MARILAH MARI, KITA MENGUNDI II


Bahang pilihanraya makin terasa, dalam kurang daripada dua minggu, kita sudah boleh menjangkakan bahawa Parlimen akan dibubarkan.  Perdana Menteri dan Timbalannya dalam lawatan politik yang diberikan nama ‘lawatan kerja’ hampir telah melunasi janji untuk melawat kesemua negeri di samping mengadakan perjumpaan tertutup dengan pemimpin politik negeri yang mereka lawati.

Di setiap negeri pula, Perdana Menteri dan Timbalannya telah berjanji untuk melaksanakan itu dan ini sekiranya ‘BN diberikan mandat’ oleh rakyat.  Bukan menjadi kesalahan di negara kita untuk menabur janji seperti itu, malah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak mempunyai sebarang kuasa yang termaktub dalam peraturan mereka untuk menghalang usaha menabur janji oleh para pemimpin.

Misalnya di Kelantan, Perdana Menteri telah berjanji tujuh perkara yang bakal dilaksanakan oleh Kerajaan Barisan Nasional sekiranya berjaya merampas kembali Kelantan daripada pemerintahan PAS. 

Soalnya adakah Perdana Menteri dan Barisan Nasional bakal mengotakan janji kepada rakyat Kelantan sekiranya berjaya merebut Kelantan daripada PAS namun gagal membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan?  Begitu  juga di Selangor dengan kempen  ‘ Sayangi Selangor, Yakini BN’  ‘at any cost’ oleh Barisan Nasional, akan tertunaikah janji kepada rakyat Selangor sekiranya berjaya merampas Selangor namun gagal membentuk kerajaan di peringkat persekutuan?

Dalam masa lebih kurang enam minggu untuk hari mengundi di Malaysia, tiada siapa pun yang berani mengatakan akan menjadi calon, terpilih menjadi calon atau dalam nada seumpamanya.  Masing-masing sama ada daripada Barisan Nasional mahupun pembangkang memberikan mandat dan kepercayaan kepada pucuk pimpinan tertinggi masing-masing untuk mengumumkan calon-calon yang bakal bertanding.

Setakat ini hanya satu nama sahaja yang berani  mengumumkan bakal menjadi calon, Dr. Abdul Aziz Bari, pakar perlembagaan dan mantan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia khabarnya telah dipilih oleh pucuk pimpinan Pakatan Rakyat sebagai calon P092 Sabak Bernam.  Pengumuman tidak rasmi ini dibuat ketika majlis makan malam Tahun Baru Cina di Balik Pulau, Pulau Pinang.

Parlimen P092 Sabak Bernam terdiri daripada dua buah Dewan Undangan Negeri iaitu Sungai Air Tawar dan Sabak.  Pada masa ini kerusi P092 dan kerusi DUN masing-masing merupakan kubu kuat Barisan Nasional yang dimenangi dalam Pilihanraya Umum 2008.

Walaupun Sabak Bernam merupakan kerusi yang dimenangi oleh Barisan Nasional pada tahun 2008 namun, insiden Datuk Abdul Rahman Bakri, Ahli Parlimen Sabak Bernam yang dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM400,000 kerana membuat tuntutan palsu ketika menjadi ADUN Sungai Air Tawar pada Februari 2008, mungkin akan menyukarkan sedikit peluang BN untuk mengekalkan kerusi ini.

Pengumuman sebagai calon oleh ‘tuan punya badan’ Dr. Abdul Aziz Bari mungkin akan memberi warna baru dalam politik Malaysia, ini kerana tidak ramai ahli politik yang begitu ‘terbuka’ untuk menamakan diri mereka sebagai calon apatah lagi menjelang PRU 13 yang dikatakan paling sengit dalam sejarah pilihanraya di Malaysia.

Dr. Abdul Aziz Bari bukanlah nama yang asing khususnya dalam senario politik negara kita, Parlimen P092 Sabak Bernam yang sebelum ini ditandingi oleh Dr. Badrulamin Bahron dari PKR pada tahun 2008.  Pun begitu, sama seperti Ahli Parlimen sekarang ini, Datuk Abdul Rahman Bakri, Dr. Badrulamin Bahron juga dikhabarkan pernah ditangkap khalwat bersama seorang wanita pada tahun lepas di Kuantan.

Kelebihan bakal calon Dr. Abdul Aziz Bari berbanding bekas calon  Dr. Badrulamin Bahron, adalah beliau adalah anak kelahiran Sabak Bernam berbanding Dr. Badrulamin yang dilahirkan di Sabah.

Mungkin Dr. Abdul Aziz Bari boleh menjadi ‘trend setter’ di kalangan ahli politik untuk mengumumkan diri mereka sebagai calon!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
macam leh menang aja si aziz bari..hik hik ..
Tanpa Nama berkata…
bn - janji dicapati..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?