KISAH ABDULLAH ...

(Ini Abdullah pemandu van pelancong KV2023C)

Pada minggu lepas, saya ke pulau lagenda Langkawi untuk kesekian kalinya bagi tahun ini. Pada kali ini saya ke sana atas urusan berkursus selama tiga hari. Seperti biasa menghadiri kursus tanpa melakukan aktiviti sampingan di pulau lagenda seperti tidak lengkap rasanya. Malah dalam kursus yang saya hadiri pun semacam mendapat restu sehinggakan para peserta merelakan mengikuti kursus tanpa rehat sehingga enam jam, agar mendapat pelepasan sewajarnya bagi melaksanakan aktiviti sampingan.

Pelbagai istilah pula digunakan bagi menggambarkan aktiviti sampingan di pulau lagenda ketika menghadiri kursus ini. Antaranya – melontar dan praktikal merujuk kepada aktiviti sampingan di sini.

Kursus tiga hari yang dimulai petang Jumaat dan berakhir pada tengahari Ahad memang cukup padat dengan pelbagai aktiviti kursus, namun begitu ruang bagi melaksanakan aktiviti sampingan memang diuntukkan secukupnya. Pada petang Sabtu, saya sengaja memilih untuk melaksanakan aktiviti sampingan saya secara bersendirian. Ketika menunggu kenderaan untuk membawa saya ke pekan Kuah, saya melihat kenderaan yang menghala ke arah pekan Kuah bertali arus berbeza daripada ketika saya datang menghadiri kursus di tempat yang sama pada bulan Januari lepas. Mungkin pulau lagenda Langkawi lebih meriah dan hidup bertepatan dengan musim cuti sekolah.

Apabila kenderaan yang akan membawa saya sampai, saya terus menaiki ruang di sebelah pemandu. Ketika berada di sebelah pemandu, saya agak menjadi tidak selesa kerana melihat terdapat tongkat sokong seperti yang digunakan oleh orang yang patah kaki mereka. Saya terus bertanya mungkin ada penumpang yang tertinggal namun menjadi begitu kaget apabila si pemandu tadi mengatakan bahawa tongkat sokong itu ialah miliknya. Maka saya pun terus bertanya dan dimaklumkan dia terpaksa menggunakan tongkat selepas terlibat dengan kemalangan dan kakinya menjadi tidak kuat.

Menurut Abdullah, dia terpaksa memandu van bagi mengambil penumpang di sekitar Langkawi bagi meneruskan kehidupan dan menyara keluarganya. Baginya lebih baik meneruskan usaha dengan bersusah payah sedikit daripada terus mengharapkan belas ihsan keluarga mahupun Kerajaan.

Seusai melaksanakan aktiviti sampingan saya, terserempak pula si Abdullah yang berdengkot-dengkot membantu para penumpangnya memunggah barang ke vannya. Saya menjadi begitu terharu bagaimana lelaki ini begitu cekal dan kental walaupun riak wajahnya sebenarnya mencermin kedukaan dan keperitan hidupnya dalam mengharungi kehidupan pasca kemalangan. Kepada Abdullah, syabas dan tahniah atas kecekalan menjadikan saya merakamkan kisahnya dalam entri ini berbanding ramai insan yang terpaksa memilih untuk mengharapkan bantuan dan ihsan orang lain walaupun dalam keadaan tubuh sihat walafiat.

Share this article :
 

+ komen + 2 komen

anep
1 Disember 2010 5:01 PTG

hidup mesti diteruskan..tahniah kpd tuan ks yg prihatin..

saha
2 Disember 2010 9:48 PG

syabas kepada abdullah...

Catat Ulasan
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger