KUBUKU BUKU @ PBAKL!

Saya bergelumang dengan buku setiap masa, sama ada buku secara fizikal mahupun di dalam maya.  Malah jika dihitung sepanjang tahun selama 365 hari, akan ada sahaja senaskhah buku yang sampai ke tangan saya setiap hari secara purata.

Kisah buku dan saya bukanlah permulaan yang baik.  Buku pertama yang mahu saya miliki sekitar usia enam tahun adalah ‘Kamus Oxford’ yang tebalnya boleh menyebabkan budak berusia enam tahun pengsan jika dihempap buku tersebut.

Kamus Oxford yang tebal sebenarnya adalah dibeli oleh ayah saya untuk kegunaan abang sulong saya yang ketika itu telah berada di sekolah menengah tinggi.  Namun kerana desakan dan rajuk yang panjang di samping menepis ego abang sulong saya yang pada ketika itu saya rasakan begitu ‘bongkak’ dengan kamus Oxfordnya, saya memaksa ayah saya membelikan saya sebuah kamus yang sama.  Maka dapatlah saya sebuah kamus Oxford yang tebal sebagai antara buku awal saya.

Sepanjang zaman persekolahan rendah saya bermula dari kelas ‘C’ kemudiannya ke kelas ‘B’ dan ke kelas ‘A’ sepanjang sesi persekolahan rendah saya cukup berwarna-warni.  Kerana minat membaca yang saya kutip melalui pengamatan melihat ayah saya saban waktu membaca.  Di samping membaca Al-Quran dan akhbar setiap hari, ayah saya membaca buku-buku ilmiah yang lain juga. 

Minat membaca saya sebenarnya dimulai dengan ayah saya, namun selepas itu dibajai dengan keterpaksaan saya membaca buku kerana masalah kesihatan sewaktu kecil.  Keadaan kesihatan saya yang menghidap lelah membolehkan saya ‘ponteng’ sekolah beberapa hari dalam seminggu apatah lagi jika musim hujan.

Peluang ponteng saya dimanfaatkan sebaiknya dengan membaca apa sahaja bahan yang boleh saya temui, sama ada buku-buku umum, akhbar, malah buku-buku kelas lebih tinggi milik abang-abang saya.

Salah satu keseronokan yang sering saya kejar adalah untuk mendapat tempat duduk dalam bas sekolah dan berhampiran tingkap pula.  Untuk tujuan itu, biasanya guru yang mengajar subjek yang akhir akan membuat beberapa inovasi, misalnya percakapan awam, mengeja dan sebagainya.

Seingat saya dengan begitu banyak bahan yang saya abaca, saya mampu bercerita mengenai Marco Polo, Alexander Graham Bell dan Marconi pada sesi lima minit menjelang waktu sekolah bersurai.  Hasilnya saya sering sahaja mendapat tempat duduk dalam bas sekolah.

Ketika dalam Darjah 3 pula, sesi spelling sering memberikan kemenangan kepada kumpulan kami.  Apa tidaknya, ejaan yang dimulai oleh kumpulan pertama dengan huruf ‘P’ akan berakhir dengan kemenangan kumpulan kami yang akan menambah perkatan ‘n’ selepasnya.  Maka hasilnya, adalah perkataan ‘pneumatics’ yang seluruh kelas tidak tahu kewujudannya.

Kosa kata saya menjadi sangat mewah menjelang empat tahun saya bersekolah rendah hasil bacaan saya yang begitu meluas.  Minat membaca terus bercambah ketika memasuki sekolah menengah rendah.  Saya sering terpilih untuk sesi bercerita.  Malah sewaktu dalam Darjah 2, saya mengetuai sekolah membacakan Rukun Negara yang mula diperkenalkan pada ketika itu.  Hadiahnya hanya sekotak pensel warna Luna.

Kerana minat buku saya dianggap melebihi normal, maka teman-teman saya menambahkan perkataan buku di hadapan nama saya bagi membezakan nama saya dan nama mereka yang serupa dengan saya.

Ketika zaman persekolahan saya, buku dan minat membaca tidak begitu sistematik seperti sekarang di mana anak-anak mencatat dalam buku NILAM mereka.  Malah terdapat pula anugerah NILAM sebagai galakan membaca bagi pelajar-pelajar sekolah pada masa ini.

Budaya membaca kini telah menjadi sangat sebati dengan masyarakat kita, walaupun kajian UNESCO menyatakan rakyat Malaysia hanya membaca 2 buah buku setahun.  Pedulilah dengan kajian UNESCO, agensi seperti Perpustakaan Negara Malaysia, Majlis Kebangsaan Buku Malaysia, Kementerian Pendidikan, Kota Buku, Dewan Bahasa & Pustaka serta Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) mempunyai cabaran yang lebih besar memastikan kualiti bahan-bahan bacaan yang dibaca oleh rakyat Malaysia bukan bersifat picisan. 


Selepas lebih tiga dekad meninggalkan bangku sekolah menengah, saya masih ghairah membaca walaupun medium bacaan saya lebih kepada buku umum, perniagaan dan sastera.  Sudahkah anda berkubu buku?
Share this article :
 

+ komen + 2 komen

Tanpa Nama
2 Mei 2014 5:39 PTG

zaman dulu tanpa nilam, ramai yg suka membaca..berbanding anak2 zaman ini..

5 Mei 2014 5:02 PTG

pengeluaran buku2 yg berbentuk picisan patut disekat..kasihan budak2 skrg membaca buku2 yg bercampur aduk bahasanya...

Catat Ulasan
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger