YANG BARU, YANG KITAR SEMULA & YANG MEROYAN

Bila sebut kitar semula, ramai rakyat Malaysia agak liat, apa tidaknya kesedaran untuk mengitar semula adalah pada tahap yang sangat rendah.  Sehingga perlu digerakkan dengan pelbagai kempen media. 

Selain itu, amalan kitar semula juga sudah menjadi agenda ‘paksaan’ apabila beg plastik dikenakan bayaran pada setiap hari Sabtu. 

Amalan kitar semula di negara kita walaupun telah berusia lebih dua dekad namun ianya masih tidak sebati dengan rakyat Malaysia, masih belum berbudaya.

Kini kitar semula juga digunapakai dalam pemilihan calon-calon pilihanraya khususnya tiga pilihanraya kecil iaitu Kajang, Bukit Gelugor dan Teluk Intan.

Di Kajang calon MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun dikitar semula bertujuan untuk merebut kerusi panas di Selangor itu.  Walaupun Barisan Nasional tidak meletakkan calonnya di Bukit Gelugor pada pilihanraya kecil minggu lepas, namun umum tahu siapakah calon-calon mesra BN yang dikhabarkan mewakili Cinta Malaysia!

Parlimen Bukit Gelugor ditandingi juga oleh tiga calon Bebas yang khabarnya menjadi suara ketiga, namun ketiga-tiga mereka tersungkur dan lupus wang cagaran mereka.

Antara calon Bebas yang bersimbolkan kuda makan rumput, mendabik mempunyai peluang sehingga 50 peratus untuk menang juga tersungkur dengan hanya mendapat kurang daripada 500 undi.

Kini semua mata tertumpu ke Negeri Perak bukan sahaja bersedih dengan kemangkatan DYMM Sultan Azlan Shah, tetapi kepada pilihanraya kecil Teluk Intan yang bakal berlangsung Sabtu ini.

Seperti menggalakkan budaya kitar semula, BN sekali lagi mengitar semula calonnya yang juga Presiden parti GERAKAN.

Berbeza dengan parti lawan, nampaknya mereka bersedia untuk mengenengahkan muka baru malah berani pula membawa muka-muka luar untuk berkhidmat sebagai Ahli Parlimen mereka.

Di Kajang, mereka membawa Datin Seri Wan Azizah dan berjaya mengekalkan kerusi DUN Kajang.  Ramkarpal Singh anak mendiang Karpal Singh yang tidak pernah dilihat mempunyai kecenderungan politik diletakkan sebagai calon Parlimen Bukit Gelugor.

Sama ada Bukit Gelugor merupakan lubok DAP atau kawasan boleh menang, apa yang penting adalah bagaimana mereka berjaya melahirkan muka-muka baru untuk mewarnai landskap politik Malaysia.

Calon DAP bagi mengekalkan kerusi DAP di Teluk Intan diamanahkan kepada seorang lagi muka baru, Dyana Sofya Mohd Daud.  Calon BN bagi merebut kerusi ini adalah Datuk Mah Siew Keong yang merupakan presiden parti Gerakan malah merupakan mantan Ahli Parlimen Teluk Intan selama dua penggal sehingga menjadi mangsa tsunami politik pada tahun 2008.

Kaedah kitar semula calon oleh BN seolah-olah menggambarkan bahawa parti itu ketandusan pemimpin atau tidak berani menanggung risiko dengan meletakkan muka baru untuk dipilih sebagai calon wakil rakyat.

Walau siapa pun yang bakal menang esok di Teluk Intan, nampaknya parti pembangkang lebih berani mengambil risiko, memberi peluang kepada muka baru, malah memayungterjunkan calon bukan daripada kalangan anak tempatan.  Bukankah menjadi Ahli Parlimen tidak semestinya anak tempatan, nampaknya DAP pada kali ini benar-benar berani berbanding BN yang telah berusia hampir setengah abad!


Seperti pilihanraya kecil yang lain, pilihanraya kecil Bukit Gelugor dan Teluk Intan bakal melihat muka-muka Yang Baru, Yang Kitar Semula dan Yang Meroyan.  Siapa pilihan anda?

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
YB = yang baru la

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?