ASAM PEDAS GULA MELAKA, AKUKAH GURU, BRONTOK..

Seronok juga sesekali mengambil cuti dari meng'update' blog. Saya sengaja memilih untuk memencilkan diri buat seketika. Selain daripada hambatan kesihatan yang tidak begitu mengizinkan ialah kerana mahu berehat dari berfikir.

Masa hibernasi ini saya gunakan untuk menonton, membaca dan menulis untuk kerja-kerja dan urusan rasmi. Selama lebih dari seminggu, saya gunakan untuk membaca misalnya ada tiga naskhah buku yang dibawa pulang dari menghadiri satu seminar oleh seorang bekas pendidik, pengetua dan pentadbir di peringkat Jabatan Pelajaran Negeri.

Asam Pedas Gula Melaka bukanlah cerita-cerita luar biasa tetapi cerita biasa yang diceritakan dari perspektif seorang guru. Lebih merupakan catatan peribadi, Asam Pedas Gula Melaka memaparkan suka duka perjalanan hidup seorang guru, pengetua dan kemudiannya pentadbir.




Gurukah Aku atau...? buku kedua oleh penulis yang sama adalah kesinambungan dari buku Asam Pedas Gula Melaka. Kalau selama ini kerjaya guru dianggap kerjaya yang senang dan kerja sekerat hari, selepas membaca buku ini, tentu kita kagum nilai dedikasi yang diperlukan untuk menjadi seorang guru dan pendidik yang efektif. Buku ini menceritakan pengalaman penulis dari menjadi seorang pelajar di hari pertama persekolahan sehingga akhirnya berjaya menjadi pentadbir di peringkat Jabatan.




Brontok - Virus yang merosakkan sesebuah pentadbiran, buku ketiga tulisan Hajah Norbi Haji Husin mendasari pengalaman beliau menjadi pentadbir dan melihat kebobrokan dalam pentadbiran khususnya di sekolah. Rakaman pengalaman ini dilihat dari perspektif sebagai Ketua Sektor Pengurusan Akademik di JPN memang memeranjatkan dengan catatan pengalaman penulisnya berhadapan dengan pelbagai masalah samada di sekolah ataupun dengan petugas di Jabatannya sendiri. Memanglah virus boleh menjadi barah yang melumpuhkan keampuhan sebuah pentadbiran.



Dengan pengalaman lebih 31 tahun dalam dunia pendidikan bermula dari guru biasa, pengetua dan akhirnya sebagai pentadbir, trilogi Asam Pedas Gula Melaka, Gurukah Aku dan Brontok memang mampu membuat kita menghargai tugas dan iltizam seorang pendidik khususnya yang melengkapkan diri dengan dedikasi yang tinggi. Rasanya tidak rugi saya menghabiskan bacaan ketiga-tiga buku dalam tempoh hibernasi saya!

Ulasan

ustazah berkata…
Salam tuan, saya sudah membaca ketiga-tiga buku Hajah Norbi. beliau pernah memberi ceramah di sekolah saya..terima kasih kerana pengalaman pembacaan tuan..
SIS berkata…
salam tn ks..suka dgn cara tn hibernasi...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?