MARILAH MARI KITA MENGUNDI …


Sana sini bahang pilihanraya telah mula terasa, apa tidaknya setiap program yang dilaksanakan sama ada oleh pemimpin Kerajaan mahupun pembangkang, pasti diselitkan dengan rayuan pilihan raya.

Mesej mengenai bajet 2013 yang diuar-uarkan melalui media massa juga menyelitkan secara bawah sedar mesej kerajaan mengenai ‘janji ditepati’.  Pada hemat saya keupayaan pembangkang untuk menang besar dalam PRU 13 bukanlah satu tugas yang mudah, namun juga bukan mudah bagi pihak Kerajaan mengekalkan majoriti dua pertiga yang selesa sebagai sebuah kerajaan yang telah mentadbir negara selama lebih setengah abad.

Tidak pernah dalam sejarah, kumpulan badan-badan bukan kerajaan berhimpun untuk menyatakan bantahan yang begitu hebat terhadap sistem pilihanraya yang telah berlangsung sebanyak 12 kali sebelum ini dalam tempoh setengah abad.  Bukti transformasi perundangan kerajaan melalui penggubalan Akta Perhimpunan Aman 2012 menyaksikan ratusan ribu rakyat berhimpun dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat pada 12 Januari yang lalu, antara lain menuntut pilihanraya umum yang bersih.

Walaupun Kerajaan pimpinan YAB Datuk Seri Najib boleh mendabik dada mengatakan himpunan tersebut adalah bukti transformasi kerajaan yang berjaya, namun bolehkah para pemimpin kerajaan tidur lena selepas ratusan ribu rakyat berhimpun mewakili puluhan badan bukan kerajaan, malah dikhabarkan lebih lapan puluh pemimpin badan-badan ini bersatu menyatakan ‘sikap dan pandangan’ mereka dalam satu pentas yang sama.

Malah ketika melalui sebuah jalan utama di bandaraya Kuala Lumpur telah kelihatan bendera besar dacing Barisan Nasional.  Petanda pilihanraya memang sudah hampir, tanda-tandanya juga sudah makin terserlah.  Tunggulah beberapa ketika lagi, mungkin ada dakwaan oleh pihak pencegah rasuah terhadap ‘ikan-ikan besar’.  Ini adalah indikator yang paling mudah untuk mengesan pilihanraya makin hampir.

Menjelang pilihanraya umum, akan ada pendakwaan terhadap orang-orang besar, dan para pemimpin akan mendabik dada ‘kita tidak melindungi sesiapa’ dan pemimpin badan pencegah rasuah pula akan memekik ‘kami tidak pilih bulu’.  Selepas beberapa ketika, pilihanraya datang dan pergi sipolan ikan besar yang ditangkap dan didakwa kononnya dilepaskan kerana didapati tidak bersalah.

Kita tidak perlu bercakap mengenai pemberian menjelang pilihanraya, kerana jika menyentuh mengenai BR1M, bantuan awal persekolahan atau apa sahaja bentuk ‘hand out’ oleh kerajaan boleh jatuh ‘sebagai tidak bersyukur’  dan para mufti dan ulama pemimpin Kerajaan akan berlumba-lumba untuk mengeluarkan fatwa dan dalil perlunya kita bersyukur.

Khabar pilihanraya akan diadakan pada tahun lalu juga tidak menjadi kenyataan kerana selama 12 bulan, rakyat dan orang-orang politik berteka-teki mengenai tarikhnya namun tiada satu pun yang menjadi kenyataan.  Tahun 2012 berlalu tanpa sebarang pilihanraya.  Mungkin kerajaan selepas ini harus bertindak lebih matang untuk menetapkan tarikh pilihanraya sekurangnya enam atau dua belas bulan sebelum tarikh pilihanraya.

Saya tidak nampak apakah kelebihan sebuah negara seperti Malaysia yang merahsiakan tarikh pilihanraya yang hanya diketahui oleh seorang Perdana Menteri, penetapan tarikh pilihanraya tidak mungkin dapat merubah sebarang keputusan pada keputusan pilihanraya, malah akan memberikan suntikan keyakinan khususnya kepada pihak Kerajaan, yang boleh mendabik dada dengan pelbagai bentuk transformasi kecuali menetapkan tarikh pilihanrayanya.

Tarikh pilihanraya umum pada jangkaan saya akan berlangsung pada 24 Mac yang akan datang, ada sesiapa ada tarikh yang lain?
Share this article :
 

+ komen + 3 komen

Tanpa Nama
22 Januari 2013 5:37 PTG

amboi siap tarikh lg,,ni mesti penyokong kuat bn ni..

Tanpa Nama
22 Januari 2013 10:16 PTG

marilah mari kita mengundi pakatan menjadi kerajaan..amacam bro..

29 Januari 2013 3:18 PTG

apa kata kita tetapkan hr ngundi 24 mac..hehehe

Catat Ulasan
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger