CALON KITAR SEMULA & CALON KEMARUK

Saya benar-benar terkedu dengan pemilihan Datin Seri Wan Azizah sebagai calon pilihan raya kecil P44 Permatang Pauh. Bukan kerana kredibilitinya sebagai calon, tetapi lebih kepada ‘kemaruk’nya untuk mewakili parlimen  Permatang Pauh yang pernah disandangnya sejak 1999 sehinggalah Julai 2008, kerana memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selepas itu, namanya tidak lagi tercatat sebagai ahli Parlimen mahupun ADUN, namun pada tahun 2014, nama Datin Seri Wan Azizah kembali menjadi sebutan selepas peristiwa Langkah Kajang di mana, pilihanraya kecil diadakan berikutan DUN Kajang yang dikosongkan.

Dengan tanggungjawab sebagai ADUN Kajang, saya tidak terfikir, kewajaran PKR mencalonkan Datin Seri Wan Azizah sebagai calon pilihanraya kecil P44 Permatang Pauh.  Memang tidak dapat dinafikan bahawa Permatang Pauh adalah lubuk kepada PKR khususnya kepada keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim.  Namun pemilihan calon pada kali ini tentulah mengundang pelbagai persoalan.

Ramai yang berharap seperti saya juga supaya orang lain yang menjadi calon pilihanraya kecil itu.  Antara nama yang menjadi sebutan adalah mantan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution.  Anehnya, PKR masih memilih Presidennya, yang telahpun mempunyai tanggungjawab sebagai ADUN Kajang.

Selain itu, Presiden PKR itu juga pernah mewakili Permatang Pauh, kemudian memberi laluan kepada suaminya pada Julai 2008 beberap bulan selepas PRU ke-12.

Adakah PKR masih berpaut kepada sentimen bagi meraih undi, jika para pengundi di Permatang Pauh benar-benar boleh berfikir, pemilihan calonnya pada pilihanraya kecil ini adalah seperti memperlekeh kepercayaan mereka yang memilih PKR selama ini.

Berbeza dengan PAS dan BN yang berani mempertaruhkan calon-calon muda bagi dua pilihanraya kecil di Rompin dan Permatang Pauh.  PAS mengenegahkan calon muda, Nazri Ahmad yang berusia 40 tahun bagi menentang Datuk Hassan Ariffin yang ditaruhkan oleh BN bagi mengekalkan kerusi P99 Rompin.

Begitu juga BN meletakkan Suhaimi Sabudin, 44 tahun sebagai calon mereka bagi merobekkan kubu kuat PKR yang ditandingi oleh Presidennya.

Ironinya jika ditakdirkan terdapat peralihan yang ketara bagi golongan muda menyokong Abang Mie (nama timangan calon BN), maka imej dan maruah PKR akan dirobek.  Jangankan BN menang, jika Abang Mie berjaya mengurangkan majoriti PKR sudah dianggap sebagai satu kemenangan kepada BN dan Abang Mie.

Sebenarnya ramai calon yang telah tersungkur di Permatang Pauh.  Bermula dari Zabidi Ali, Mat Sabu, Mahfuz Omar, Abdul Rahman Manap, Dr. Ibrahim Saat, Ustaz Firdaus dan terakhir adalah Dr. Mazlan Ismail.  Adakah mungkin pada kali ini PKR kecundang di gelanggangnya sendiri.

Memang tidak dapat dinafikan Permatang Pauh adalah kubu kuat PKR selama ini, namun itu bukanlah lesen bagi memperlekeh minda para pengundi di Permatang Pauh.  Dengan isu GST, serangan Dr. Mahathir dan 1MDB, peluang pembangkang dalam pilihanraya kecil sebenarnya adalah cerah, namun jangan lupa pilihanraya kecil berbeza daripada pilihanraya umum.

Apa tidaknya, semua jentera kerajaan (baca: BN) digerakkan bagi membantu calon mereka.  Seperti yang diungkapkan oleh Datuk Dr. Zahid Hamidi, Naib Presiden UMNO yang juga bertindak sebagai Pengarah Pilihanraya Permatang Pauh, agar calon BN diberikan peluang sekali sahaja bagi membuktikan kesungguhan mereka.

Jika hal ini termakan oleh para pengundi Permatang Pauh tidak mustahil, kubu dan lubuk yang dianggap kuat akan menyaksikan pakatan pembangkang akan kehilangan satu lagi kerusi Parlimen selepas kehilangan kerusi Parlimen Teluk Intan.

Jelas dalam situasi pada hari ini, kelebihan adalah kepada calon muda sama ada di Rompin mahupun di Permatang Pauh. 

Selamat mengundi kepada para pengundi di Rompin dan Permatang Pauh.


Ulasan

Tanpa Nama berkata…
ingat ameno yang rakus, nampaknya peekayar lagi rakus...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?