2 KOSONG @ SERI 1 SAMA?

Selepas 21 tahun kemarau kemenangan, semalam skuad Pahang, negeri kelahiran Perdana Menteri menjulang Piala Malaysia yang kali terakhir dimenangi pada tahun 1992.  Kemenangan tipis 1-0 ke atas Kelantan hasil tandukan Matias Ruben Conti pada minit ke-58.

Hari ini, para pengundi DUN N20 Sungai Limau akan menentukan siapakah bakal dipilih sebagai wakil rakyat mereka.  Calon BN, Dr. Sohaimi Lazim dan calon  PAS, Azam Abdul Samat bakal menentukan prestasi sulong Menteri Besar Kedah yang baru, Datuk Mukhriz Mahathir.

Di atas kertas, kelihatannya calon BN memiliki segala-galanya untuk menang, singkatan namanya SL yang dimomokkan sebagai mewakili Sungai Limau bukanlah rahsia dengan pengenalan moto ‘SL4SL’ (Sohaimi Lazim for Sungai Limau).  Selain itu juga dengan kedatangan tahun baharu hijrah 1435 yang bakal menjelang esok, BN juga tidak ketinggalan memperkenalkan moto ‘Berani Hijrah’!

Sama ada kita sedar atau tidak, moto Berani Hijrah bakal memberikan implikasi dalam pilihanraya kecil dan pilihanraya umum selepas ini kerana jika PAS gagal mempertahankan kerusi DUN N2o Sungai Limau, ungkapan Berani Hijrah akan dieksploitasi oleh pembangkang di mana sahaja pilihanraya kecil akan diadakan apatah lagi jika melibatkan kerusi yang dimenangi oleh BN dalam PRU yang lepas.

Namun, pertimbangan di atas kertas tanpa mengambilkira sentimen para pengundi Sungai Limau tentulah bukan perkiraan yang tepat.  Apapun  keputusan di Sungai Limau akan terus terpahat dalam sejarah pilihanraya kecil di Malaysia.

Jika BN berjaya merobek kubu PAS yang dimenangi oleh allahyarham Tan Sri Azizan Razak sejak 1995, maka keputusannya adalah 2-0, memandangkan BN juga berjaya mempertahankan kerusi Kuala Besut pada Julai yang lalu.  Jika PAS berjaya mempertahankan kerusi DUN N20 Sungai Limau pada Pilihanraya Kecil ini, maka keputusan akan menjadi 1-1.

Datuk Mukhriz sendiri gagal memenangi kerusi Naib Presiden UMNO yang ditandinginya dalam pemilihan parti baru-baru ini.  Ironinya, beliau juga menggunakan moto Berani Berubah sebagai cabaran kepada perwakilan untuk memilih beliau sebagai salah seorang daripada tiga Naib Presiden UMNO.

Sama ada berani hijrah atau berani berubah, pilihanraya kecil DUN N20 Sungai Limau akan terus mencatat sejarahnya tersendiri, sama ada kubu kuat PAS sejak tahun 1995 bakal dirobekkan oleh seorang mantan pensyarah kanan akan ditentukan apabila keputusan rasmi diumumkan selepas pengiraan undi nanti.  Khabarnya diramalkan 90% pengundi berdaftar akan keluar mengundi pada pilihanraya kecil ini.

Jika BN berjaya memenangi kerusi N20 Sungai Limau, imej Datuk Mukhriz selaku Menteri Besar Kedah akan melonjak.  Apa tidaknya, BN yang tidak mempunyai apa-apa lagi untuk ditaruhkan hanya mempromosi imej ‘bersih’ Menteri Besarnya.  Namun jika BN tidak berjaya, ini adalah kekalahan berturut-turut Datuk Mukhriz selepas gagal memenangi kerusi Naib Presiden UMNO dalam pemilihan parti bulan lalu.


Adakah keputusan di Sungai Limau sama seperti Pahang yang menjuarai Piala Malaysia selepas kemarau 21 tahun dan BN mengakhiri kempunan mereka selepas 18 tahun dan lima kali Pilihanraya Umum?  Sama ada 2-0 atau seri 1-1, tunggulah keputusan rasmi pilihanraya kecil DUN N20 Sungai Limau!  Salam Tahun Baru Maal Hijrah 1435.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
1-1 rasanya!
Tanpa Nama berkata…
2 kosong ...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?