MELAKA TANPA POLISTERIN & PLUS TANPA ROKOK!

Tahniah kepada Kerajaan Negeri Melaka kerana mengambil pendirian tegas untuk mengharamkan pengunaan bekas makanan polisterin.  Walaupun pada peringkat permulaan larangan ini hanya dikuatkuasakan terhadap semua kafe di bangunan kerajaan, premis makanan pihak berkuasa tempatan dan sekolah di negeri ini bermula 15 Mei depan.

Dengan kesedaran umum mengenai ‘teknologi hijau’ memang sewajarnya Kerajaan bersungguh melaksanakan usaha-usaha menjadikan alam sekitar kita lebih lestari.  Bekas makanan polisterin memang diketahui sukar diurai dan bakal menjejaskan alam sekitar.

Khabarnya larangan ini adalah fasa pertama program ‘Melaka Tanpa Polisterin’.  Fasa berikutnya akan dikuatkuasakan sepenuhnya bermula September tahun ini, sebelum diperluaskan ke semua premis makanan di seluruh Melaka termasuk bangunan swasta.

Alternatif bagi bahan polisterin adalah galakkan untuk menggunakan bekas makanan jenis biodegradasi dan mudah diurai seperti yang diperbuat daripada hampas tebu dan jagung.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka, Datuk Kamarudin Md Shah dikhabarkan akan mengeluarkan senarai nama pengeluar bekas makanan biodegradasi yang boleh didapati di sekitar negeri ini, bagi memudahkan penduduk setempat mendapatkan bekas makanan tersebut.

Apa yang dipraktiskan oleh Kerajaan Negeri Melaka, adalah yang patut dicontohi oleh pihak-pihak yang lain.  Jika anda adalah pengguna lebuhraya PLUS khususnya di Lebuhraya Utara Selatan, anda tentu boleh merasakan ‘kejelekan’ apabila para peniaga di kawasan seliaan PLUS menggunakan bahan polisterin.

Misalnya di kawasan rehat dan rawat di Tapah arah ke utara, sebuah restoran yang menempatkan diri mereka sebagai ‘premium’ menggunakan bekas makanan polisterin dengan alasan untuk menjaga kebersihan.

Bayangkan dengan harga ‘premium’ yang sekitar 50% lebih mahal, maka anda akan makan menggunakan bahan-bahan polisterin dan sudu yang mudah patah.

Tidakkah boleh PLUS mencontohi tindakan Kerajaan Negeri Melaka untuk melarang penggunaan bekas makanan polisterin sebagai satu sumbangan terhadap kelestarian alam sekitarnya.

Sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan, PLUS sepatutnya dilihat untuk serius membantu usaha Kerajaan merealisasikan ‘teknologi hijau’.

Tempat-tempat seperti kawasan R & R adalah yang paling strategik dan berkesan bagi memberikan kesedaran umum mengenai kelestarian alam sekitar, apatah lagi kawasan-kawasan rehat dan rawat di PLUS adalah kawasan larangan merokok!

Mungkin selepas ini PLUS tidak hanya memastikan anda dan saya tidak mati cepat kerana menghidu asap rokok, malah memastikan tiada satu pun premis makanan di PLUS yang menggunakan bekas makanan berasaskan polisterin.

Tuuu…Dia PLUS!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?