CERITA AKU, FERI, BANK & HAK KEPENGGUNAAN …

(Pelanggan di'paksa' membayar jika mesin ini rosak, maaf ini bukan bank unta!)




Jika saya ditanya apakah yang paling diingati tentang diri saya, jawabnya mudah saya seorang perakam. Tidak kisahlah jika saya menjadi perakam untuk diri sendiri mahupun untuk dijadikan iktibar terhadap orang lain. Jika kepada orang lain, anggaplah sebagai satu perkongsian minda dari tulisan kecil saya.

Ketika ke pulau lagenda, Langkawi minggu lepas, saya sering memastikan tidak mahu berasak-asak untuk mendapatkan sama ada tiket bas mahupun tiket feri. Telah menjadi kebiasaannya saya untuk mengambil tiket lebih awal bagi memastikan tidak bersesak di saat akhir. Itulah yang saya lakukan, mengambil tiket feri yang dijadual pada jam 2.30 petang pada awal pagi. Ketika membeli tiket, saya agak sangsi apabila si penjual tiket meminta nombor telefon dan nama saya untuk dicatat dalam senarai penumpangnya.

Selepas meronda-ronda dan bersarapan, saya bercadang untuk merehatkan diri di bilik hotel saya di pekan Kuala Perlis sehingga selesai solat Jumaat dan kemudian menaiki feri untuk ke pulau Langkawi. Ketika hampir jam 1.00 petang, saya menerima panggilan dari petugas kaunter feri yang memaklumkan bahawa feri jam 2.30 yang telah saya ambil tiketnya telah diawalkan pada jam 2.15 petang. Oleh kerana saya mahu ke masjid, maka saya menolak untuk datang ke kaunternya bagi mengambil tiket yang baru dari kaunter sebelah bagi perjalanan jam 2.15 petang.

Seusai solat Jumaat dan makan tengahari, saya ke kaunter yang dimaksudkan dan agak terperanjat kerana tiada siapa yang bertugas malah tiada pengumuman atau notis mengenai pembatalan perjalanan tersebut. Saya terpaksa mengambil tiket bagi perjalanan jam 3.15 petang dari kaunter sebelah. Saya sengaja mengambil gambar kaunter tersebut dan juga tiket saya bagi memastikan saya mendapat penjelasan sewajarnya. Saya juga difahamkan bahawa syarikat feri tidak boleh menjual tiket bagi perjalanan yang tidak dipastikan.

Pada lebih kurang jam 2.45 petugas kaunter tersebut muncul dan saya perhatikan petugas kaunter yang menjual tiket kepada saya tidak muncul di kaunter walaupun saya perasan beliau ada di dalam, ini kerana telah dimaklumkan oleh ‘ulat-ulat’ bahawa saya telah memaklumkan ketidakpuasan hati saya terhadap sikap petugas kaunter tersebut. Seorang petugas kaunter lain muncul dan apabila saya menghulurkan tiket, berulangkali memohon maaf kerana kesulitan yang saya alami akibat kelewatan saya menaiki feri. Saya sengaja membidas petugas tersebut dengan mengatakan bahawa dia tidak sepatutnya menjual tiket lebih awal bagi perjalanan yang tidak disahkan. Dia agak terkejut dan memohon maaf serta memohon agar insiden ini tidak dipanjangkan.

Beberapa hari lepas, saya terpaksa berurusan di sebuah bank unta bagi mengisi pembayaran dalam kad kredit yang terpaksa saya gunakan untuk tujuan tempahan tiket melalui talian. Walaupun namanya kad kredit, tetapi yang sebenarnya ialah kad kredit ‘prabayar’. Saya jarang menggunakan kad kredit dalam sebarang urusan sehingga menjadi tidak aktif beberapa ketika. Seperti biasa, pembayaran kad kredit hanya boleh dilakukan di mesin, yakni ‘Cash Deposit’ yang terdapat di bank tersebut.

Apabila saya melangkah dan bertanyakan untuk menggunakan mesin tersebut, saya difahamkan mesin tersebut mengalami kerosakkan. Maka saya terpaksa mengambil nombor, menunggu giliran untuk membuat pembayaran di kaunter, apa yang mengejutkan saya ialah polisi bank unta tersebut yang mengatakan peraturannya ialah saya dikenakan bayaran tambahan sebanyak RM2 sebagai caj kerana menggunakan perkhidmatan kaunter bagi memasukkan duit dalam kad kredit ‘prabayar’ saya. Saya mempertikaikan bayaran yang dikenakan kerana saya berpendapat kerosakan mesin bukan urusan saya, urusan tersebut ialah di antara bank unta dan syarikat yang menyelenggara mesin tersebut. Adalah tidak adil pengguna seperti saya dihukum hanya kerana mesin mereka rosak. Saya menuntut untuk mendapatkan borang aduan, apabila hal ini didengar oleh pegawai yang kebetulan duduk di belakang kaunter dia terus mengarahkan saya tidak perlu membayar.

Pada saya ini bukan soal hanya RM2 yang dikenakan terhadap saya, tetapi sikap dan budaya ‘buli’ yang banyak dipraktikkan oleh para peniaga seperti bank terhadap pelanggan-pelanggan mereka.

Apakah kaitan kerosakan mesin dan keterpaksaan saya menggunakan kaunter bagi mengisi kad kredit ‘pra-bayar’ saya. Sekurang-kurangnya saya berdiri mempertahankan hak saya sebagai pengguna tetapi saya percaya ramai pelanggan yang tidak mahu membuat ‘kecoh’ dan merelakan untuk membayar caj akibat tidak menggunakan mesin yang kebetulan rosak!

Kisah petugas kaunter tiket feri atau petugas kaunter bank yang tidak prihatin (maaf saya tidak menyalahkan petugas kaunter) yang bekerja menurut prosedur syarikat feri atau bank unta tersebut, soalnya mengapakah bank unta yang meletakkan ‘Customer First’ dalam piagam pelanggannya gagal menghayati polisi tidak adil seperti ini.

Share this article :
 

+ komen + 4 komen

saha
2 Disember 2010 8:53 PTG

konsumerisme di malaysia amat lemah..

siti
5 Disember 2010 10:42 PTG

dah nama pun bank unta...

Tanpa Nama
16 Disember 2010 3:13 PTG

Andai kata bank 'unta' tu adalah maybank, suma orang dah tau....mmg kaki buli

4 Januari 2011 9:40 PG

patutla ko jadik jutawan!

setidak-tidaknya bakal jutawan! hehe

Catat Ulasan
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger