MISI PENCARIAN PESAWAT MH370 DISWASTAKAN?

Di Malaysia di mana budaya inovasi dan keusahawanan sangat tinggi tidak mustahil ia dilakukan.  Soalnya hanyalah bila, siapa dan bagaimana.  Dengan semangat Malaysia Boleh yang membara, baja subsidi boleh bertukar tangan, baucar BB1M boleh ditunaikan dengan diskaun hampir 50 peratus.  Malah BB1M boleh juga digunakan untuk membeli tudung, krim kecantikan selain tambah nilai telefon bimbit!

Misteri kehilangan pesawat MH370 yang membawa seramai 239 orang penumpang dan kru telah memasuki minggu ke-7 tidak menampakkan sebarang hasil yang memberangsangkan. 

Puluhan aset, ribuan petugas dan kepakaran di samping ribuan jam kerja (manhours) telah digerakkan, namun tidak sangat menampakkan tanda-tanda kejayaan.

Kenyataan Perdana Menteri “ini adalah lokasi terpencil yang jauh dari mana-mana lokasi pendaratan.  Oleh itu saya dengan dukacitanya memaklumkan penerbangan pesawat itu berakhir di selatan Lautan Hindi” kini mengundang pelbagai persoalan.

Majoriti penumpang dalam pesawat malang itu yang separuh daripadanya adalah warga Cina juga menambahkan ketegangan berhubung keakraban dua negara selama ini yang dirintis sejak empat dekad yang lalu.

Apa sebenarnya terjadi, apakah nasib kesemua mereka dalam pesawat itu juga masih menjadi misteri.  Namun persoalan yang lebih besar adalah misi pencarian pesawat MH370 yang khabarnya telah mencecah ratusan juta daripada segi kosnya.

Pada awalnya, misi pencarian ini diterajui oleh Jabatan Penerbangan Awam, namun kini beberapa jawatankuasa telah ditubuhkan.  Yang terkini adalah penubuhan Pasukan Siasatan Antarabangsa yang diketuai oleh mantan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Kok Soo Chon. 

Pasukan Siasatan Antarabangsa juga dianggotai oleh wakil daripada Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB), Biro Penyiasatan Kemalangan Udara Amerika Syarikat (AAIB), Jabatan Siasatan Kemalangan Pesawat China (AAID) dari Jabatan Penerbangan Awam China (CAAC), Biro Penyiasatan Kemalangan Penerbangan (BEA) Perancis, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) selain wakil negara ASEAN seperti Singapura dan Indonesia serta Boeing, Rolls Royce dan Inmarsat.

Sejak misi pencarian MH370 bermula pelbagai negara telah menghulurkan bantuan berupa aset dan kepakaran mereka.  Antara negara yang terbabit sejak awal adalah Amerika Syarikat, Jepun, New Zealand, Singapura, China, India, Vietnam, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Turkmenistan, Pakistan, Bangladesh, Myanmar, Laos, Australia dan Perancis. 

Khabarnya sehingga kini misi pencarian ini bukan sahaja disertai oleh negara-negara maju malah oleh negara dunia ketiga seperti Bangladesh yang menjadi negara terbaru menyertai misi pencarian ini.  Dengan penglibatan negara-negara luar, misi pencarian ini kini bertaraf antarabangsa malah pemangku Menteri Pengangkutan pula mempunyai penasihat khusus bagi tujuan ini.

Kita sebenarnya tidak tahu, adakah penyertaan negara luar terhadap misi ini membabitkan implikasi kewangan yang besar kepada negara, adakah Malaysia perlu membayar atau sebagai satu penyertaan sukarela.  Namun apa yang pasti sebagai tuan rumah, tentulah kita harus menanggung ‘belanja hangus’ yang dialami mereka.

Dengan taraf antarabangsa misi pencarian MH370 tentulah membuka mata para kroni untuk melobi agar misi ini dikendalikan oleh entiti lain sebagai satu bentuk penggunaan sumber luar (outsourcing). 

Adakah kerajaan bersedia menimbangkan misi pencarian ini dikendalikan oleh sumber luar dan menuntut bayaran bagi pengurusan dan proses pencarian ini?

Hanya masa akan menentukan, sekarang ini pun telah wujud pertelagahan mengenai ‘ketuanan’ kotak hitam yang masih belum ditemui sehingga kini.

Sehingga kini pula, kos misi pencarian MH370 dikhabarkan telah melepasi kos sebanyak 40 juta dollar (131.6 juta RM) yang dibelanjakan oleh Air France ketika mencari kotak hitam pesawat mereka yang terhempas pada tahun 2009. 


Malaysia sebagai pemilik pesawat mestilah mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap pesawat MH370 dan membuka peluang kepada sebarang bentuk penggunaan sumber luar tentulah akan menambahkan lagi kekecewaan keluarga mangsa.

Ulasan

SIS berkata…
skrg ni isu MH370 dah sejuk...org ramai yg dah menyampah nak dgr...kejap jumpa, kejap bukan, kejap itu, kejap ini...bila la nak sudah...
Tanpa Nama berkata…
bukan ke mcm dah diswstakan, yg lead autralia, yg guide amerika..malaysia..hi hi hi..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?