BERKAT TEKNOLOGI ...


Menjelang tahun 2010 yang baru beberapa minggu menjengah kita, saya semacam dipukau untuk terpengaruh dengan pelawaan penyedia perkhidmatan telefon mudah alih saya untuk menyahut pelawaan memiliki iPhone yang memang menjadi impian saya sejak mula diperkenalkan di pasaran Malaysia.

Selepas menimbang dan berperang dengan perasaan saya terus sahaja memberi persetujuan untuk memiliki unit iPhone ini. Selepas memeram hampir 24 jam, saya mula menggunakan pada 1 Januari yang lalu, benarlah pelbagai kemudahan disediakan dalam iPhone memberi manfaat kepada saya. Kegilaan saya untuk membaca memang menjadi mudah - ebook, ratusan ribu buku boleh dibaca dalam skrin sekecil iPhone saya. Memang susah mencari makalah berbahasa Melayu, saya pernah teringat memuat turun sebuah buku yang telah saya baca ketika zaman persekolahan saya - novel Harimau Harimau nukilan Mochtar Lubis. Buku ini terbitan tahun 1975 dan pernah memenangi hadiah Yayasan Buku Utama sebagai buku terbaik tahun 1975.

Harimau Harimau mengisahkan tujuh rakan yang pergi ke hutan mencari damar dan diburu oleh seekor harimau. Pelbagai pengalaman menjadi intipati dalam novel ini, kisah tamak, penipuan, sombong dan ketaksuban seorang manusia.

Kisah Harimau Harimau memang kisah yang biasa disulam dengan pengalaman memburu, mencari damar, kisah persahabatan dan kesetiaan. Buyung yang paling muda di antara tujuh rakan, mengutip pengalaman dari persahabatan dengan rakan-rakan sekampungnya. Wak Katok yang kononnya berilmu, guru silat akhirnya ternyata bukanlah seperti yang digahkan malah pernah memperkosa Siti Rubiyah yang pernah diimpikan oleh Buyung dan teman-temannya. Siti Rubiyah, isteri muda Wak Hitam yang mengamalkan ilmu hitam, senang tergoda waima keinginan mudanya tidak dapat dipenuhi Wak Hitam.

Kerana kecelakaan akibat terkaman harimau tua, Pak Balam memaksa rakan-rakannya mengakui dosa masing-masing sambil menceritakan keburukan dan dosa Wak Katok. Talib dan Sutan menjadi mangsa harimau tua seterusnya. Kisah diakhiri bagaimana Buyung, Pak Haji dan Sanip merebut senapang dari Wak Katok sehingga menyebabkan Pak Haji terbunuh akibat tertembak. Harimau tua berjaya diperangkap dengan meletakkan Wak Katok sebagai umpan, dan bidikan tepat Buyung berjaya membunuh harimau yang telah menyebabkan perbalahan di kalangan rakan-rakannya.

Kisah Pak Haji yang hilang keyakinan terhadap manusia dan Tuhan kerana roda kehidupannya kembali semula apabila dia diselamatkan oleh Buyung ketika hampir dipatuk ular. Novel ini penuh falsafah kehidupan seperti yang diungkap oleh Pak Haji: kita tak hidup sendiri di dunia, manusia sendiri-sendiri tak dapat hidup sempurna, tak mungkin lengkap manusianya. Manusia yang mahu hidup sendiri tak mungkin mengembangkan kemanusiaannya. Manusia perlu manusia lain. Bunuhla dulu harimau dalam dirimu!

Nota Kaki: Perang saya untuk memiliki iPhone semacam melawan harimau dalam diri saya!

Ulasan

Ustazah berkata…
Syabas kpd tuan
Tuan, artikel / catatan ini terbaik pada pembacaan saya. Ada hasrat tersirat yang dihantar lewat perlambangan. Seperti mana membunuh harimau dalam diri. Syabas. Ternyata tuan hanya 'malas' mencatat, apabila bertekun mencatat ... berbisa! huhuhu....
Anis berkata…
Salam tuan,saya juga telah membacanya!
oral arek berkata…
Salam,kupasan yg bernas

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?