CUKAI TAKSIRAN, HUKUMAN PENGUNDI IBU KOTA?

Ketika melawat tukang gunting saya beberapa hari yang lalu, beliau yang menetap di pinggir ibu kota Kuala Lumpur merungut mengenai cukai taksiran hartanah yang bakal dibayarnya berjumlah RM7,200.00.

Seperti biasa, saya akan katakan  janganlah fitnah kerajaan BN menuduh mengenai kenaikan cukai taksiran hartanahnya, mungkin ia adalah tunggakan yang tidak berbayar.  Namun saya silap, apabila dimaklumkan bahawa dia tidak pernah mempunyai tunggakan dan menegaskan itulah nota peringatan yang diterima untuk pembayaran cukai taksiran hartanahnya.

Seingat saya dia hanya tinggal di pangsapuri tiga bilik yang diterimanya sebagai pampasan apabila rumah ‘panjang’ mereka di Kampung Selamat dibangunkan oleh DBKL dengan kerjasama sebuah syarikat swasta.

Jika bagi seorang eksekutif pun yang berpendapatan RM5,000 sebulan akan merasakan bahang dan peritnya apatah lagi bagi seorang tukang gunting sepertinya.  Bayangkan cukai taksiran hartanah sehingga RM20 sehari!

Apabila dikhabarkan oleh sang Menteri bahawa cukai taksiran DBKL tidak dinaikkan sejak 21  tahun yang lalu, bukanlah lesen ekspres untuk menghalalkan kenaikan sebanyak 100 hingga 1000 peratus!

Walaupun kenaikan ini hanyalah cadangan namun jika ianya dilaksanakan mungkin akan menjadi mimpi ngeri kepada warga Kuala Lumpur.  Bayangkan ketika kerajaan dalam satu nada seolah-olah membela nasib penghuni kota yang ‘miskin bandar’ namun dalam nada yang lain pula memberikan tekanan dan usaha menaikkan cukai taksiran hartanah seperti yang dicadangkan.

Kementerian Wilayah Persekutan dan Kesejahteraan Bandar, nama kementerian yang diwujudkan dalam kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, seperti tidak memberikan apa-apa signifikan ‘kesejahteraan bandar’ jika usaha menaikkan cukai taksiran hartanah ini benar-benar direalisasikan.

Dalam pemikiran yang jahat pula, mungkin kita beranggapan bahawa BN sedang menghukum warga kota, apa tidaknya, dalam Pilihanraya Umum yang lalu BN hanya memenangi 2 daripada 11 kerusi yang terdapat di Kuala Lumpur, namun jika itulah yang menjadi asas untuk mewajarkannya kenaikan cukai taksiran, ianya adalah sesuatu yang malang.

Kesan kenaikan cukai taksiran hartanah dalam jurisdiksi DBKL boleh dijangka, antaranya kenaikan kadar sewaan dan perkhidmatan malah akan juga memberikan impak kepada barangan yang dijual di Kuala Lumpur.  Walaupun daripada satu segi nilai hartanah akan meningkat, namun bukankah itu juga akan menyumbangkan kesan rantaian yang lain.


Sejajar dengan usaha Kerajaan membela warga kota khususnya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana, kenaikan cukai taksiran hartanah pada kadar yang dicadangkan haruslah dikaji semula! 

Jika tidak nanti dikhuatiri dua kerusi parlimen yang sedia ada pun akan terlepas ke tangan pembangkang, maka akan ada senario bahawa ibu kota Kerajaan BN di kuasai oleh pembangkang sepenuhnya, ketika itu sudah tidak bermakna lagi.
Share this article :
 

+ komen + 2 komen

Tanpa Nama
20 November 2013 10:27 PG

gilo...

22 November 2013 3:15 PTG

Tn KS skrg ni Kementerian Wilayah dah buang perkataan Kesejahteraan Bandar...dan dipindahkan ke Kem Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan...

Catat Ulasan
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger