CUKAI TAKSIRAN, HUKUMAN PENGUNDI IBU KOTA?
Ketika melawat tukang gunting
saya beberapa hari yang lalu, beliau yang menetap di pinggir ibu kota Kuala
Lumpur merungut mengenai cukai taksiran hartanah yang bakal dibayarnya
berjumlah RM7,200.00.
Seperti biasa, saya akan
katakan janganlah fitnah kerajaan BN
menuduh mengenai kenaikan cukai taksiran hartanahnya, mungkin ia adalah
tunggakan yang tidak berbayar. Namun
saya silap, apabila dimaklumkan bahawa dia tidak pernah mempunyai tunggakan dan
menegaskan itulah nota peringatan yang diterima untuk pembayaran cukai taksiran
hartanahnya.
Seingat saya dia hanya tinggal di
pangsapuri tiga bilik yang diterimanya sebagai pampasan apabila rumah ‘panjang’
mereka di Kampung Selamat dibangunkan oleh DBKL dengan kerjasama sebuah
syarikat swasta.
Jika bagi seorang eksekutif pun
yang berpendapatan RM5,000 sebulan akan merasakan bahang dan peritnya apatah
lagi bagi seorang tukang gunting sepertinya.
Bayangkan cukai taksiran hartanah sehingga RM20 sehari!
Apabila dikhabarkan oleh sang
Menteri bahawa cukai taksiran DBKL tidak dinaikkan sejak 21 tahun yang lalu, bukanlah lesen ekspres untuk
menghalalkan kenaikan sebanyak 100 hingga 1000 peratus!
Walaupun kenaikan ini hanyalah
cadangan namun jika ianya dilaksanakan mungkin akan menjadi mimpi ngeri kepada
warga Kuala Lumpur. Bayangkan ketika
kerajaan dalam satu nada seolah-olah membela nasib penghuni kota yang ‘miskin
bandar’ namun dalam nada yang lain pula memberikan tekanan dan usaha menaikkan
cukai taksiran hartanah seperti yang dicadangkan.
Kementerian Wilayah Persekutan
dan Kesejahteraan Bandar, nama kementerian yang diwujudkan dalam kabinet
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, seperti tidak memberikan apa-apa
signifikan ‘kesejahteraan bandar’ jika usaha menaikkan cukai taksiran hartanah
ini benar-benar direalisasikan.
Dalam pemikiran yang jahat pula,
mungkin kita beranggapan bahawa BN sedang menghukum warga kota, apa tidaknya,
dalam Pilihanraya Umum yang lalu BN hanya memenangi 2 daripada 11 kerusi yang terdapat
di Kuala Lumpur, namun jika itulah yang menjadi asas untuk mewajarkannya
kenaikan cukai taksiran, ianya adalah sesuatu yang malang.
Kesan kenaikan cukai taksiran
hartanah dalam jurisdiksi DBKL boleh dijangka, antaranya kenaikan kadar sewaan
dan perkhidmatan malah akan juga memberikan impak kepada barangan yang dijual
di Kuala Lumpur. Walaupun daripada satu
segi nilai hartanah akan meningkat, namun bukankah itu juga akan menyumbangkan
kesan rantaian yang lain.
Sejajar dengan usaha Kerajaan
membela warga kota khususnya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana,
kenaikan cukai taksiran hartanah pada kadar yang dicadangkan haruslah dikaji
semula!
Jika tidak nanti dikhuatiri dua kerusi parlimen yang sedia ada pun akan terlepas ke tangan pembangkang, maka akan ada senario bahawa ibu kota Kerajaan BN di kuasai oleh pembangkang sepenuhnya, ketika itu sudah tidak bermakna lagi.
Ulasan