CATATAN DARI KAKI BUKIT


Sejak awal tahun ini, tumpuan Siri Jelajah Budaya Selangor yang ditunjangi oleh Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) ialah di daerah Hulu Selangor yang merupakan perhentian keempat dalam siri jelajah ini.

Menariknya, siri jelajah ini dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Seniman dan Sasterawan Malaysia (SESAMA) dan Majlis Daerah Hulu Selangor.  Benarlah pengalaman yang sekali ini amat berbeza daripada tiga buah siri jelajah yang pernah kami laksanakan setakat ini.

Jelajah Budaya siri ini dilaksanakan di pekan Kuala Kubu Bharu, sebuah pekan yang amat meyenang dan menenangkan.  Begitu teruja dengan pekan ini, sehingga ramai di antara kami memilih untuk tidak berulang seperti yang kami lakukan dengan siri jelajah sebelum ini.

Pengalaman tiga kali mengendalikan siri jelajah tentulah tidak sama, malah setiap siri jelajah disulami cerita-cerita pengendalian yang memberikan pengalaman yang paling berharga, daripada hal-hal yang remeh sehinggalah kepada persoalan mengapa ‘sipolan atau sipolan itu tidak terpilih, atau mengapa sipolan itu dipilih’. 

Ironinya, soalan-soalan cepumas ini tidak hanya datang daripada pihak luar malah juga dalam kalangan rakan-rakan yang memang mahu kami cukup bersedia dengan jawapan dan kewajarannya.

Jelajah Budaya siri ke-4 di Hulu Selangor bukan sahaja unik daripada segi penganjuran yang dibantu oleh SESAMA, malah adalah yang paling padat dengan pelbagai acara selama tiga hari pelaksanaanya.  Keunikan yang lain ialah ianya diadakan pada hari bekerja dan bukan hujung minggu seperti lazimnya.  Selain itu, inilah kali pertama seorang Yang DiPertua Majlis Daerah yang sudi hadir, di samping menyokong kuat usaha penganjurannya.

Tiga siri jelajah sebelum ini tidak ada pula majlis pelancarannya, namun pada kali ini diadakan majlis pelancaran disempurnakan oleh YB Tuan Senator Syed Shahir. 

Sebanyak 10 program telah diatur sepanjang tiga hari berlangsungnya Jelajah Budaya Selangor Daerah Hulu Selangor.  Bermula daripada majlis pelancaran, diikuti dengan pamerang lukisan oleh tiga orang pelukis tempatan, Mansor Abd. Aziz, Abd. Halim Baharum dan Zulkifli Din yang berlangsung di Muzium Sejarah di pekan ini.

Kuliah Ilmu yang disampaikan oleh Tokoh Penulis Selangor 2011, Dr. Shahrir Mohd Zain mengisi program seterusnya bertempat di Darul Quran yang dihadiri oleh para pelajarnya.  Selepas itu berlangsung pula, Dialog Budaya di Rumah Rehat dan berakhir acara hari pertama dengan Malam Jelajah Budaya yang menobatkan seorang insan kreatif dinobatkan sebagai Tokoh Budaya Daerah Hulu Selangor 2013.

Kini jelajah budaya siri ke-4 telah pun usai dengan program terakhir iaitu Himpunan Rumpun Melayu Nusantara yang membabitkan pembentangan 2 kertas kerja oleh Harleny Arif dan Dr. Alinor Kadir masing-masing berjudul “Menelusuri Asal-usul Diri: Dari Perak ke Kota Raja, Rao” dan “Minang, Kerinci dan Kampar: Sejarah Kritis”, namun siri seterusnya menanti dengan pengalaman yang sukar diduga.

Walaupun agak padat dan penat dengan program, namun apa yang pasti Siri Jelajah Budaya siri kelima pula menunggu di Sabak Bernam yang dijadualkan pada minggu ketiga Februari nanti.  Mungkin ada pengalaman baru yang dapat dikutip seusainya!


Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Ceritalah panjang sikit. Macam nak berahsia pula. Atau nak menyakat? Saja buat orang tertanya-tanya. Kalau tak pun beri pautan di mana boleh baca lebih lanjut - SH

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?