CHEW MEI FUN BAKAL LAKAR SEJARAH?

Lirik lagu motivasi  Fikirkan Boleh agaknya menjadi suntikan kepada BN, MCA dan calon yang terpilih untuk mewakili BN dalam Pilihanraya Kecil N24 Kajang pada 23 Mac 2014 nanti. Liriknya antaranya yang berbunyi: Jika kau fikirkan kau boleh, kau hampir boleh melakukan, jika kau fikirkan ragu-ragu, usahamu tidak menentu.  Jika kau fikirkan kekalahan, kau hampiri kegagalan, jika kau fikirkan kemenangan, kau hampiri kejayaan!

Naib Presiden MCA yang juga mantan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menawarkan diri dan terpilih untuk mewakili BN dalam Pilihanraya Kecil yang diberikan pelbagai jolokan oleh Pakatan Rakyat.

Pelbagai jenama yang diberikan kepada PRK Kajang antaranya “Serampang Kajang”, “Langkah Kajang”, “Percaturan Kajang”, “Rencana Kajang”  – semua khabarnya menjurus kepada memberikan laluan untuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Besar Selangor pasca Pilihanraya Kecil nanti.

Namun percaturan di Kajang bukanlah sesuatu yang mudah buat Pakatan Rakyat untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi pada Pilihanraya Umum ke-13 pada 2013 yang lalu dengan kelebihan 6800 undi.

Jika diteliti semangat dan usaha BN pada PRK Kajang, tentu semua dapat mengagak bagaimana BN berusaha bersungguh-sungguh untuk merampas kerusi ini.  MCA yang baru sahaja menobatkan Presiden barunya pada Disember yang lalu mengungkapkan akan "Anwar dengan sengaja adakan pilihan raya kecil ini dan kita tidak boleh biarkan beliau terlepas. Perlu pastikan beliau, (Anwar) yang menggali lubang, kita (pula) tanam dia," katanya dalam ucapan ketika Majlis Pelancaran Bilik Gerakan Induk MCA bagi PRK Kajang di Taman Berjaya.

Malah Ketua Penerangan UMNO yang begitu berwibawa khabarnya mempunyai senjata paling ampuh untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kajang.  

Calon MCA pula, Datin Paduka Chew Mei Fun pula bukannya calang-calang calon, daripada ribuan calon di Selangor dan ramai pula yang menawarkan diri, tiba-tiba mantan Ahli Parlimen P106 Petaling Jaya Utara yang menang pada tahun 1999 dan 2004 namun tewas pada PRU ke-12 dipilih menjadi calon.

Kewibawaan Chew Mei Fun, tentulah lebih baik daripada mereka yang lain yang memasang angan-angan untuk menjadi YB misalnya ‘teman tenis’ Anwar Ibrahim yang bercita-cita mewakili BN dalam PRK N25 Kajang.

Datin Paduka Chew Mei Fun tewas kepada Tony Pua hampir 20,000 undi pada PRU 2008 apabila mendapat 17,879 berbanding 37,851 yang diperolehi oleh Tony Pua.  Sekalipun Datin Paduka Chew Mei Fun tidak terpilih untuk bertanding pada PRU 2013, namun calon BN Chew Hoong Ling tewas dengan kekalahan lebih 45,000 undi kepada Tony Pua.

Jika Pakatan Rakyat hanya diwakili oleh Kerajaan Negeri Selangor, namun Chew Mei Fun dibantu oleh Kerajaan Pusat dan semua agensi dibawahnya, malah seperti PRK yang sebelumnya, tentulah semua Menteri dan Timbalan Menteri melalui kementerian mahupun agensi di bawah kementerian masing-masing akan berlumba-lumba  mempamerkan ‘sokongan’ mereka untuk dinilai dalam KPI oleh pucuk pimpinan khususnya Perdana Menteri dan Timbalannya.

Lazimnya, pembangkang tidak banyak memenangi PRK di mana sahaja, alasannya adalah mudah kerana BN akan menggerakkan semua jentera parti dan kerajaan demi memastikan kemenangan mereka.  Malah projek-projek segera akan berduyun-duyun dilaksanakan dengan alasan ianya telah lama dirancang.

Maka apabila MCA melalui Chew Mei Fun bertanding di N25 Kajang, maka usaha MCA untuk ‘menguburkan’ Anwar telah hampir 50% berjaya dan selebihnya adalah daripada simpati pengundi kepada BN, MCA dan MIC yang memberikan pelbagai nikmat dan kelebihan kepada rakyat melalui ‘rasionalisasi’ subsidi, kenaikan tariff elektrik dan agihan BR1M!


Pada 23 Mac 2014 nanti Datin Paduka Chew Mei Fun yang mewakili MCA yang bakal “menguburkan Anwar” akan melakar sejarah dengan aura dan gaya BN.  Selamat menggali!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
hi hi hi lawak hari minggu..
Tanpa Nama berkata…
sejarah..x hilang wang deposit pun dah ckup baguih..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?