TELEFON, TALAK & CEMBOT ...

Seingat saya nombor telefon bimbit yang saya miliki sekarang sama usianya dengan penyedia perkhidmatan telefon bimbit saya. Walaupun saya telah beberapa kali kehilangan telefon saya dalam pelbagai situasi dan gaya. Yang terakhir saya terpisah dengan ‘Samsung’ saya ialah pada tahun 2007, ketika menonton di sebuah pawagam di Cheras. Saya amat pasti saya kehilangan telefon saya ketika menonton, walaupun telefon saya tidak ditemui semula hanya selepas 5 minit keluar dari pawagam tersebut.

Sejak saya mula menggunakan telefon bimbit sejak tahun 1995 ketika tidak ramai penyedia perkhidmatan, malah talian juga tidak sejelas seperti pada masa ini. Ketika itu memiliki telefon bimbit bukanlah satu keperluan seperti kelaziman sekarang ini tetapi lebih kepada menunjukkan kemampuan seseorang. Model-model telefon juga tidak banyak pilihan dan juga tidak setipis atau secanggih seperti sekarang ini. Ketika itu, seingat saya telefon bimbit yang termahal pernah saya miliki ialah sekitar RM700. Namun semua itu juga telah tersimpan kemas dalam lipatan kenangan.

Malah telah sampai pula keadaan apabila sikap saya sejak separuh dekad yang lalu gemar menggunakan telefon yang kecil yang kerap disenyapkan agar tidak diketahui bahawa saya menggunakan telefon bimbit. Ketika itu telefon bimbit bukan lagi barangan mewah tetapi lebih merupakan keperluan yang mesti ada ketika meninggalkan rumah! Saya pernah berpatah balik hanya kerana tertinggal telfon bimbit di rumah.

Kini telefon bimbit sudah semacam pejabat bergerak saya kerana saya berhubung dengan ‘pelanggan-pelanggan’ saya hanya melalui telefon, malah telah sampai pula peringkat di mana saya terpaksa mengambil gambar pelanggan saya untuk dimuatkan di dalam telefon, ini kerana kekadang terdapat lebih dari lima orang yang mempunyai nama yang sama, maka saya dapat membezakan mereka apabila gambar mereka tertera di skrin ketika menerima panggilan. Para pelanggan saya pula terdiri daripada kalangan warga sekolah, lebih tepat lagi para guru, sekolah rendah dan menengah.

Kisah seorang guru yang begitu sukar untuk saya hubungi kerana tidak lagi menggunakan telefon bimbit tetapi menghubungi saya dari telefon di sekolahnya. Hatta kerana saya gagal untuk berhubung dengan guru ini disebabkan ketiadaan telefon bimbit hampir sahaja menyebabkan saya mendapat dosa kering dengan mengumpatnya, namun saya cuba menenangkan diri saya dengan mengatakan guru ini mungkin telah kehilangan telefon bimbit untuk sekian kalinya dan berasa serik, itulah yang saya nyatakan kepada diri sendiri setiap kali saya terpaksa berhubung dengan guru ini. Hal ini berlarutan agak beberapa ketika, dan saya pula sudah boleh menerima ketiadaan telefon bimbit di pihak cikgu ini.

Pada minggu lepas ketika membuat kunjungan hormat kepada guru ini setelah puas berdoa dia akan menghubungi saya kerana beberapa urusan mengenai persekolahan yang terpaksa diselesaikan sebelum sesi persekolahan 2010 berakhir, saya berkesempatan bersemuka dan seperti lazimnya dengan mulut tidak berinsuran saya pun melontarkan soalan cepu emas saya: kenapa cikgu tak guna, hand phone cikgu, susahlah nak berhubung! Sekarang ni kan telefon pun dah murah, RM80 pun ada, kata saya, kerana saya mengagak cikgu ini serik untuk memiliki telefon bimbit yang sering hilang.

Tetapi jawapan yang saya terima dari cikgu yang hampir separuh umur ini amat memeranjatkan malah sedih pun ada. Katanya: Minta maaflah encik, kalau saya ada (menggunakan) telefon bimbit, jatuh talak satu! Saya terkedu, kehilangan kata-kata buat seketika, bagi mengurangkan kepanikan saya, saya menambah: alah cikgu pun bukannya lawa pun! Akhirnya terlerai jugalah misteri ketiadaan telefon bimbit oleh si guru ini, katanya suaminya cemburu dan mengatakan akan jatuhlah talak jika dia ada (menggunakan) telefon bimbit kecuali dibenarkan oleh suaminya.

Ketika perjalanan lebih 80 kilometer dari sekolah cikgu tadi hingga ke pejabat saya, tidak lekang dari fikiran saya bagaimana dalam keadaan telefon bimbit yang dianggap sebagai keperluan, masih ada sang suami yang meletakkan syarat-syarat yang tidak masuk akal, malah saya kira pasangan guru dan suaminya telah hampir separuh abad, masih diselubungi rasa cemburu - CEMBOT – cemburu orang tua!

Ulasan

SIS berkata…
lagi tua lgi patut cemburu..krn selalunya manusia merasa kekurangan dirinya bila dah tua..sebab tu CEMBOT patut ada..demi kesejahteraan hidup...tp kalau dah keterlaluan hanya mengundang padah...
saha berkata…
aik macm tu pun ada...lak..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

SELAMAT BERANGKAT KE NEGERI ABADI, SAUDARAKU