DUNIA TANPA TIRAI


Pedulilah jika saya terserempak dengan kumpulan esei sosiopolitik karya SM Zakir secara tidak sengaja. Itu pun di celah-celah timbunan buku-buku di rak Malaysiana di PekanBuku Universiti Malaya, setelah membelek halamannya, saya terus berhasat membelinya. Itu cerita sehari sebelum SM Zakir diumumkan sebagai penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara awal November lalu.

Ketika mengucapkan tahniah di atas anugerah yang diterimanya, saya sempat memberitahunya bahawa saya baru sahaja membeli buku Dunia Tanpa Tirai itu. Buku yang bagus tetapi tidak ramai yang sedar dan membicarakannya.

Dunia Tanpa Tirai adalah koleksi tulisan-tulisan sosiopolitik dalam bentuk kolum mingguan yang tersiar di tabloid Mingguan Wasilah.

Tulisan dan pandangan SM Zakir adalah potret kritis yang segar dan bervisi, lihat sahaja bagaimana dia melakarkan krisis politik di Perak dalam tulisan berjudul Dapat 1 Perak Hilang 1 Malaysia. Tidak ramai yang tahu, krisis di Perak yang belarutan sehingga dicabar di mahkahmah sebenarnya menambahkan sebal dan sikap meluat rakyat dengan kaedah yang digunapakai oleh BN, walaupun dinyatakan bahawa BN sebenarnya mengikut langkah yang dirintis oleh pembangkang. Politik anak sekolahan seperti ini bukanlah cerminan negara menuju Wawasan 2020.

Seperti kata penulis di blurb bukunya – “period antara Febuari 2008 hingga Mei 2009 menyaksikan sebuah garis sejarah ketidakpuasan hati rakyat terhadap entiti kuasa yang bertapak lima dekad”. Seperti ungkapan jujur seorang penulis yang mahukan Malaysia yang mapan dan berwawasan dalam acuan demokrasi dan politik yang matang, penulis secara terang menyatakan pandangan dalam pelbagai aspek kehidupan yang dijalani oleh rakyat Malaysia khususnya golongan marhaen.

Orientasi politik di Malaysia juga tidak terlepas daripada disentuh – “Orientasi politik di Malaysia lebih merupakan orientasi-keluar kenyataan dan bukannya orientasi-kaji laksana. Menjadi orang politik di Malaysia bahkan Menteri adalah sesuatu yang sangat mudah di Malaysia. Ia tidak memerlukan kebolehan dan keupayaan untuk berfikir jauh ke hadapan, sebaliknya sekadar cukup untuk hadir agar wajah terpampang di media dan membuat kenyataan-kenyataan yang mempunyai tarikh lupus 30 hari” – (halaman 193).

Dunia Tanpa Tirai merupakan pandangan pra dan pasca tsunami politik yang melanda negara selepas PRU 12 yang berlangsung pada Mac 2008. Ketika menulis mengenai pilihanraya kecil Parlimen Kuala Trengganu yang dimenangi oleh calon PAS, penulis membuat kesimpulan bahawa UMNO semakin ditolak oleh orang Melayu.

“Walaupun pelbagai andaian diberikan oleh UMNO, termasuk andaian daripada Mahathir yang tidak boleh digunapakai, hakikatnya UMNO semakin ditolak oleh orang Melayu. Teori Mahathir yang mengatakan peralihan kuasa daripada Pak Lah kepada Najib akan memulihkan sokongan rakyat kepada UMNO hanyalah pandangan kosong dan melulu. Apa yang paling baik untuk UMNO ialah janganlah diambil nasihat Mahathir lagi jika inginkan perubahan dan pembaharuan berlaku dalam UMNO” (halaman 269).

Isu Pengajaran & Pembelajaran Sains Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) disentuh secara serius dalam tulisan yang termuat di dalam Dunia Tanpa Tirai, malah lebih berani dan jujur menyatakan secara terus terang.

“Siapa yang menghancurkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang unggul itu? Jawapan yang paling tepat dan jelas ialah UMNO. Jawapan yang lebih spesifik ialah Mahathir Mohamad.” (halaman 184).

Koleksi esei sosiopolitik dalam Dunia Tanpa Tirai adalah sebenarnya suara rakyat khususnya golongan marhaen. Ketika gendang PRU 13 sedang rancak dipalu, membaca Dunia Tanpa Tirai akan memberikan satu perspektif yang segar kerana tsunami politik yang berlaku pada 2008 dilihat bakal berulang, selain PPSMI yang kononnya dihapuskan (dengan istilah soft landing sehingga 2021), isu novel Interlok yang diperjuangkan oleh sebuah parti hanya menang empat buah kerusi Parlimen sehingga ianya ditarik balik, juga sebenarnya bakal menghakiskan lagi sokongan orang Melayu kepada UMNO.

Ruang lingkup pembicaraan tidak sahaja melihat di dalam negara bahkan meninjau politik universal sesuai dengan era globalisasi dan dunia tanpa sempadan. Membaca Dunia Tanpa Tirai bukan bermakna penulisnya pro pembangkang tetapi itu adalah penyataan jujur untuk proses pembetulan dan penambahbaikan. Bukankah kebenaran selalunya menyakitkan!

Ulasan

anep berkata…
kaw kaw kutuk mahathir buku ni..kena beli la
haji manap berkata…
saya pernah baca tulisan beliau dlm MW mmg bernas..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?