CINTA SEDOZEN ...


Ketika kecil saya sering keliru nilai dalam dozen, terkadang saya menganggapnya sebagai 20 dan kadang saya sebagai 144, namun kekeliruan itu terungkai apabila saya mula menjadi perantis di kedai runcit ayah saya. Sedozen bermaksud 12 unit. 12 dozen atau 144 menjadikan segros.

Kajian menunjukkan seorang jatuh cinta sebanyak enam kali dalam hidupnya. Sehingga kini masih banyak kajian masih dilakukan bagi mendapatkan kepastian berhubung dengan kekerapan seseorang jatuh cinta sepanjang hayatnya.

Beberapa bulan lalu seorang teman penerbit menghadiahkan saya sebuah buku baru terbitannya. Walaupun telah beratus malah beribu judul telah diterbit sepanjang empat dekad dalam industri perbukuan, namun judul yang dihadiahkan kepada saya adalah istimewa katanya kerana merupakan judul dalam bahasa Inggeris yang pertama diterbitkan dan ditulis oleh warga tempatan.

Malaysian Love Stories, menghimpunkan sedozen kisah cinta berlatarkan negara kita bertolak daripada zaman penjajahan Jepun, British dan juga pasca Merdeka. Kisah dalam buku ini sebenarnya diangkat daripada kejadian sebenar yang memungkinkan penulisnya tidak perlu merancang penulisan buku ini. Kisah-kisah cinta di dalam buku ini telah dipilih bagi memberikan kepelbagaian etnik, situasi dan rencah kehidupan. Membaca Malaysian Love Stories karya Mohamed Hussin, penulis yang pernah menghasilkan Hoi Polloi dan The Hero From Langkawi

A Promise kisah pertama adalah sebuah kisah sepanjang 107 halaman dan menyamai sebuah novelet cinta. Bertolak daripada janji Ibrahim dan Zubaidah untuk mengharungi bahtera kehidupan sebagai pasangan suami isteri. Kisah ini mengungkapkan bagaimana Ibrahim berusaha menjejaki Zubaidah yang pertama kali ditemui ketika bertandang ke sebuah hotal di Pulau Pinang hingga ke Nenasi di Johor, hanya kerana memenuhi janji untuk sehidup semati.

Kisah andartu yang terpikat dengan dengan sibomoh yang merawatnya sehingga sanggup menjadi isteri keduanya dipaparkan dalam kisah A Hut by the Well. Kemurungan Ramlah akibat putus kasih dengan Ah Bah, jirannya yang dikenali sejak kecil yang kemudiannya dirawat oleh bomoh bekas ketua abangnya yang telah berumahtangga. Sarjan Shawal yang berusaha merawat Ramlah akhirnya menjadikan Ramlah isteri keduanya.

Kisah anak-anak muda yang digambarkan dalam cerita By The River sebenarnya adalah lakaran menarik zaman Jepun. Zain anak muda yang baru sahaja selesai menduduki peperiksaan Senior Cambridge di Kolej Sultan Abdul Hamid, kini terpaksa menjalani kehidupan sebagai anak kampung - menorah getah, memancing atau berenang di sungai. Pengalaman hidup di kampung ketika zaman pendudukan Jepun menjadi inti cerita ini sehingga akhirnya Zain berjaya menjadi Penolong Pegawai Daerah di kawasannya.

Dalam The Virgin Widow, sebuah perkahwinan yang diatur dengan hanya pandangan pertama menjadi keliru apabila yang menjadi pengantin sebenarnya adalah kakak kepada pengantin perempuan, akibat kekeliruan sebutan nama mengikut loghat utara. Akhirnya pengantin menjadi janda sebelum sempat melayari kehidupan berumahtangga.

Kisah dua sahabat yang sukar dipisahkan mewarnai cerita The Inseparable Friends, Dol dan Napi dua sahabat karib yang terlibat dalam percintaan tiga segi berakhir dengan perkahwinan dengan wanita yang sama selepas seorang daripadanya berpisah dengan wanita tersebut.

Secara ringkasnya sedozen kisah cinta dalam Malaysian Love Stories cukup menarik dengan pelbagai dimensi yang diceritakan oleh penulisnya dengan begitu bersahaja, walaupun sebahagian cerita dalam Malaysian Love Stories mungkin adalah pengalaman peribadi penulisnya. Walauapapun Malaysian Love Stories memang menghiburkan, dengan bahasa Inggeris yang mudah.

Ulasan

ali berkata…
Mcm best aje tuan...
SIS berkata…
seseorang akan jatuh cinta sebanyak 6 kali sepanjang hidupnya.! ..eehmm satu kajian yg menarik..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?