INTERLOK DI TANGAN ORANG POLITIK BUTA SASTERA …


Tidak mungkin panel juri Peraduan Mengarang Novel bersempena 10 tahun Malaysia merdeka melakukan kesilapan memilih novel Interlok sebagai salah sebuah pemenang dalam peraduan tersebut. Tidak mungkin juga panel pemilihan teks Komponen Sastera Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu (KOMSAS) juga melakukan kesilapan memilih novel Interlok daripada puluhan malah ratusan karya lain yang disediakan untuk dipilih sebagai teks KOMSAS. Malah tidak mungkin juga panel penilai Anugerah Sasterawan Negara tidak melihat secara total atau terlepas pandang maksud tersirat di dalam novel Interlok karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain yang dinobatkan sebagai Sasterawan Negara yang kelapan pada tahun 1996.

Isu novel Interlok yang telah terpilih sebagai teks KOMSAS dididakwa mempunyai unsur penghinaan kepada orang Melayu berdasarkan perkataan yang ditulis dalam beberapa halaman, seperti orang Melayu bodoh, malas selain perkataan paria serta ada unsur menyentuh isu ketuhanan dan keagamaan bagi kaum India begitu hebat diperkatakan. Ianya bermula apabila Datuk T Murugiah, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Biro Pengaduan Awam (BPA) kononnya menerima aduan orang ramai dari seluruh negara yang meminta BPA mengambil tindakan sebelum orang ramai membuat tindakan drastik dengan membakar buku berkenaan di hadapan Kementerian Pelajaran.

Rupanya BPA tidak menyiasat secara terperinci setiap aduan malah terus sahaja membuat kesimpulan mereka. Sekurang-kurangnya inilah tanggapan saya apabila Timbalan Menteri tersebut seolah-olah mengugut pihak Kementerian Pelajaran apabila memperkatakan tentang tindakan drastik untuk membakar buku berkenaan. Saya agak ragu-ragu sama ada Timbalan Menteri tersebut sebenarnya telah membaca novel Interlok dengan teliti sebelum membuat apa-apa ulasan. Novel berusia 40 tahun ini telah melalui peringkat penilaian sewajarnya malah juga telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris.

Dakwaan dangkal oleh Timbalan Menteri itu bukan saja dinafikan oleh pengarangnya, bahkan dipertikai pengkaji sastera dan persatuan penulis, manakala Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) yang terbabit dalam penterjemah novel itu ke bahasa Inggeris turut memperaku novel berkenaan.

Dengan pengenalan konsep 1Malaysia yang cuba menerapkan aspek perpaduan kaum, novel Interlok salah sebuah adikarya SN Datuk Abdullah Hussain sebenarnya mendahului gagasan ini. Inilah novel terawal Melayu yang memanifestasikan gagasan perpaduan, dan kewajiban semua rakyat yang mengaku taat setia kepada Malaysia.

Pengkaji sastera, Dr Mohd Hanafi Ibrahim, berkata keistimewaan novel Interlok adalah kerana ia mengisahkan bangsa Melayu, Cina dan India yang dibina berasingan dan diceritakan dalam bentuk mozaik, tetapi menjurus kepada pertemuan penyatuan bangsa seperti dalam bab akhir.

Saya membaca novel Interlok sekitar penghujung tahun 70an. Ketika itu saya di bangku sekolah menengah, walaupun saya tidak pandai menafsir novel tersebut secara ilmiah pada ketika itu, namun gaya penceritaan novel Interlok menambat hati saya. Novel Interlok dibahagikan kepada empat bahagian – 4 buku dalam sebuah buku. Setiap buku menceritakan perihal sebuah keluarga yang mewakili sebuah bangsa yang akhirnya dirangkumkan dalam bahagian akhir novel ini.

Sekitar tahun 90an, saya sekali lagi membaca novel Interlok sebagai seorang dewasa yang telah berkeluarga, realiti ketika itu yang memang memungkinkan novel ini menjadi begitu relevan khususnya ketika pada tahun 1999 apabila lanskap politik mengalami perubahan drastik ekoran peristiwa yang melanda politik semasa ketika itu.

Ketika saya membaca semula pada awal 2010, ketika gagasan 1Malaysia menjadi begitu nyaring dan dan mengesankan, saya sekali lagi terkesima dengan garapan novel ini khususnya apabila gagasan 1Malaysia juga menjurus kepada penjalinan antara kaum di negara ini. Ketika itu, tidak terlintas bahawa novel ini bakal terpilih sebagai teks KOMSAS untuk para pelajar Tingkatan Lima di Negara kita.

Maka apabila, novel Interlok yang telah pun terpilih sebagai teks KOMSAS dipertikaikan oleh segelintir pihak yang kononnya tidak senang dengan beberapa frasa terpencil di dalam novel ini yang kononnya memperlekehkan sesuatu kaum, saya merasa agak janggal dan bertanya adakah kemelut ini wujud hanya kerana novel ini bakal dikunyah dan dihadam oleh para pelajar Tingkatan Lima di negara kita atau sebagai modal ahli politik murahan yang mendabik dada kononnya memperjuangkan perpaduan di negara kita dan mengugut untuk membakar novel ini sebagai tanda protes mereka.

Kepada pihak Kementerian Pelajaran, harapan saya tidak agar tidak mudah hanyut dengan tafsiran rambang oleh sesetengah pihak sehingga meninggalkan kesan negatif kepada kesuburan sastera dan budaya di Malaysia!

Selepas enam kali pembacaan saya terhadap novel Interlok, saya masih tidak nampak sebarang kandungan novel ini yang boleh memudaratkan perpaduan kaum di negara ini, atau mungkin si Timbalan Menteri yang lebih sudu dari kuah serta obses dengan poltik murahan menyangkal bijak pandai para juri menghakimi novel yang telah pun teruji lebih empat dekad!
Share this article :
 

+ komen + 3 komen

anep
24 Disember 2010 3:13 PTG

salam tuan, setuju, mgkin TM ada agenda memperkasa politik peribadinya..

SIS
25 Disember 2010 3:12 PTG

mmg setuju 'Interlok' dijadikan teks utk sekolah..TM di JPM tu pun rasanya di cucuk oleh kroni2..tu yg jadi cam tu...

wanman68
31 Disember 2010 5:54 PTG

ha..ha... sekarang sampai ada yg hendak letak calon bebas kat TENANG..marah kan buku ni jadi buku teks...sendiri fikir le bro..

Catat Ulasan
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger