MARI KITA BERDEMO SAMBIL SEMBELIH AYAM!

Sumpah potong ayam, selepas ini saya akan aktif berdemo.  Apa tidaknya, rupanya berdemo yang dikatakan ‘bughah’ oleh Mufti Perak sebelum ini telah diberikan tafsiran baru oleh Majlis Jemaah Islam NGO Malaysia.

Sekurang-kurangnya, di Malaysia yang menjadikan Islam agama rasminya telah pun diiktiraf acara berdemo dan bagi ‘menghalalkannya’ pula ayamnya disembelih.

Pedulilah jika demo yang dianjurkan itu untuk menunjukkan ‘sokong berani mati’ kepada para pemimpin mereka.  Namun demo anjuran NGO (baca:ngok) yang menggelarkan diri mereka Majlis Jemaah Islam NGO Malaysia benar-benar memberi tafsiran baru dalam menghalalkan sesi berdemo di negara kita.

Walaupun secara peribadi saya tidak merasakan apa-apa mengenai klip video yang dikatakan menghina para pemimpin negara, kerana apa yang lebih penting adalah mesej yang cuba disampaikan lewat klip video ucapan Tahun Baru Cina.

Namun langkah yang diambil oleh NGO yang meletakkan nama Islam dalam Jemaah mereka menganjurkan demo membantah, bukan itu sahaja ditambah pula dengan acara menyembelih ayam dan melumurkan pada gambar-gambar para pemimpin DAP.

Tidak cukup dengan itu, mereka menawarkan ganjaran wang ringgit bagi mana-mana pihak yang berjaya menampar dan merakamkan aksi ‘menampar’ Ahli Parlimen DAP Teresa Kok.  Yang lebih menyedihkan adalah orang seperti saya yang tiada latar belakang perundang mampu menafsir tindakan seperti itu adalah bersifat jenayah, namun tidak kepada Menteri Dalam Negeri yang beranggapan sebaliknya.

Tidak pasti sama ada NGO yang dimaksudkan berdaftar atau sekadar gabungan daripada beberapa NGO yang lain dan membentuk apa yang mereka namakan sebagai Majlis Jemaah Islam NGO Malaysia.

Amatlah malang kepada umat Islam di negara ini, apabila sebuah NGO yang menggelarkan diri mereka sebagai Jemaah Islam namun melakukan tindakan-tindakan yang tidak mencerminkan ‘keislaman’ mereka atau adakah Islam pada mereka sekadar nama atau tempelan semata-mata.

Jika mereka benar-benar sayangkan para pemimpin mereka dan sedih apabila dihina seperti yang mereka tafsirkan, tentulah ada banyak lagi kaedah dan pendekatan yang boleh dilakukan selain daripada membuat laporan polis.

Jika kaedah yang digunapakai hanya untuk menimbulkan kebencian di kalangan pengundi Melayu, maka langkah itu adalah tersasar jauh.

Ini kerana tindakan kurang matang seperti yang dilakukan – berdemo, sembelih ayam, melumur darah dan menawarkan ganjaran wang untuk menampar bukan sahaja kurang berkesan namun memberikan kesan timbal balik yang merugikan mereka, ini kerana orang Melayu dan Islam sendiri menentang tindakan’kurang adab’ seperti yang mereka lakukan.

Sama ada disedari atau tidak, tindakan ‘kurang adab’ oleh mereka yang menggelarkan kumpulan Majlis Jemaah Islam NGO Malaysia sebenarnya memberikan lebih banyak ‘simpati’ kepada Ahli Parlimen DAP dan mengurangkan rasa hormat kepada para pemimpin daripada BN. 

Dengan pelbagai kemelut dalam parti-parti politik dalam negara kita baik dalam BN mahupun pakatan pembangkang serta usaha Kerajaan bagi menyuburkan perpaduan sesama kaum tindakan sama ada oleh Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok mahupun oleh Majlis Jemaah Islam NGO Malaysia adalah sesuatu yang patut ditangani secara lebih berhemah.

Tindakan mereka berdemo dan menyembelih ayam serta melumurkan darah seperti tidak mempercayai pihak polis dan sistem perundangan di negara kita sehingga mengambil undang-undang di tangan mereka sendiri. 

Jika keadaan seperti ini dibiarkan tidak mustahil, usaha Kerajaan menyuburkan perpaduan kaum dan toleransi agama tidak akan berjaya.

Mungkin selepas ini demo sembelih ayam boleh dijadikan acara rasmi dan dimasukkan dalam kalendar pelancongan negara sesuai dengan semangat Malaysia Boleh!


Ulasan

Tanpa Nama berkata…
suka sumpah potong ayamm,,,

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?