PERSIDANGAN TUAN TANAH
Hari ini persidangan tahunan tuan tanah akan bermula sehingga 1 Disember yang akan datang. Khabarnya ini adalah persidangan tuan tanah yang paling mencabar sebelum pilihanraya umum di adakan tidak lama lagi. Khabarnya juga seramai 5,447 perwakilan daripada kalangan tuan tanah akan menghadiri persidangan tahunan yang berprestij ini. Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, persidangan tuan tanah pada kali ini adalah penentu hidup mati kelompok tuan tanah yang telah menguasai negara sejak lebih lima dekad. Banyak sebenarnya kemelut dalam kalangan tuan tanah, sehingga pada satu ketika Presiden Tuan Tanah yang kelima terpaksa mengundurkan diri kerana tekanan dan ‘kehendak ahli’. Sejak itu, pergolakan dalam kelompok tuan tanah seperti tidak reda ditambah pula iklim politik negara yang sangat tidak kondusif. Namun begitu, keadaan iklim politik negara sebenarnya memberikan banyak kelebihan dan keuntungan jangka pendek kepada rakyat hasil ‘ihsan’ tuan tanah. ...