MEJA NOMBOR DUA PULUH SATU



Ironinya, filem pertama tontonan saya di pawagam bagi tahun 2013, pada hari kesembilannya adalah sebuah filem Hindustan.  Tidak pernah terlintas untuk saya menonton filem Hindustan, selepas filem terakhir yang saya tonton beberapa waktu dahulu.

Semuanya bermula apabila temujanji saya dengan seorang pegawai Menteri terpaksa ditangguhkan pada sebelah petang daripada jadual asalnya pada sebelah pagi, kerana telah pun berada di ibu kota, dengan tiada apa-apa yang boleh dilakukan, saya bercadang ke tingkat atas di mana pawagamnya terletak.  Anehnya dua filem Hindustan yang ditayangkan pada hari ini, dan seperti selalu saya mengambil keputusan menonton sebuah yang kurang elemen popularnya.

Maka, jadilah saya menonton sebuah filem thriller Hindustan berjudul Table No. 21, bagi mengisi masa senggang saya sementara menunggu temu janji pegawai si menteri.

Table No. 21 bukan sebuah filem Hindustan yang biasa atau stereotaip, dengan adegan berguling-guling, namun aspek yang disentuh oleh filem ini adalah sesuatu yang walaupun menjadi lumrah tetapi menakutkan.  Istilah ‘ragging’ oleh senior kepada junior sama ada di sekolah, kolej mahupun institusi pendidikan tinggi menjadi premis cerita ini.

Table No. 21 bermula dengan pasangan muda Vivaan dan Siya bercuti ke Fiji kerana memenangi pakej percutian.  Sebagai meraikan ulangtahun perkahwinan mereka yang kelima, mereka dijemput oleh pemilik ‘resort’  dan mengajukan permainan Table No. 21, memandangkan pasangan ini memang memerlukan wang bagi memperbaiki kehidupan mereka, terus sahaja bersetuju dengan permainan yang ditawarkan oleh pemilik resort.

Syarat permainan realiti Table No. 21 yang disiarkan secara langsung melalui siaran web adalah perserta tidak boleh menipu – you lie you die.  Sebanyak lapan soalan dan lapan tugasan disediakan bagi merebut wang sebanyak 21 juta rupee.  Pasangan itu yang memang berkehendakkan wang terus sahaja bersetuju tanpa menyedari terdapat klausa dalam peraturan permainan bahawa mereka tidak boleh memberhentikan permainan sebelum selesai kesemua soalan dan tugasan.

Apa yang mula disedari oleh pasangan tersebut ialah pemilik resort yang menganjurkan permainan realiti Table No. 21 seolah-olah tahu segala sesuatu mengenai pasangan tersebut, menjadikan banyak tugasan dan soalan berkaitan dengan kehidupan pasangan itu khususnya ketika menuntut di kolej.

Permainan yang dianggap menyeronokkan oleh pasangan itu rupanya bertukar menjadi mimpi ngeri apabila banyak tugasan yang dilakukan lebih mencabar dan boleh meragut nyawa mereka, malah mula membuka sejarah hitam mereka.

Apabila soalan akhir diajukan, yang bertanyakan tentang hubungan sulit si isteri dengan majikannya, rahsia yang selama ini diselindungi sang isteri pun diketahui oleh suaminya, oleh kerana si isterinya menipu, suami tersebut harus membunuh isterinya atau melakukan pembunuhan.

Akhirnya apabila dibawa kepada mangsa yang patut dibunuh oleh suaminya barulah segala-galanya terlerai, rupanya pemilik resort yang menganjurkan permainan realiti Table No. 21 sebenarnya adalah ayah kepada mangsa deraan oleh pasangan ini ketika zaman kolej mereka.  Kerana penderaan yang begitu teruk dan memalukan telah menjadikan anaknya seorang hilang keyakinan diri dan murung.

Table No. 21 sarat dengan mesej, antaranya apa yang kita lakukan pada hari ini, akan menerima balasannya dan perbuatan ‘ragging’ yang sering dianggap sebagai bahan jenaka sebenarnya adalah satu perlakuan jenayah.

Ketika di akhir filem ini, dinyatakan fakta mengenai masalah ‘ragging’ di India dan menjadi kebiasaan saya menunggu sehingga selesai ‘credit title’ sebelum melangkah keluar dan disambut oleh tiga petugas pawagam, apabila ditanya kepada mereka, sahlah saya menonton filem Table No. 21 berseorangan!

Kepada penggiat filem melayu, Table No. 21 harus ditonton kerana elemen thriller yang digabungkan untuk memberikan impak mengenai masalah seperti deraan dan buli khususnya di sekolah, kolej dan pusat pengajian tinggi.  Bagaimana sebuah isu yang serius mampu diolah dalam bentuk naratif sinematik untuk untuk menyampaikan mesej sosial.

Sebuah filem thriller Hindustan seperti Table No. 21 mampu menyebabkan saya terpaku di kerusi saya sehingga ke akhirnya walaupun pundi kencing saya seperti mahu meledak, sekurang-kurang saya tidak ‘dikencing’ oleh filem-filem Melayu yang hambar dan membosankan!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
amboi mulut x de insuran..tidak 'dikencing' filem melayu?
anep berkata…
filem hindi era baru kot...
kerja sendiri berkata…
berminat lak nak tengok movie hindi yang takde guling2...nak try carilah pas ni.

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?