MARILAH MARI KITA MENGUNDI …
Sana sini bahang pilihanraya
telah mula terasa, apa tidaknya setiap program yang dilaksanakan sama ada oleh
pemimpin Kerajaan mahupun pembangkang, pasti diselitkan dengan rayuan pilihan
raya.
Mesej mengenai bajet 2013 yang
diuar-uarkan melalui media massa juga menyelitkan secara bawah sedar mesej
kerajaan mengenai ‘janji ditepati’. Pada
hemat saya keupayaan pembangkang untuk menang besar dalam PRU 13 bukanlah satu
tugas yang mudah, namun juga bukan mudah bagi pihak Kerajaan mengekalkan majoriti
dua pertiga yang selesa sebagai sebuah kerajaan yang telah mentadbir negara
selama lebih setengah abad.
Tidak pernah dalam sejarah,
kumpulan badan-badan bukan kerajaan berhimpun untuk menyatakan bantahan yang
begitu hebat terhadap sistem pilihanraya yang telah berlangsung sebanyak 12
kali sebelum ini dalam tempoh setengah abad.
Bukti transformasi perundangan kerajaan melalui penggubalan Akta
Perhimpunan Aman 2012 menyaksikan ratusan ribu rakyat berhimpun dalam Himpunan
Kebangkitan Rakyat pada 12 Januari yang lalu, antara lain menuntut pilihanraya
umum yang bersih.
Walaupun Kerajaan pimpinan YAB
Datuk Seri Najib boleh mendabik dada mengatakan himpunan tersebut adalah bukti
transformasi kerajaan yang berjaya, namun bolehkah para pemimpin kerajaan tidur
lena selepas ratusan ribu rakyat berhimpun mewakili puluhan badan bukan
kerajaan, malah dikhabarkan lebih lapan puluh pemimpin badan-badan ini bersatu
menyatakan ‘sikap dan pandangan’ mereka dalam satu pentas yang sama.
Malah ketika melalui sebuah jalan
utama di bandaraya Kuala Lumpur telah kelihatan bendera besar dacing Barisan
Nasional. Petanda pilihanraya memang
sudah hampir, tanda-tandanya juga sudah makin terserlah. Tunggulah beberapa ketika lagi, mungkin ada
dakwaan oleh pihak pencegah rasuah terhadap ‘ikan-ikan besar’. Ini adalah indikator yang paling mudah untuk
mengesan pilihanraya makin hampir.
Menjelang pilihanraya umum, akan ada
pendakwaan terhadap orang-orang besar, dan para pemimpin akan mendabik dada ‘kita
tidak melindungi sesiapa’ dan pemimpin badan pencegah rasuah pula akan memekik ‘kami
tidak pilih bulu’. Selepas beberapa
ketika, pilihanraya datang dan pergi sipolan ikan besar yang ditangkap dan
didakwa kononnya dilepaskan kerana didapati tidak bersalah.
Kita tidak perlu bercakap
mengenai pemberian menjelang pilihanraya, kerana jika menyentuh mengenai BR1M,
bantuan awal persekolahan atau apa sahaja bentuk ‘hand out’ oleh kerajaan boleh jatuh ‘sebagai tidak bersyukur’ dan para mufti dan ulama pemimpin Kerajaan
akan berlumba-lumba untuk mengeluarkan fatwa dan dalil perlunya kita bersyukur.
Khabar pilihanraya akan diadakan
pada tahun lalu juga tidak menjadi kenyataan kerana selama 12 bulan, rakyat dan
orang-orang politik berteka-teki mengenai tarikhnya namun tiada satu pun yang
menjadi kenyataan. Tahun 2012 berlalu
tanpa sebarang pilihanraya. Mungkin
kerajaan selepas ini harus bertindak lebih matang untuk menetapkan tarikh
pilihanraya sekurangnya enam atau dua belas bulan sebelum tarikh pilihanraya.
Saya tidak nampak apakah
kelebihan sebuah negara seperti Malaysia yang merahsiakan tarikh pilihanraya
yang hanya diketahui oleh seorang Perdana Menteri, penetapan tarikh pilihanraya
tidak mungkin dapat merubah sebarang keputusan pada keputusan pilihanraya,
malah akan memberikan suntikan keyakinan khususnya kepada pihak Kerajaan, yang
boleh mendabik dada dengan pelbagai bentuk transformasi kecuali menetapkan
tarikh pilihanrayanya.
Tarikh pilihanraya umum pada
jangkaan saya akan berlangsung pada 24 Mac yang akan datang, ada sesiapa ada
tarikh yang lain?
Ulasan