KERJAYA BARU: MENJUAL KARPET


Kalau ketika kecil, saya mempunyai pelbagai cita-cita bergantung pada tahun bila atau sebarang peristiwa yang berlaku ketika itu.  Misalnya ketika pada satu masa membaca berita mengenai pertandingan ratu cantik, saya bercita-cita menjadi hakim, hakim pertandingan ratu cantik!

Cita-cita lain ialah menjadi penulis atau pengarang, itu ialah apabila saya mula mengkagumi karya-karya yang saya baca.  Pada ketika yang lain pula saya ingin menjadi doktor kerana teruja dengan berita bagaimana seorang doktor yang begitu berdedikasi membantu pesakit yang mengunjungi kliniknya tanpa bayaran ataupun bayaran yang sangat minimum.

Ada pula ketikanya saya bercita-cita mahu jadi ahli politik, kerana YB di hadapan sekolah saya sangat rajin kerana sukar ditemui di kawasan kami, saya kira mestilah dia terlalu sibuk menyampaikan masalah rakyat kepada pihak kerajaan.  

Kadang-kadang berminggu-minggu tidak pernah kelihatan.  Malah ketika itu, tidak pernah pula terdengar bahawa ada hari terbuka di pejabat atau di rumahnya bagi mendengar masalah rakyat, seperti yang berlaku pada masa sekarang.

Akhirnya ketika saya bersekolah menengah barulah diketahui bahawa YB yang saya anggap sibuk menangani masalah rakyat sebenarnya tinggal di Kuala Lumpur, bersama isteri mudanya!  Saya seperti bertekad untuk tidak menjadi ahli politik kerana sikap hipokrit kebanyakan ahli politik.

Akhir-akhir ini anak seorang kawan yang saya temui di sekolah ketika bersama anak saya telah punya cita-cita baru ketika ditanya.  Secara spontan dia menjawab – penjual karpet.  Saya jadi terkejut dengan cita-cita baru yang disebut anak teman saya.

Rupanya, cita-cita baru anak kecil itu merujuk kepada kisah bagaimana si penjual karpet yang sangat kaya raya sehingga boleh pula dikhabarkan menghadiahkan barangan kemas bernilai RM13 juta ringgit kepada seorang yang dianggapnya sebagai ‘kakak’.

Malah sipenjual karpet yang biasa-biasa itu sebenarnya mempunyai hubungan luar biasa dengan pemimpin nombor satu negara, malah bukan itu sahaja, termasuk kepada isteri pemimpin nombor satu negara dan ahli keluarganya.  Hubungan si penjual karpet itu pula dengan pemimpin nombor satu negara pula bukan hubungan yang biasa, malah mungkin ada ahli politik atau pemimpin politik yang tidak pula mempunyai hubungan istimewa seperti si penjual karpet.

Mungkin saya pun kalau ditanya ketika usia seperti anak teman saya akan menjawab cita-cita yang sama.  Malah ketika ini kerjaya sebagai penjual karpet seperti yang dilaporkan dalam media-media alternatif, semacam satu kerjaya yang sangat glamor dan mewah.

Apa tidaknya hanya dengan menjadi penjual karpet, dia telah menerobosi perniagaan bertaraf antarabangsa, malah membuka lowongan untuk terlibat dalam sektor hartanah pula.

Selain itu, hanya dengan menjadi penjual karpet, berita mengenainya saban hari tersiar, walaupun tidak di media arus perdana, malah hanya dengan menjadi penjual karpet dia mampu pula memanggil sidang akhbar.

Jika begitu kerjaya sebagai penjual karpet, tentulah tidak memeranjatkan jika anak kecil teman saya memasang angan dan bercita-cita menjadi seorang penjual karpet.  Selamat menukar kerajaya!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
waduhwaduh tijah..
SIS berkata…
..hahaha..penjual karpet yg popular krn bini PM!!..anak bongsu saya bercita2 untuk jadi Guru Besar...bila sy tanya kenapa..dia jawab..'guru besar boleh marah cikgu'...dlm hati ketawa kecil...ini mesti cikgu asyik marah murid tanpa ada yg boleh marah cikgu semula kecuali guru besar!!!

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?