CATATAN DARI KAKI BUKIT
Sejak awal tahun ini, tumpuan
Siri Jelajah Budaya Selangor yang ditunjangi oleh Seniman Paksi Rakyat (PAKSI)
ialah di daerah Hulu Selangor yang merupakan perhentian keempat dalam siri
jelajah ini.
Menariknya, siri jelajah ini
dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Seniman dan Sasterawan Malaysia
(SESAMA) dan Majlis Daerah Hulu Selangor.
Benarlah pengalaman yang sekali ini amat berbeza daripada tiga buah siri
jelajah yang pernah kami laksanakan setakat ini.
Jelajah Budaya siri ini dilaksanakan
di pekan Kuala Kubu Bharu, sebuah pekan yang amat meyenang dan
menenangkan. Begitu teruja dengan pekan
ini, sehingga ramai di antara kami memilih untuk tidak berulang seperti yang
kami lakukan dengan siri jelajah sebelum ini.
Pengalaman tiga kali
mengendalikan siri jelajah tentulah tidak sama, malah setiap siri jelajah
disulami cerita-cerita pengendalian yang memberikan pengalaman yang paling
berharga, daripada hal-hal yang remeh sehinggalah kepada persoalan mengapa ‘sipolan
atau sipolan itu tidak terpilih, atau mengapa sipolan itu dipilih’.
Ironinya, soalan-soalan cepumas
ini tidak hanya datang daripada pihak luar malah juga dalam kalangan
rakan-rakan yang memang mahu kami cukup bersedia dengan jawapan dan
kewajarannya.
Jelajah Budaya siri ke-4 di Hulu
Selangor bukan sahaja unik daripada segi penganjuran yang dibantu oleh SESAMA,
malah adalah yang paling padat dengan pelbagai acara selama tiga hari
pelaksanaanya. Keunikan yang lain ialah
ianya diadakan pada hari bekerja dan bukan hujung minggu seperti lazimnya. Selain itu, inilah kali pertama seorang Yang
DiPertua Majlis Daerah yang sudi hadir, di samping menyokong kuat usaha
penganjurannya.
Tiga siri jelajah sebelum ini
tidak ada pula majlis pelancarannya, namun pada kali ini diadakan majlis
pelancaran disempurnakan oleh YB Tuan Senator Syed Shahir.
Sebanyak 10 program telah diatur
sepanjang tiga hari berlangsungnya Jelajah Budaya Selangor Daerah Hulu
Selangor. Bermula daripada majlis
pelancaran, diikuti dengan pamerang lukisan oleh tiga orang pelukis tempatan,
Mansor Abd. Aziz, Abd. Halim Baharum dan Zulkifli Din yang berlangsung di
Muzium Sejarah di pekan ini.
Kuliah Ilmu yang disampaikan oleh
Tokoh Penulis Selangor 2011, Dr. Shahrir Mohd Zain mengisi program seterusnya
bertempat di Darul Quran yang dihadiri oleh para pelajarnya. Selepas itu berlangsung pula, Dialog Budaya
di Rumah Rehat dan berakhir acara hari pertama dengan Malam Jelajah Budaya yang
menobatkan seorang insan kreatif dinobatkan sebagai Tokoh Budaya Daerah Hulu
Selangor 2013.
Kini jelajah budaya siri ke-4
telah pun usai dengan program terakhir iaitu Himpunan Rumpun Melayu Nusantara
yang membabitkan pembentangan 2 kertas kerja oleh Harleny Arif dan Dr. Alinor
Kadir masing-masing berjudul “Menelusuri Asal-usul Diri: Dari Perak ke Kota
Raja, Rao” dan “Minang, Kerinci dan Kampar: Sejarah Kritis”, namun siri
seterusnya menanti dengan pengalaman yang sukar diduga.
Walaupun agak padat dan penat
dengan program, namun apa yang pasti Siri Jelajah Budaya siri kelima pula
menunggu di Sabak Bernam yang dijadualkan pada minggu ketiga Februari nanti. Mungkin ada pengalaman baru yang dapat dikutip seusainya!
Ulasan