FLIP FLOP KASTAM & SKMM PRO TELCO

Tidak pasti sama ada Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM) adalah jurubicara rakyat atau mereka sebenarnya mewakili syarikat telekomunikasi.

Setelah sebulan Cukai Barang & Perkhidmatan (CBP) berkuatkuasa, rupanya SKMM masih memberikan ruang untuk syarikat telekomunikasi menjalankan ‘kajian’!

Hampir sahaja saya gelak berguling-guling bagaimana agensi seperti SKMM hanya menjadi ‘budak belasahan’ syarikat telekomunikasi yang tidak sampai bilangan jari satu tangan sahaja.

Asalnya, kad prabayar dicadangkan tidak akan mengalami perubahan harga dan pengguna tidak perlu mengeluarkan bayaran tambahan bagi pembelian kad prabayar.   Itu, lapan belas bulan yang lalu ketika heboh tarikh GST akan mula dikuatkuasa.

Realitinya, pada 1 April yang lalu, pertemuan dengan syarikat telekomunikasi dan Kementerian Kewangan dilakukan dan hasilnya, adalah syarikat telekomunikasi bertegas untuk melaksanakan penjualan kad prabayar ditambah dengan nilai 6% GST.

Apabila Ketua Pengarah Kastam, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) mengeluarkan arahan kepada syarikat telekomunikasi untuk mengekalkan harga asal perkhidmatan kad prabayar yang dijadualkan berkuatkuasa esok, maka rakyat bakal merasa lega.

Namun, arahan ini tidak menjadi realiti apabila ianya ditangguhkan selepas tidak sampai 48 jam ianya dihebahkan.  Alasan yang diberikan adalah “ia selaras dengan pengumuman SKMM bahawa kajian mengenai layanan GST ke atas perkhidmatan kad prabayar masih dijalankan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi”.

Ironinya, adakah masa yang diuntukkan oleh kerajaan selama 18 bulan dari tarikh pengumuman pelaksanaan GST tidak mencukupi untuk menjalankan kajian?

Jelaslah bahawa SKMM lebih rela melayan karenah syarikat telekomunikasi berbanding aspirasi jutaan rakyat Malaysia yang terkesan dengan GST sejak 1 April.

Jika inilah sikap Kerajaan bagi memastikan GST tidak dilihat menjadi beban kepada rakyat, maka segala macam alasan yang diberikan oleh syarikat telekomunikasi, SKMM dan JKDM hanya satu lagi usaha memperlekeh rakyat dan juga GST!

Bagi memastikan GST dapat dilaksanakan tanpa begitu terasa oleh rakyat, maka Kerajaan patutlah terus menjalankan kajian seperti apa yang dikatakan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi.

Maka eloklah GST ditangguhkan sehingga segala macam kajian oleh pihak-pihak berkenaan selesai dan benar-benar tidak menjadi ‘selipar buruk’ flip-flop!



Ulasan

Tanpa Nama berkata…
gst - gomen suruh tambah!

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?