AMPUN TUANKU, SEMBAH PATIK HARAP DIAMPUN ...


Saya tidak pernah ada masalah dengan Tuanku Sultan Pahang sebagai Sultan Pahang, malah sangat kagum sehingga pernah beberapa kali menitiskan airmata kerana jiwa rakyat Baginda menyelami perasaan rakyat khususnya ketika bencana banjir di negeri Baginda.

Kisah bagaimana seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Arau yang hilang selama 19 hari pada Februari 2008 dan ditempatkan di Wad DiRaja Hospital Tengku Ampuan Afzan atas ihsan baginda Sultan Ahmad Shah memang meruntun naluri saya bagaimana baginda sangat berjiwa rakyat.

Ada juga ketika Baginda menyertai pasukan mencari seorang pendaki yang hilang.  Itu keprihatinan Baginda Sultan Pahang yang amat menyentuh perasaan saya.

Namun apabila meletakkan Baginda sebagai pemimpin sukan, khususnya sukan bola sepak yang menjadi sukan nombor satu bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia, memang akan agak berkerut wajah saya. 

Bukan Baginda tidak sesuai menjadi pemimpin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), tetapi adalah lebih manis Baginda melepaskan jawatan sebagai Presiden FAM atas semangat seorang Sultan, Ayahanda dan Negarawan, ini kerana dengan melepaskan jawatan sebagai Presiden, baginda masih boleh memberikan input dan memerhatikan apa yang boleh dilakukan oleh pengganti beliau selagi hayat Baginda.

Tidak dapat dinafikan sejak Baginda menjadi Presiden FAM daripada tahun 1984, memang telah banyak pencapaian yang dilakukan terhadap skuad bola sepak negara.  Siapa yang boleh melupakan kemenangan manis Malaysia mengalahkan Korea Selatan untuk menjuarai Piala Merdeka selepas kegersangan selama hampir sedekad, pada tahun 1993.
Seperti titah  Baginda “Main bola ada menang, ada kalah, kalau menang saja dengan orang lain tak payahlah kita berlawan, (untuk kejohanan) AFF (Suzuki Cup) baru-baru ini nasib kita tak berapa baik.  I’m a fighter (Saya adalah pejuang)....kita lawan, kita ada ramai pemain yang masih lagi tidak dikemukakan, janganlah ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelangga’,”.
Apa yang gagal dilihat dan mahu dilihat oleh majoriti rakyat Malaysia yang cintakan institusi raja-raja dan peminat bola sepak khususnya adalah kegemilangan sukan bola sepak di Malaysia, di tangan kepimpinan yang baharu dan boleh menjadikan Baginda sebagai rujukan dan nasihat.
Baginda Sultan Ahmad Shah seperti diakui sendiri oleh Baginda adalah seorang ‘pejuang’, bukankah ini sebenarnya lebih baik untuk Baginda menjadi penaung dan penasihat kepada kepimpinan baru supaya mutu dan kegemilangan sukan bola sepak boleh ditingkatkan, dilihat dan dinikmati oleh Baginda selepas hampir tiga dekad menerajui FAM.
Secara peribadi saya juga tidak mahu Baginda berundur dengan desakan banyak pihak, ini akan kelihatan seperti Baginda akur dengan desakan mereka, namun apa yang patut dilihat ialah apabila ‘banyak pihak’ mahukan Baginda berundur ini adalah kerana cinta dan kasih kepada Baginda dan mahukan sentuhan Baginda sebagai seorang yang cintakan sukan bola sepak sepenuh hati Baginda. 
Sentuhan baginda sebagai seorang negarawan, Ayahanda dan pemimpin yang telah melakarkan sejarah tersendiri dalam kepimpinan FAM untuk hampir tiga dekad, tidak mungkin dapat dilupakan oleh seluruh rakyat Malaysia, namun jika terus berpaut pada tampuk kuasa selepas kedengaran suara-suara yang mahukan baginda memberikan laluan kepada pemimpin baharu, tentulah akan dikenang dalam konotasi yang negatif pula.
Saya tidak mahu memperkatakan mengenai kumpulan 103 orang yang berkumpul untuk menzahirkan tanda sokongan kepada Baginda, jika diberi pilihan saya juga mahu menambah bilangan tersebut.  Namun realitinya ialah rayuan majoriti  kepada Baginda untuk berundur adalah sesuatu yang sukar dinafikan.
Saya berpendirian bahawa sokongan kumpulan 103 orang individu adalah sokong yang membawa rebah dan merupakan satu penghinaan kepada baginda dan kredibiliti baginda selama menerajui FAM!

(Tulisan ini tidak bermaksud mahu mempertikaikan kumpulan 103 yang menzahirkan sokongan kepada Sultan Ahmad Shah untuk terus menerajui FAM, juga bukan mempertikaikan kemampuan baginda untuk terus menerajui FAM.  Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis, tanpa apa-apa agenda kecuali mahu melihat sukan bola sepak negara kita akan terus gemilang.  Ampun Tuanku, Sembah Patik Harap Diampun)

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
selpas hampir 30 tahun takkan x reti reti lagi..
Tanpa Nama berkata…
tak sedar diri umur dah 84 masih nk paut kuasa presiden..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?