripada mendapat bantuan yang sewajarnya!

Saya amat yakin, jika pun kawasan di mana remaja OKU itu ditemui dalam kawasan yang diwakili pembangkang, pihak JKM tentulah amat berbesar hati untuk memberikan layanan sewajarnya tanpa mengira fahaman politik wakil di kawasan tersebut.

Jika parti-parti politik masih lagi bersifat menunggu dan tidak bersifat proaktif, maka tidak mustahil ditolak dalam PRU ke-14 nanti.


(Nota Kaki: Tulisan ini merakamkan ucapan tahniah kepada Pengarah Imigresen Negeri Sembilan, Sdr. Faizal Fazri Othman, yang bertindak secara proaktif ketika melaksanakan tugas beliau, moga akan ada lebih ramai seperti beliau)
Share this article :
 

+ komen + 2 komen

Tanpa Nama
29 Jun 2014 2:19 PTG

tragis, masih ada ibu semacm itu..

30 Jun 2014 7:40 PG

ibu yg mengabaikan anak ini patut diambil tindkan..sama lah anak yg mengabaikan ibu pun patut diambil tindakan...

Catat Ulasan
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger