DEMAM BOLA ...


Secara tiba-tiba skuad bola sepak negara yang menyertai pertandingan Piala Suzuki Persekutuan Bola Sepak Asia 2010 menjadi sebutan. Daripada anak kecil yang baru pandai berjalan dan dengan kosa kata yang begitu terhad sehinggalah kepada para pemimpin negara semuanya menjadi peminat sukan bola sepak negara kita. Malah anak-anak saya yang berusia enam tahun, sepuluh tahun, empat belas tahun dan lima belas tahun, tiba-tiba sahaja jadi teringat kepada Uncle Rajagobal (jurulatih pasukan Negara) yang mereka temui beberapa tahun dahulu di sebuah pasaraya besar, itu cerita tiga atau empat tahun lampau yang kini menjadi sebutan.


Malah YAB Perdana Menteri turut menjadi penyokong skuad Negara apabila bersama rakyat menonton siaran langsung perlawanan separuh akhir menentang Vietnam melalui skrin besar. Pertemuan saya dengan editor dan pereka grafik saya juga dilewatkan sedikit kerana khuatir akan terlepas menonton siaran langsung perlawanan pada malam ini. Dikhabarkan juga 85,000 tiket untuk perlawanan akhir pertama menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil juga telah habis dijual, walaupun harga tiket ialah RM50. Para penyokong Indonesia juga tidak kurang hebatnya menyokong skuad negara mereka bagi perlawanan ini.


Skuad Negara yang dibarisi oleh para pemain muda dari kalangan anak tempatan difahamkan sangat komited serta cukup bersedia untuk menjulang Piala Suzuki AFF bagi edisi 2010 ini. Walaupun rekod persembahan dan pertemuan kedua-dua pasukan tidak begitu memihak pasukan negara kita, namun saya percaya semangat Harimau yang diterapkan mampu melonjak untuk mendahului Indonesia sebelum bertandang pula ke Indonesia bagi perlawanan akhir kedua pada 29 Disember 2010.


Para peminat tempatan tidak sahaja berusaha memenuhi stadium pada perlawanan malam ini, malah terdapat juga usaha oleh Kelab Peminat Bola Sepak yang menganjurkan rombongan ke Indonesia bagi memberikan sokongan kepada skuad negara ketika bertemu pasukan lawan di tempat mereka. Saya yang sepatutnya juga menyertai rombongan ini terpaksa berputih mata kerana bilangan tempat yang terhad disediakan oleh penganjur.


Skuad Indonesia dikhabarkan bakal ditawarkan ganjaran sehingga 2 billion rupiah atau bersamaan hampir RM900,000 tetapi itu bukanlah tandingan sekiranya skuad negara benar-benar menghayati semangat Harimau yang seakan mengalir ke dalam diri mereka. Walaupun tiada ganjaran besar yang diumumkan secara terbuka, tetapi saya amat yakin, sesuatu yang lebih besar menanti skuad negara yang bakal dilihat sebagai mengangkat martabat dan maruah bola sepak negara kita. Kepada para pemain, jurulatih K. Rajagobal dan pengurus pasukan, Datuk Subahan Kamal, moga seluruh impian rakyat Malaysia akan dapat diterjemahkan dengan permainan mantap bagi perlawanan pada malam ini dan juga pada perlawanan kedua di Jakarta pada 29 Disember nanti. Tiada apa yang kami harapkan selain membawa pulang Piala Suzuki AFF 2010. Selamat berjuang!

Ulasan

anep berkata…
hidup Malaysia !!!
SIS berkata…
Syabas pasukan bolasepak Malaysia dan juga jurulatihnya juga..Setiap gol yang dijaringkan malam tadi bergema jeritan ''GOOOLLLL'... semacam berpesta..yang tak minat bola pun boleh jadi minat.. harapan semua rakyat malaysia pada 29 Dis 2010 ni pulak..
wanman68 berkata…
Syabas malaysia...JUARA juga kita akhirnya...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?